TERSERGAM... pusat peranginan ini tidak punyai banyak perbezaan dengan hotel mewah, kecuali ia terletak di dalam laut.
Kompleks percutian berkenaan akan dibina 10 meter di bawah permukaan air di sebuah lagun di luar pesisir pantai sebuah pulau persendirian di Fiji.
Ia akan mengandungi 25 suite, sebuah restoran, bar, gimnasium dan gereja kecil untuk melangsungkan perkahwinan.
Projek inovatif itu ialah idea L Bruce Jones, ketua US Submarines, Inc.
Dengan membelanjakan RM45,000 setiap seorang untuk seminggu, tetamu boleh menikmati akses ke kompleks di bawah permukaan air menerusi sebuah lif dari pantai pulau berkenaan.
Di atas ialah 51 kamar hotel tambahan di samping beberapa restoran dan bar serta sebuah spa, gelanggang tenis dan padang golf sembilan lubang.
Bagaimanapun, yang pasti menjadi tarikan utama dan paling menarik bagi sebahagian besar pelawat ialah panorama laut yang penuh dengan fenomena biologi seperti ikan tropika dan terumbu karang.
Untuk menjelajah dunia subakua ini, tetamu mempunyai akses kepada empat kapal selam peribadi yang disediakan oleh pusat peranginan itu.
Dalam laman webnya, pusat peranginan itu mendakwa bangunannya berdasarkan rekaan kapal selam penumpang yang disifatkannya sebagai ‘bentuk pengangkutan paling selamat di dunia’.
Struktur pelbagai modul kompleks itu dibina secara berasingan. Ini bermakna, setiap satu boleh ditutup jika timbul sebarang masalah.
Dan setiap kamar yang diperbuat daripada plexiglass, boleh ditanggalkan dari dasar laut dan diangkat ke permukaan air jika perlu.
Pusat peranginan Poseidon itu mula dirancang beberapa tahun lalu memandangkan Jones dan rakan kongsinya berusaha mencari modal yang diperlukan bagi merealisasikan rekaan komprehensif mereka.
Mereka mendakwa, hotel itu hanya akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebaik mereka memperoleh wang secukupnya.sumber
0 comments:
Post a Comment