IPOH: Seorang pemandu kereta yang memandu dalam keadaan mabuk bertindak gila apabila sengaja merempuh enam penunggang dan pembonceng tiga motosikal, menyebabkan dia dibelasah oleh orang ramai.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam kelmarin, lelaki berusia 40-an itu memandu Toyota Camry secara melulu dan melanggar mangsa berhampiran persimpangan Jalan Mustafa Al-Bakri, di sini, sebelum terus memecut kenderaannya dengan aksi drift untuk melarikan diri.
Berikutan itu, dia dikejar lebih 10 penunggang motosikal yang menyaksikan kejadian itu sebelum berjaya dikepung berhampiran lampu isyarat Jalan Datuk Onn Jaafar, di sini.
Lelaki itu kemudian dibelasah beramai-ramai sebelum diserahkan kepada polis.
Seorang daripada mangsa, Norimi Mohamad, 30, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pasir Puteh dan kereta dipandu lelaki itu merempuhnya ketika dia berada di lampu isyarat di persimpangan Jalan Sultan Idris Shah, di sini.
0 comments:
Post a Comment