Saturday, 13 August 2016

Shah Rukh Khan 'sangkut' lagi di lapangan terbang AS


New Delhi: Duta Amerika Syarikat (AS) ke India memohon maaf kepada bintang Bollywood, Shah Rukh Khan selepas pelakon itu menulis di Twitter mengenai penahanannya di lapangan terbang Los Angeles.

“Maaf atas kesulitan di LAX @iamsrk. Karya anda memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang, termasuk di AS,” tulis Richard Verma di Twitternya semalam sambil menambah mereka akan berusaha memastikan perkara itu tidak berlaku lagi.

Pelakon berusia 50 tahun itu segera membalas tweet berkenaan dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinannya.

“Tiada masalah tuan, saya menghormati protokol itu dan tidak mengharapkan layanan istimewa. Terima kasih atas keprihatinan anda,” katanya.

Shah Rukh sekali lagi ‘ditahan’ di lapangan terbang Los Angeles - kali ketiga dalam tempoh tujuh tahun - menyebabkan dia menyatakan kekecewaannya di media sosial.



“Saya faham dan hormat keselamatan di sini, terutama dengan keadaan dunia sekarang ini, tetapi memang teruk apabila kerap kali ditahan imigresen AS.

“Tetapi satu yang bagusnya sementara menunggu - saya berjaya menangkap Pokemon,”kata pelakon itu.

Dia yang tiba di AS untuk melawat Universiti Yale dilepaskan selepas kira-kira dua jam.

Penolong setiausaha negara AS untuk Asia selatan dan tengah, Nisha Desai Biswal turut memohon maaf atas kesukaran dihadapi Shah Rukh itu, malah sempat berseloroh golongan diplomat juga tidak terkecuali daripada pemeriksaan.

Ini bukan pertama kali pelakon itu ditahan di lapangan terbang oleh pegawai imigresen. Pada 2012, Shah Rukh ditahan di lapangan terbang New York selama lebih dua jam menyebabkan pihak kastam dan pihak berkuasa perlindungan sempadan memohon maaf. - Agensi




0 comments:

Post a Comment

Followers

networkblogs