Wednesday, 18 September 2013

Amerika Digemparkan Dengan 12 Mati Ditembak Bekas Anggota Tentera

SEKUMPULAN anggota polis memeriksa sekitar kawasan Limbungan Tentera Laut Washington selepas insiden tembakan rambang kelmarin.- REUTERS






WASHINGTON - Sebanyak 12 nyawa melayang apabila seorang bekas anggota simpanan tentera laut Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan rambang di sini.

Penyerang kemudian maut ditembak polis selepas mengamuk di pangkalan Limbungan Tentera Laut Washington kelmarin.

Pihak berkuasa mengenal pasti lelaki bersenjata itu sebagai Aaron Alexis dari Fort Worth, Texas. Dia pernah berkhidmat dalam Tentera Laut AS dari tahun 2007 hingga 2011.

Pihak berkuasa AS yang menyiasat tragedi itu memberitahu semalam bahawa Alexis bertindak bersendirian.

Media tempatan pula melaporkan, seramai 14 orang turut cedera dalam kejadian tersebut.

"Kami berasa lega kerana individu yang bertanggungjawab menyebabkan kehilangan nyawa di pangkalan ini telah ditangani," kata ketua polis Wa- shington, Cathy Lanier.

Dalam perkembangan berkaitan, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) merayu kepada orang ramai untuk tampil memberi maklumat mengenai lelaki berusia 34 tahun itu.

Menurut FBI, Alexis dibelenggu masalah disiplin semasa berkhidmat dalam tentera, malah dia pernah ditahan kerana menembak peluru menembusi siling apartmennya tetapi tidak pernah didakwa.

"Semua maklumat tentang penembak ini adalah berguna.

"Kami sedang menyiasat pergerakan, kenalan dan rakan-rakannya," kata Penolong Pengarah Lapangan FBI, Valerie Parlave.

Insiden itu mencetuskan ketakutan di bandar raya ini. Beberapa jam kemudian orang ramai sekali lagi terkejut apabila seorang lelaki membaling mercun ke perkarangan White House di sini. Suspek segera ditahan polis.

Setakat ini, polis masih tidak jelas tentang motif Alexis yang berkhidmat selama empat tahun dalam tentera laut, mengamuk menggunakan raifal AR-15. -KOSMO

No comments:

Post a Comment