SYDNEY - Dua orang penyampai radio stesen 2Day FM di sini menyembunyikan diri selepas tersiarnya berita bahawa mereka akan disoal siasat polis kerana menyamar sebagai pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles, menurut beberapa buah akhbar semalam.
Penyampai radio itu, Mel Greig dan Michael Christian melakukan penyamaran itu semasa menghubungi jururawat Hospital King Edward VII di London, England pada minggu lalu untuk mengetahui tentang keadaan kesihatan menantu ratu tersebut, Kate Middleton.
Kate dimasukkan ke hospital selepas dia mengadu berasa loya kerana mengandung anak kepada cucunda ratu tersebut, Putera William.
William yang merupakan pewaris kedua takhta Britain dan Kate berkahwin pada April tahun lalu.
Ekoran penyamaran itu, maklumat tentang kesihatan Kate dapat diketahui dan didedahkan oleh media.
Bagaimanapun, penyamaran itu telah menyebabkan jururawat tersebut, Jacintha Saldanha, 46, yang berketurunan India ditemui mati di kediaman yang disediakan pihak hospital dan dia dipercayai membunuh diri di sini pada Jumaat lalu selepas Kate dibenarkan keluar hospital selepas empat hari dirawat.
Beberapa orang rakan penyampai radio itu berkata, Greig dan Christian telah mengalami tekanan jiwa akibat perbuatan mereka.
Menurut mereka, kedua-dua penyampai radio itu turut mendapat khidmat kaunseling.
Seorang jurucakap syarikat Southern Cross Austereo yang memiliki radio itu menyatakan, Greig dan Christian disediakan perkhidmatan kaunseling bagi membolehkan mereka berdepan dengan situasi tragis tersebut.
Pihak syarikat itu turut menyuarakan kebimbangan tentang tahap kesihatan mental kedua-dua penyampai radio berkenaan selepas kejadian tragis itu berlaku, lapor akhbar The Australian.
Ekoran penyamaran itu dan kematian jururawat tersebut, kedua-dua penyampai radio berkenaan menerima kritikan daripada pelbagai pihak di peringkat antarabangsa.
Menurut akhbar dalam talian MailOnline, bapa Greig menyatakan, dia tidak tahu lokasi anaknya kini.
"Saya telah bercakap dengannya tetapi saya diberitahu supaya tidak memberitahu sebarang maklumat lagi," kata bapa Greig.
Punca kematian sebenar Saldanha yang merupakan ibu kepada dua orang anak masih belum diumumkan polis.
Bagaimanapun, ramai penduduk dari London sehingga Sydney membuat spekulasi bahawa dia mati kerana tekanan akibat memberitahu tentang keadaan kesihatan Kate kepada kedua-dua penyampai radio tersebut.
Polis Britain telah menghubungi pihak berkuasa Australia tentang kemungkinan untuk menyiasat tentang penyamaran tersebut.
Pengerusi Hospital King Edward VII, Lord Simon Glenartur menulis sepucuk surat kepada pengerusi kumpulan Southern Cross Austereo yang memiliki radio tersebut kelmarin bagi membantah tindakan kedua-dua penyampai radio tersebut.
"Ia merupakan sesuatu yang amat bodoh kerana para penyampai radio cuba untuk menipu," katanya.
Dalam perkembangan sama, pihak syarikat yang memiliki radio itu juga akan mengkaji semula dasar-dasar penyiarannya selepas kematian jururawat itu.
Pengerusi syarikat itu, Max Moore-Wilton berkata, pihaknya mengambil beberapa langkah terkini dan sedang mengkaji proses penyiaran radio berkenaan.
Menurutnya, kejadian tersebut amat dikesali dan tidak dapat dijangkakan.
Suami jururawat itu, Ben Barboza, 49, yang merupakan seorang akauntan menyatakan hatinya berkecai ekoran kematian isterinya itu dalam keadaan tragis.
Dalam laman Facebook, anak perempuan jururawat itu, Lisha yang berusia 14 tahun menyatakan dia amat merindui ibunya.
Sebelum ini, kedua-dua penyampai radio itu telah meminta maaf ekoran kejadian tersebut. - Agensi
0 comments:
Post a Comment