Thursday, 21 February 2013

Filled Under:

KISAH DERITA ADIK MUHAMMAD IRSHAD DARWISY TIADA PUNG GUNG..



HULU TERENGGANU - Tatkala kanak-kanak seusianya bebas berlari meniti hari melalui proses tumbesaran, namun berlainan dengan nasib seorang kanak-kanak lelaki, di sini yang hanya sekadar mampu duduk sambil mengharapkan bantuan orang untuk bergerak.

Demikian kehidupan dilalui Muhammad Irshad Darwisy Abd Nasir, 4, akibat lemas dalam kandungan sewaktu ibunya, Zarilah Muda, 38, ingin bersalin pada 31 Julai 2009 lalu.

Sepanjang hidupnya kaki kanak-kanak comel ini dijangka tidak dapat melangkah untuk berjalan.

Zarilah berkata, anaknya yang lebih mesra dipanggil Adik itu dipercayai lemas selama 11 jam setelah air ketubannya pecah sebelum dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam keadaan seluruh tubuh badan bayinya itu kebiruan.



“Air ketuban ketika itu juga sudah kering. Malah, saya sendiri menyuruh pihak hospital melakukan pembedahan untuk selamatkan bayi kerana sudah tidak mempunyai tenaga untuk bersalin.




“Keadaan Adik yang tidak stabil menyebabkan dia berada di hospital hampir seminggu. Mulanya, saya dan suami, Abd Nasir Musa, 41, melihat Adik membesar sebagaimana bayi lain apatah lagi dilahirkan dalam keadaan yang cukup sifat dengan berat 3.25 kilogram (kg)," katanya.

Menurutnya, namun, sekitar usianya tiga bulan didapati kedua-kedua kaki Adik seperti tidak dapat diluruskan atau berpijak ketika dimandikan.

"Melihat kelainan ini, saya dan suami terus membawanya berjumpa doktor.

"Runtun jiwa apabila dimaklumkan, anak saya ini bukan sahaja dijangka tidak dapat berjalan seumur hidup akibat komplikasi lemas sewaktu bersalin, tetapi juga berkemungkinan tidak dapat bercakap”, katanya.

Syukur...Adik boleh bercakap

Selingkar kisah kehidupan kanak-kanak comel yang sudah belajar di Tadika Kemas Kubang Palas ini dikongsi Zarilah kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam dan turut dihadiri wakil barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kubang Palas.

Tambah Zarilah, hanya ALLAH SWT yang mengetahui kegembiraan dirasakan apabila anaknya itu mengeluarkan suara ketika berusia hampir setahun dan mampu menyebut beberapa perkataan termasuk Ma serta Abah, malah kini Adik begitu petah berkata-kata.

“Walaupun usianya baru empat tahun, namun dia begitu rancak bercakap sama ada dengan orang dikenalinya ataupun tidak. Cuma dia agak takut apabila orang lain mendukungnya seolah-olah bimbang sekiranya dia akan terjatuh.

“Adik tidak mengalami masalah kesihatan cuma  dia tidak mampu berjalan, selain kedua-dua tangannya lebih banyak dalam keadaan menggenggam. Selain itu, kakinya juga jelas kelihatan kecil berbanding tumbesaran badannya. Beratnya kini 7.5kg.

“Adik juga perlu memakai lampin pakai buang setiap masa sebagai sokongan bagi membolehkannya duduk, kerana dia juga tiada punggung. Dia juga tidak mampu mengesot,” ujarnya.

Ulang alik HSNZ naik teksi

Tambah Zarilah, dia dan suami perlu berulang-alik ke HSNZ beberapa kali sebulan menaiki teksi bagi mendapatkan rawatan susulan dengan kadar bayaran RM50 dan dengan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200, ia sedikit-sebanyak ringankan beban.

“Kalau diikutkan jumlah itu tidak mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu ringankan suami yang hanya lakukan kerja-kerja kampung. Sepatutnya, Adik perlukan susu khas berharga RM119 satu tin tetapi sehingga kini, hanya sekali sahaja kami mampu belikan untuknya.

“Saya juga pernah membawanya mendapatkan rawatan tradisional menggunakan kaedah urutan. Mungkin kerana terlalu sakit, Adik sendiri yang memberitahu tidak mahu lagi berbuat demikian.

“Hati saya tersentuh apabila Adik menyuarakan keinginannya untuk berlari dan bermain bola, sedangkan dia tidak mampu berbuat demikian. Saya sekadar memujuknya dengan memberitahu dia harus banyak bersenam dan lakukan terapi terlebih dahulu,” katanya.

Jauh disudut hati menaruh harapan agak Adik dapat berjalan jua suatu hari nanti.

Senyuman di wajah Muhammad Irshad Darwisy terus terukir apabila dia menerima sebuah kerusi roda sumbangan Adun Telemong, Rozi Mamat, Khamis lalu sekali gus mencapai keinginannya untuk bersama kanak-kanak seusianya belajar mengenal huruf dan angka di tadika.

Menurut Abu Nasir, Adik sememangnya ingin bersekolah tetapi kerana keadaan diri menyebabkan hasratnya tidak dapat ditunaikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga membolehkan anak saya ini ke tadika. Hari pertama ke sekolah, dia kelihatan gembira dan sentiasa tersenyum walaupun perlu belajar dari atas kerusi roda ini,” ujarnya.




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers