LAMA menyepi, tiba-tiba nama dua penyanyi muda yang bakatnya dicungkil menerusi Akademi Fantasia (AF), Stacy dan Akim, kembali panas.
Kedua-duanya yang mula dikaitkan dengan gosip cinta sewaktu terbabit dengan kempen aiskrim Cornetto dulu, kini dikatakan kembali menjalin hubungan.
Lagu duet mereka, yang dicipta sepenuhnya oleh Akim dengan judul Kembali, seakan-akan mengesahkan
gelodak perasaan kedua-duanya.
Bahkan, baru-baru ini Selebriti menerusi ruangan CAK turut menyiarkan gosip Akim atau nama sebenarnya Afiq Hakim Ahmad dan Stacy (Stracie Angie Anam) dilihat bermesra dan bercumbu di dalam pesawat sewaktu penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.
Menariknya, turut menyertai penerbangan pasangan itu adalah anak angkat Stacy, Bella Deluna Valentina (Bella), lapan bulan.
Mereka kelihatan seakan-akan satu keluarga bahagia. Akim juga dilihat sungguh mesra dengan anak angkat Stacy. Malah, pihak yang menyampaikan berita ini menjelaskan, penyanyi yang muncul dengan single pertama Inilah Cinta itu nampak mempunyai tokoh menjadi bapa kepada Bella.
Ketika ditemui pada sesi fotografi khas, Stacy dan Akim hanya tersenyum apabila diminta mengesahkan gosip berkaitan mereka. Namun, mereka mengakui sering bersama jika ada tawaran mengadakan persembahan di Kota Kinabalu.
Sebagaimana diketahui umum, kata Stacy, sememangnya dia dan Akim rapat dan ia bukan lagi rahsia di antara mereka berdua. Apatah lagi jika ada tawaran untuk Stacy mengadakan persembahan di kampung halamannya, pasti Akim diajak bersama.
“Pembantu saya, Amelio Geyle turut menjadi promoter saya jika ada tawaran persembahan di Sabah. Lazimnya, ada permintaan mahukan beberapa penyanyi menyertai saya, dan tentu Amelio yang juga rapat dengan Akim akan mengajaknya mengadakan persembahan bersama saya.
“Tambahan pula, sekarang kami mempromosi lagu duet, Kembali yang ada di dalam album sulung Akim. Bagi saya, mengadakan persembahan bersama antara saya dan Akim umpama bonus buat kami berdua untuk lebih menjiwai setiap kali menyanyikan Kembali,” katanya.
Di sebaliknya, Stacy menjelaskan, hubungan rapat dengan Akim harap tidak disalah erti kerana hakikatnya kemesraan mereka terjalin sejak menyertai AF lagi. Menurutnya, mereka kekal sebagai sahabat dan belum sampai ke tahap bercinta.
Akim sewaktu memberi penjelasan berkata, dia gembira dengan hubungan dan perkembangan persahabatan dengan Stacy.
Jejaka kelahiran Johor Bahru, Johor ini turut menegaskan, tidak mungkin dia bercumbu di dalam pesawat bersama Stacy kerana banyak mata akan memerhati.
Jika benar, Akim yang juga popular dengan lagi Pelangi Senja yakin, pasti mereka ditegur terlebih dulu oleh pihak pengurusan.
“Mengenai Bella pula, saya memang sayangkannya, maklumlah sebagai ibu tunggal, pasti Stacy memerlukan seorang lelaki menjadi ayah untuk anak kesayangannya.
“Bella memanggil saya ‘daddy’ Akim, tapi panggilan ‘daddy’ juga diguna oleh adik-beradik Stacy yang lain,” katanya.
Ingin hasil album rock
PEMINAT mengenali Stacy dengan lagu rancak hinggakan ada yang menggelarnya ‘pop dance princess’ Malaysia. Ini jelas dibuktikan dalam persembahannya yang sering diiringi penari bertenaga dan menghiburkan.
Begitupun, gadis kelahiran Penampang ini memberikan citarasa berbeza buat peminat apabila muncul dengan lagu berentak balada, bermula dengan Kisah Dongeng dan terbaru Pelangi Senja.
