Juruukur bahan hina Sultan Johor dalam FB
AHMAD Abd. Jalil (kanan) didakwa atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi laman sosial Facebook dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bahru, semalam |
JOHOR BAHRU — Seorang juruukur bahan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Facebook, bulan lepas.
Ahmad Abd. Jalil, 27, yang berasal dari Klang, Selangor, membuat pengakuan itu di depan Hakim Zamri Bakar selepas pertuduhan terhadapnya dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 28 Nov depan untuk menyebut semula kes.
Ahmad didakwa memuat naik satu status menghina Sultan Johor di akaun laman Facebook yang didaftarkan atas nama ”Zul Yahya” di Dewan Tan Sri Mohamad Rahmat, Kampung Pasir, Tampoi pada kira-kira pukul 3 petang, 21 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM50,000 dan denda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas disabitkan.
Ahmad juga didakwa melakukan perbuatan yang sama di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini pada kira-kira pukul 6 petang, 10 Oktober lalu. — BERNAMA
sumber;http://www.kosmo.com.my/
0 comments:
Post a Comment