EDISI pertama majalah Egzorcysta yang dijual di Poland pada bulan ini.
WARSAW,
Poland - Susulan peningkatan aktiviti menghalau hantu di Poland,
paderi-paderi Roman Katholik di sini bergabung tenaga dengan seorang
penerbit untuk melancarkan sebuah majalah bulanan pertama di dunia yang
memfokuskan secara eksklusif tentang cara menghalau syaitan.
"Peningkatan
aktiviti menghalau hantu daripada empat kepada lebih 120 kes dalam
tempoh 15 tahun di Poland merupakan petanda (untuk menerbitkan majalah
berkenaan)," kata Paderi Aleksander Posacki.
Posacki
merupakan seorang profesor dalam bidang falsafah, teologi dan hal ehwal
syaitan serta penghalau hantu terkenal di Poland.
Komen itu dikeluarkan sempena majlis pelancaran majalah berkenaan, Egzorcysta, dalam satu sidang media di sini kelmarin.
Menurutnya,
isu pertama majalah setebal 62 muka surat itu termasuk artikel bertajuk
New Age - the spiritual vacuum cleaner dan Satan is real mula dijual
bulan ini pada harga 2.34 euro (RM9.24) senaskhah.
Paderi
berkenaan percaya peningkatan rasukan syaitan berpunca daripada
perubahan kepercayaan sebahagian masyarakat Poland yang kini lebih
berpegang kepada pasaran bebas kapitalisme dan menolak ajaran Katholik.
"Ia
secara tak langsung disebabkan perubahan dalam sistem ekonomi.
Kapitalisme mencipta lebih peluang untuk melakukan perniagaan merangkumi
ilmu hitam. Malah kini, menelek nasib juga dikategorikan sebagai
pekerjaan dan dikenakan cukai," kata Posacki kepada AFP.
"Jika orang ramai boleh membuat keuntungan dengan menggunakan elemen ilmu hitam, gangguan rohani turut berkembang," tambahnya.
Posacki
yang turut berkhidmat dengan panel pakar penghalau hantu antarabangsa
menjelaskan bahawa rasukan merupakan tingkah laku ekstrem yang gagal
dirawat melalui kaedah psikologi, psikiatri dan terapi konvensional.
"Rasukan berlaku akibat kejahatan. Mencuri, membunuh dan pelbagai dosa lain," katanya kepada wartawan.
Jelasnya,
roh jahat yang merasuk pesakit akan diusir dengan menggunakan panduan
mantera yang diluluskan oleh ketua mazhab Roman Katholik, Pope John Paul
II. - AFP
http://www.relevansokmo.com
0 comments:
Post a Comment