Thursday 6 December 2012

Filled Under:

fuyo!!! Kereta eco jimat minyak




MIRAGE mempunyai sejarah yang agak bersimpang-siur. Ini kerana ia dijual menggunakan nama Colt dan Lancer Fiore, bergantung kepada pasaran yang dimasukinya. Itu belum dicampur dengan keadaan di mana nama itu hilang buat seketika dan diberi nafas baharu sejak kebelakangan ini.
Di Malaysia, Mirage pernah ditawarkan sebagai sebuah model kompak Colt sekitar tahun 1980-an. Namun, model yang mempopularkan Mirage sebenarnya ialah Proton Satria. Berdasarkan kepada pembacaan, Satria sebenarnya dibina oleh Proton berdasarkan kepada model Mirage/Colt yang popular pada tahun 1990-an.
Model itu kemudian senyap dalam tempoh yang agak lama sehinggalah Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) menawarkan model kompak Colt pada tahun 2006. Ditawarkan pada harga kira-kira RM121,000 seunit, memang ia agak mahal untuk sebuah kereta kompak. Hasilnya, tidak ramai yang mahu atau mampu untuk membeli Colt.
Walaupun kecil, Mirage/Colt menawarkan pemanduan yang sporty bersama unit enjin berkuasa. Namun, Mirage baharu nampaknya lari terus daripada konsep asalnya. Malah, kenyataan itu diakui sendiri oleh Pengarah Eksekutif dan Pengurus Besar Korporat, Pejabat Asia & ASEAN, Operasi Luar Negara Kumpulan, Masahiko Kobayashi.
“Buat masa sekarang, MMC (Mitsubishi Motor Corporation) memang tidak ada perancangan untuk menghasilkan Mirage yang lebih berkuasa atau sporty,” jelas Kobayashi.
Kenyataan itu dikeluarkan sewaktu pelancaran rasmi Mirage baharu di ibu negara pada Isnin lalu. Lebih menarik lagi, Presiden MMC, Osamu Masuko hadir untuk merasmikan majlis pengenalan Mirage yang boleh dianggap sebagai model penting buat jenama Mitsubishi di Malaysia.

MITSUBISHI Motors Malaysia yakin Mirage merupakan model penting yang akan memacu pertumbuhan jualan kenderaan Mitsubishi di Malaysia.


CBU Thailand
Dihasilkan di kilang Mitsubishi di Thailand, jentera kompak itu menerima pengecualian cukai sempena polisi kenderaan eco yang memberi banyak kelebihan kepada kenderaan kompak dan jimat minyak di sana.
Sebagai sebuah kereta eco, Mirage dikuasakan oleh unit enjin tiga silinder DOHC bersesaran 1.2 liter yang turut dilengkapi oleh sistem MIVEC. Enjin berkod 3A92 itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 78PS dan tork puncak 100Nm @ 4,000 rpm.
Memang sekali lihat ia macam kurang berkuasa. Tetapi harus ingat bahawa enjin itu menggerakkan tubuh kenderaan yang cukup ringan atau lebih tepat lagi 850 kilogram (kg) sahaja untuk versi automatik dan 825kg (manual).
Hasilnya, penggunaan bahan apinya cukup mengagumkan. Diukur menggunakan Kitaran Pemanduan Eropah yang Baru (New European Driving Cycle, NEDC), Mirage mampu mencapai tahap penggunaan bahan api 21 klometer bagi setiap liter! Catatan itu sebenarnya sudah hampir sama dengan beberapa model hibrid kompak yang ada di pasaran tempatan.
Ditanya mengenai pesaing rapatnya, MMM menyatakan, Mirage merupakan produk unik yang tiada pesaing secara langsung. Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tetsuya Oda ada menyebut Perodua Myvi dan Suzuki Swift sebagai model yang mungkin boleh dijadikan sebagai perbandingan.

PELAPIK yang melindungi barang anda daripada mudah diintai oleh orang lain.


Mirage nyata mendapat sambutan memberangsangkan di Thailand. Sehingga kini, Mitsubishi sudah menerima tempahan sebanyak 45,000 unit sejak dilancarkan pada Mac lalu. Pasaran Jepun juga menyaksikan maklum balas positif apabila 12,000 unit Mirage ditempah pelanggan mulai Ogos 2012.
Berbanding pasaran Thailand yang lebih meriah, MMM hanya menawarkan Mirage dalam tiga varian iaitu transmisi manual dan automatik yang dibezakan oleh ciri-ciri tertentu. Versi manual dikenali sebagai GL dan ditawarkan pada harga RM56,980 seunit. Sementara varian automatik GL CVT dan GS CVT pula dijual pada harga RM61,980 dan RM64,980 sebuah (di atas jalan termasuk insurans).
Pakej Aksesori
Mungkin ada yang beranggapan reka bentuk Mirage kurang menarik dan terlalu ringkas. Jangan bimbang, untuk menjadikan Mirage anda lebih personal dan menarik MMM menawarkan pelbagai aksesori. Pilih sahaja sama ada pakej Aero berharga RM1,999 pakej Chrome (RM750), penutup tangki minyak Ralliart (RM150) atau tempat duduk kulit (RM1,500). Pasti penampilan Mirage anda lebih bergaya.
“Pengenalan Mirage sememangnya menjadi momen penting dalam perjalanan kami di Malaysia. Mirage merupakan model paling tepat dalam usaha kami bersaing dalam segmen B hatchback bukan nasional. Kami menyasarkan perkongsian pasaran sebanyak 20 peratus dalam segmen tersebut,” kata Oda dalam nada optimis.
MMM meletakkan sasaran untuk menjual sebanyak 400 unit Mirage sebulan. Nampaknya, sasaran itu agak selamat memandangkan tempahan yang diterima setakat ini sejak 1 Oktober lalu sudah melebihi 500 unit.

ENJIN 12 injap tiga silinder sebaris bersesaran 1.2 liter yang mampu menawarkan kuasa sewajarnya.


Dianggap sebagai kenderaan bukan nasional paling murah setakat ini, rakyat Malaysia memilih untuk memiliki varian GS CVT yang hadir dengan pakej lengkap. Buktinya, 90 peratus membeli varian itu berbanding dua lagi varian yang kurang aksesorinya.
Di samping jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu), pembeli juga diberikan pakej penyelenggaraan selama setahun atau 20,000km yang meliputi alat ganti, minyak enjin dan kos buruh.
Setelah agak senyap kebelakangan ini, MMM nampaknya sedia untuk kembali bangkit. Syarikat itu yakin sasaran jualan 13,000 unit kenderaan dapat dicapai menjelang tahun fiskal yang berakhir pada Mac 2013. Keyakinan itu berpaksikan kepada pengenalan Mirage dan varian-varian baharu model sedia ada.
Satu lagi perkembangan menarik yang harus diketahui adalah MMM sudah mengumumkan perancangan aktiviti pemasangan komponen terurai (CKD) model-model Mitsubishi.
“Untuk terus berkembang di pasaran Malaysia, kami meletakkan misi menjalankan operasi CKD menjelang akhir 2013,” kata Oda tanpa mengulas lanjut mengenai model apa yang akan dipasang di sini dan siapakah rakan kerjasamanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm#ixzz2ECKS9Tgk 
Hakcipta terpelihara 




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers