Friday 9 August 2013
6 Muzium Paling Seram dan Pelik Didunia
Manusia sentiasa mencari cara berbeza untuk berasa takut. Sesetengah orang sukakan filem seram, rumah berhantu atau bentuk tradisional lain untuk menakutkan diri sendiri atau kenalan.
Tetapi jika anda mencari sesuatu yang lebih berbudaya dan mahu belajar sesuatu yang membuatkan seluar anda basah kerana ketakutan, kunjungilah beberapa muzium di seluruh dunia ini yang pasti menyebabkan bulu roma anda berdiri.
Muzium Catacombs, Palermo, Itali
Sebenarnya tempat ini asalnya bukan hendak dijadikan muzium, tetapi ia berubah menjadi muzium kematian. Jauh dalam gereja Capuchin, anda boleh melihat beratus-ratus mayat - paderi dan anggota masyarakat.
Mayat mereka dibariskan di sepanjang tembok dengan pakaian ketika mereka dikebumikan. Udara sejuk dan persekitaran yang kering di tempat ini amat bersesuaian untuk menyimpan mayat manusia. Malah, sesetengah mayat kelihatan seolah-olah seperti nyenyak tidur.
Muzium Kematian, California AS
Bersesuaian dengan namanya, Muzium Kematian menampilkan beberapa peristiwa tragik. Ia mempunyai koleksi arkib hingga kepada foto kematian paling mengerikan di Amerika Syarikat. Foto paling terkenal ialah foto tragik mangsa pembunuhan Elizabeth Short atau yang terkenal dengan gelaran “Black Dahlia” yang mati dengan tubuhnya dikerat.
Terdapat juga kepala Henri Landru yang dipenggal, pembunuh bersiri yang membunuh 11 teman wanitanya dengan cara mengerat mayat mereka sebelum membakarnya dalam ketuhar.
Muzium Dupuytren, Paris, Perancis
Muzium ini terletak di kompleks Fakulti Perubatan, Universiti Paris di Perancis. Ia mempunyai beribu-ribu koleksi anatomi tubuh manusia daripada kepala hingga kepada kaki yang dibuat daripada lilin. Pelbagai organ tubuh manusia yang mempunyai kelainan juga ada di sini.
Anda boleh melihat otak manusia yang menderita penyakit Aphasia atau kerosakan otak yang direndam dalam larutan alkohol. Anda juga boleh melihat koleksi alat uji kaji doktor yang digunakan pada abad ke-17 dan 18 lengkap dengan gambar.
Muzium Penyeksaan, Amsterdam, Belanda
Usah terkejut kerana muzium yang terletak di Amsterdam ini mengumpulkan koleksi alat untuk menyeksa yang digunakan pada abad pertengahan. Sejarah penyeksaan terhadap banduan atau penjahat juga dipamerkan dengan jelas.
Terdapat alat pemecah dan pemenggal kepala, gergaji untuk membelah tubuh dan kurungan besi untuk mengurung manusia sebelum mereka dibakar. Suasana di dalam muzium ini cukup menyeramkan hinggakan ada pengunjung yang mengatakan mereka ternampak kelibat lembaga di sini.
Muzium Madame Tussauds, London, United Kingdom
Jika biasanya Muzium Madame Tussauds menampilkan patung tokoh-tokoh terkenal, keadaannya berbeza dengan muzium ini. Ia menampilkan patung lilin mangsa revolusi Perancis.
Patung lilin mangsa mempunyai rupa yang sangat menakutkan. Ada yang hanya berbentuk kepala hingga potongan kaki manusia, selain terdapat juga patung manusia yang digantung dan longgokan mayat yang berlumuran darah. Anda dinasihatkan tidak memasuki muzium ini bersendirian!
Muzium Psikiatrik Glore, Missouri, AS
Sebuah lagi muzium yang menyeramkan di Amerika Syarikat ialah Muzium Psikiatrik Glore. Di sini dipamerkan kaedah rawatan pada abad ke-16, 17 dan 18 yang mampu membuatkan anda berpeluh di dahi kerana kaedah rawatan psikiatrik abad berkenaan seolah-olah berbentuk penyeksaan.
Terdapat rawatan yang menggunakan kaedah kejutan elektrik dan juga rawatan purba. Di muzium ini juga ada satu replika menunjukkan seorang doktor menyiram air ke dalam bekas besar yang dimuatkan dengan pesakit.sumber
No comments:
Post a Comment