Wednesday 7 November 2012

Filled Under:

hiasan grecco roman tanda kemewahan



RUANG tamu nampak sarat dengan fabrik pelbagai warna dengan motif Baroque tetapi tata riasnya yang kemas menjadikan ruang ini kelihatan elok tersusun

SAAT kaki melangkah ke lobi peribadi milik unit kondominium tunggal yang mendiami tingkat 17 ini, aura mewah memang dapat dirasai.
Disambut dengan cermin bersaiz lebar dan gubahan indah jambangan bunga yang ditempatkan dalam pasu bertiang Roman, ruang lobi sederhana luas ini secara tidak langsung menjadi mukadimah identiti rekaan hiasan gaya mewah di seluruh kediaman.
Mengakui senang dengan gaya menghias ala Greco Roman yang bercirikan Yunani dan Rom, pemilik kediaman yang enggan dikenali ini turut menerapkan unsur moden yang boleh dilihat menerusi pemilihan perabot dan aksesori.
Menurut Pengarah Palazio Interior Design yang bertanggungjawab memberi sentuhan di unit kondominium mewah ini, Roslan Zaidon, 40-an, gaya tata rias yang ditampilkannya itu adalah refleksi cita rasa penghuninya yang meminati kesenian Eropah.
Candelier
"Gaya hiasan bagi keseluruhan kediaman ini direka khas mengikut kecenderungan pemiliknya yang sukakan hiasan gaya klasik Eropah.
"Beliau yang mempunyai pelbagai koleksi peribadi, terutamanya daripada jenama Versace, mahukan kediaman ini dihias dalam konsep Greco Roman yang secara tidak langsung dapat membangkitkan suasana maskulin yang diidam-idamkannya," ujar Roslan.
Memilih motif Baroque yang kelihatan seperti lingkaran kalungan bunga dalam bentuk yang tidak simetri, elemen yang mula berkembang pada awal kurun ke-17 ini mendominasi keseluruhan kediaman.
Elemen itu kebanyakannya diterjemahkan dalam cetakan fabrik sutera broked rekaan Atelier Versace, Oscar de la Renta dan juga Faberge.
Di bahagian ruang tamu misalnya, fabrik yang menyarung sofa empuk didatangkan khas daripada rekaan Atelier Versace dan Chesterfield, Spressa dari Itali.
Sebagai penegas identiti rekaan dalaman dan bertangungjawab memberi variasi warna, kain throw yang dijahit daripada corak sama namun berbeza rona turut dihampar di atas permukaan sofa.
SET pinggan mangkuk daripada Versace menyerlahkan personaliti maskulin pemiliknya.


"Motif Baroque sangat ekslusif jika dipadankan dengan fabrik rona emas, hitam dan putih.
"Lantaran itu, pemilik mahukan rekaan tersebut ada di ruang tamu utama ini," jelas Roslan.
Turut mendiami ruang penting itu ialah kabinet televisyen yang didatangkan khas dari Capelleti, Itali.
Personaliti
"Selain itu, setiap ruang utama termasuk di kamar tidur mempunyai candelier kristal daripada Preciosa dan Pataviumimart yang diimport.
"Kristal yang dipilih mempunyaikandungan plumbum tinggi yang menjadikan kilauannya lebih bergemerlapan pada malam hari.
"Candelier juga sengaja dipasang rendah supaya impak rekaannya boleh dilihat dengan lebih jelas," kata beliau lagi.
Untuk memisahkan ruang tamu dengan ruang makan, satu binaan dinding separa telus didirikan.
"Selain berfungsi sebagai pembahagi ruang, dinding ini turut dijadikan pojok santai di mana penghuninya gemar bermain gitar di situ," katanya.
Kemewahan yang melimpahi ruang tamu turut meresapi ruang makan yang terletak bersebelahan.
Menampilkan set meja makan dengan lapan kerusi yang ditempah dari Hendredon di Amerika Syarikat, ia diserikan lagi dengan set pinggan mangkuk Versace.
Selesai di ruang makan, Roslan membawa penulis menjelajah ke ruang tamu kedua yang terletak di bahagian hadapan.
Tidak banyak beza gaya rekaan yang ditonjolkan di sini, namun kehadiran sofa kulit polos berwarna coklat di ruang tersebut ternyata mampu memberi aura lembut di sebalik ciri maskulin yang mendominasinya.

DINDING kaca ditempatkan di sepanjang ruang makan untuk menonjolkan dimensi luas di bahagian ini.


Enggan menyaratkan pemandangan isi rumah sekali gus membangkitkan lagi karakter Greco Roman, dinding di seluruh kediaman ini dibiarkan polos.
"Hanya tampalan kertas dinding warna cerah dan sedikit kumai berbentuk petak digunakan untuk memberi penegasan gaya maskulin.
"Selain itu, terdapat juga bingkai gambar yang mempamerkan rekaan Baroque, seni khat dan abstrak sebagai penyeri dinding," ujar Roslan.
Beralih ke ruang istirehat peribadi pula, terdapat tiga bilik tidur di kediaman ini, termasuk sebuah kamar kecil yang dijadikan pejabat.
Setiap kamar yang dilengkapi dengan bilik air masih mengekalkan gaya rekaan yang sama.
Di bilik tidur utama misalnya, hampir kesemua fabrik yang digunakan baik set cadar, gebar, alas kerusi hinggalah permaidani, dihasilkan daripada fabrik dengan rekaan Baroque.
Gaya rekaan sama turut diterapkan di bilik-bilik tidur yang lain.
Menurut Roslan yang sudah 21 tahun berkecimpung dalam dunia rekaan dalaman, beliau perlu mememahami karakter dan personaliti pemilik sebelum boleh mereka hiasan dalaman kediaman berkenaan.
"Pemilik adalah peminat gaya klasik Eropah. Untuk memberi jiwa pada rekaan hiasan di rumah ini, saya perlu memilih perabot dan aksesori yang fungsinya bukan semata-mata untuk mengisi ruang kosong sebaliknya berupaya membangkitkan suasana yang mewakili personaliti dan karakter pemilik," katanya.




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers