Yana Samsudin sebagai Ichigo
Yana Samsudin sebagai Ichigo
Strawberi Cinta Yana tutur bahasa Jepun
Strawberi Cinta
Strawberi Cinta Yana tutur bahasa Jepun
Antara babak dalam Strawberi Cinta.
PERTAMA kali mendengarkan tajuknya, filem arahan Ahmad Rusli Khadri ini mungkin kedengaran agak lucu   - Strawberi Cinta.

Bagaimana pun, makna strawberi itu telah diterjemahkan menerusi nama seorang gadis Jepun, Ichigo (Yana Samsudin) yang bermaksud strawberi dalam bahasa Jepun.

Filem ke-70 terbitan Metrowealth Pictures (MIG) ini sekali lagi menampilkan gandingan mantap Yana bersama Pierre Andre. Sebelum ini, gandingan Yana dan Pierre telah teruji dalam filem romantis, Tiga Temujanji.

Strawberi Cinta mengisahkan seorang gadis bernama Ichigo Yamada yang berasal dari Jepun, telah terpisah dengan ibu kandungnya, Rozita (Dian P Ramlee), sejak berusia enam tahun.

Selepas 19 tahun, Ichigo mahu mencari ibunya bagi mengetahui mengapa Rozita meninggalkannya.

Di Malaysia, Ichigo mengikuti pakej pelancongan Strawberry Vanilla Travel & Tours yang dikendalikan Hakimie (Pierre), seorang pemandu pelancong. Hakimie kemudian mendapat tahu bahawa Ichigo mempunyai agenda tersendiri ke Malaysia.

Secara teknikalnya, jika mahu menyentuh mengenai gandingan Pierre dan Yana, rasanya keserasian di antara kedua-dua pelakon ini tidak dapat disangkalkan lagi. Pierre berjaya membawa watak Hakimie dengan baik, bersahaja dan matang. Malah, Yana yang perlu bertutur dan belajar bercakap bahasa Jepun juga berjaya membawa wataknya dengan berkesan.

Tentunya perkara yang akan menarik perhatian penonton terutamanya penonton remaja perempuan adalah fesyen ala Jepun, digayakan Yana dalam filem ini. Justeru tidak mustahil fesyen comel Yana itu akan jadi ikutan selepas ini.

Celoteh beberapa pelakon terlibat seperti Yana, Along Eyzendy yang perlu bertutur dalam bahasa Jepun, tentunya akan menarik perhatian penonton.

Namun, di sebalik budaya Jepun dan bahasa yang ditonjolkan, pengarah dilihat kurang berjaya menyusun cerita dengan kemas sehingga ada babak meleret, dengan dialog yang panjang. Hanya pada pertengahannya, barulah filem ini menemui rentak dan jalan cerita mula menarik.

Justeru, bagi mengetahui kesudahan nasib Ichigo dan bagaimana pula hubungannya dengan Hakimi, saksikannya di pawagam berdekatan anda.