|
WEBSTER, New York – Seorang bekas banduan membakar sebuah rumah dan kereta di kejiranannya di sini, dalam negeri New York, untuk mengumpan pihak bomba sebelum menembak mati dua anggota pasukan berkenaan.
Penyerang kemudian bertindak membunuh diri selepas berbalas tembakan dengan pihak polis.
Dalam kejadian tersebut, pihak berkuasa terpaksa menggunakan kereta perisai untuk memindahkan mangsa-mangsa yang terbunuh serta 33 orang penduduk sekitarnya.
Ketua polis bandar ini, Gerald Pickering berkata, penyerang bersenjata itu, William Spengler telah dipenjara lebih 17 tahun kerana memukul sampai mati neneknya yang berusia 92 tahun pada tahun 1980.
Menurutnya, pembunuhan tersebut berlaku di sebuah rumah bersebelahan kediaman tempat serangan kelmarin berlaku.
Pihak berkuasa memberitahu, Spengler, 62, memperoleh parol pada 1998 dan menyepikan diri sejak dia dibebaskan.
“Kebakaran itu satu perangkap,” kata Pickering pada satu sidang media.
“Mereka ini (anggota-anggota bomba) bangun di tengah malam demi memadamkan kebakaran. Mereka tidak menyangka akan ditembak dan terbunuh,” tambahnya.
Setakat ini, polis masih menyiasat motif serangan tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, satu rakaman audio yang disiarkan di laman web RadioReference.com menunjukkan seseorang melaporkan bahawa penyerang menggunakan sepucuk raifal atau senapang.
Dia melepaskan tembakan dari atas sebuah rabung di luar kediaman tersebut.
Jelas pihak berkuasa, dua anggota bomba mati di tempat kejadian manakala dua yang lain dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan.
Seorang lelaki yang kebetulan melalui kawasan itu turut cedera dalam insiden tersebut.
Menurut Pickering, sebanyak tujuh buah rumah musnah dengan polis masih belum dapat mengesahkan sama ada terdapat mangsa lain yang maut dalam serangan tersebut. Dalam perkembangan yang sama, seorang anggota polis Bellaire dan seorang penduduk ditembak dan dibunuh seorang suspek di tempat letak kereta kedai barangan penjagaan diri di barat daya bandar raya Houston kelmarin, kata beberapa
pegawai.
Pihak berkuasa menyatakan, Koperal Jimmie Norman, 53, sedang mengejar suspek berusia 21 tahun itu, Harlem Harold Lewis apabila dia menaiki kereta ke tempat pakir pada pukul 8.55 pagi waktu tempatan.
Beberapa saksi berkata, Lewis keluar dari kenderaannya dan mula melepaskan berdas-das tembakan.
“Lelaki itu mula menembak dengan tembakan dilepaskan ketika saya melarikan diri. Kira-kira 10 minit kemudian saya terfikir pistol apa yang digunakan lelaki itu,” kata sorang saksi, Stephanie Pacheco.
Seorang saksi lain, Selvin Romero memberitahu Lewis melanggar trak pikap miliknya.
Menurut Romero, dia mengekori Lewis ke laluan di hadapan kedai itu.
Katanya, dia melihat Norman menghampiri kereta Lewis untuk memaksa dia menyerah diri. Namun, beberapa saat kemudian, Lewis melepaskan tembakan ke arah anggota polis itu.
“Suspek mula menembak anggota polis itu dan seterusnya menembak pemilik kedai berkenaan," kata Romero.
Pemilik kedai itu, Terry Taylor ditembak pada jarak dekat di kepala. Menurut polis, dia mati di tempat kejadian.
Polis menyatakan, Norman dibawa ke Hospital Ben Taub di sini dan meninggal dunia tidak lama kemudian. Dia tidak berbalas tembakan dengan suspek.
Lewis cedera dan melarikan diri tetapi dia ditemui di belakang sebuah premis perniagaan tidak jauh dari lokasi kejadian. Menurut polis, sepucuk senjata api ditemui di tempat kejadian.
Lewis kemudian dibawa ke sebuah hospital berhampiran dan berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil.
Beberapa doktor memberitahu, dia dijangka pulih. Suspek kini berdepan dakwaan membunuh seorang anggota polis dan melakukan pembunuhan.
Sementara itu, seorang lelaki Seattle berusia 30 tahun terbunuh dan seorang lelaki cedera dalam insiden tembakan di sebuah bar di Bellevue dalam negeri Washington juga kelmarin.
Polis Washington mengeluarkan waran tangkap pada hari yang sama terhadap seorang remaja berusia 19 tahun berhubung kejadian itu.
Sebelum ini, kejadian tembakan berlaku di Sekolah Rendah Newton, Connecticut pada 14 Disember lalu.
Dalam kejadian itu, seorang pemuda berusia 20 tahun, Adam Lanza menembak ibunya dan 20 kanak-kanak termasuk enam kakitangan sekolah tersebut.
Lanza kemudian membunuh diri.
– Agensi
0 comments:
Post a Comment