Menceritakan perkembangan ini, kata Stacy, lagu berentak balada bukan asing baginya kerana sebelum menyertai AF, dia gemar mendendangkan lagu genre sedemikian.
“Apabila menyertai AF, ramai peminat menggemari corak persembahan saya yang menari sambil menyanyi hinggakan ia menjadi imej saya, sedangkan kalau boleh, saya mahu menonjolkan kemampuan dengan mendendangkan pelbagai jenis lagu.
“Bagi saya, Kisah Dongeng berupa percubaan untuk melihat reaksi peminat jika saya melakukan sesuatu yang berbeza. Ternyata mereka menggemarinya, lantas saya panjangkan usaha itu dengan mengetengahkan pula lagu Pelangi Senja yang menampilkan genre sama,” katanya.
Sebenarnya, kata Stacy, secara peribadi dia lebih menggemari muzik rock tetapi kerana mengikut perkembangan dan kecenderungan peminat, dia tidak berani menampilkan lagu berentak demikian.
“Pihak pengurusan Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB) memberi tanggungjawab penuh kepada penyanyi di bawah naungannya untuk menghasilkan album sendiri.
Saya cuba memastikan apa dihasilkan tidak sia-sia dan paling tidak, ia memberi pulangan kepada syarikat.
“Saya tidak mahu menghasilkan album syok sendiri. Sebaik-baiknya saya menghasilkan album dengan menampilkan lagu yang digemari peminat. Memang ada hasrat saya untuk menghasilkan album rock, tetapi bukan sekarang.
“Fokus saya mahu memastikan kerjaya seni berkembang dengan baik, jika tidak, ia akan memberi kesan kepada diri sendiri,” katanya.
Selesa nyanyi lagu sendiri
PADA usia 21 tahun, Akim sudah melakukan segala-galanya. Bukan saja menyanyi, tetapi juga mencipta lagu dan lirik. Selain itu, peminat melihat kemampuannya dalam dunia lakonan, antaranya filem Horee! Horee! dan drama Inikah Cinta dan Dua Dalam Satu pada Syawal lalu.
Selain itu, Akim terbabit dalam beberapa program khas terbitan Astro. Terbaru, penyanyi muda ini akan terbang ke Afrika Selatan bagi menjayakan program realiti yang menguji ketahanan fizikal dan mental, Fear Factor.
Melihat perkembangan ini, pasti ramai tertanya-tanya apa ingin dilakukan Akim dan ke mana arah kerjaya seninya selepas ini.
Menjelaskan perkara ini, kata Akim, cintanya tetap pada dunia muzik dan menghasilkan lagu adalah sebahagian daripada minatnya.
“Saya lebih senang mendendangkan lagu dihasilkan sendiri kerana penyampaian lebih mendalam disebabkan saya faham apa yang ingin disampaikan. Sementara lakonan pula, saya terbabit jika watak ditawarkan benar-benar memberi impak dan mencabar kredibiliti.
“Untuk kerjaya muzik pula, sebenarnya banyak lagi perkara yang ingin saya lakukan, sebagai contoh daripada sudut genre muzik sebelum ini, kebanyakan lagu saya dendangkan konsepnya lebih kepada pop dan balada.
“Saya teringin mencuba sesuatu yang baru, antaranya mendendangkan lagu pop rock atau pop fusion. Namun, perkara itu biar dibuat perlahan-lahan mengikut peredaran usia dan kematangan,” katanya.
Menyentuh mengenai lagu duet, Kembali, Akim menjelaskan, ia sudah lama dihasilkan dan sejak empat bulan lalu mulai dimainkan di radio.
“Sebenarnya saya pernah berduet dengan Stacy dalam Jahatnya Cinta dan lagu itu dimuatkan di dalam albumnya. Pada dasarnya, Kembali adalah satu kolaborasi kepada usaha yang pernah dilakukan kami sebelum ini.
“Saya serasi bekerja dengannya dan apabila hendak menghasilkan lagu Kembali, saya berasakan ia sesuai jika kami duet untuk album saya pula,” katanya.
No comments:
Post a Comment