![]()
Sharapova
|
MILAN - Ratu tenis Rusia, Maria Sharapova meletakkan sasaran untuk merampas semula ranking No. 1 dunia selepas berjaya menampilkan aksi terbaik tahun ini.
Sharapova melalui detik-detik yang sukar sejak beberapa tahun lalu selepas menjalani pembedahan bahu pada 2008.
Bagaimanapun, dia kembali menampilkan aksi terbaik dan melonjak di ranking No. 1 dunia buat seketika selepas memenangi Terbuka Perancis untuk melengkapkan koleksi gelaran Grand Slam dalam kariernya.
"Sudah tentu, sasaran utama saya adalah untuk menduduki ranking pertama dunia dan itu adalah kedudukan yang sentiasa menjadi idaman semua pemain," kata Sharapova kelmarin.
"Satu cara untuk mencapai sasaran tersebut adalah dengan terus bekerja keras.
"Namun, apa yang lebih penting dan sasaran utama ialah memenangi sebanyak mungkin perlawanan. Selepas itu, ranking akan datang dengan sendirinya.
"Saya perlu bekerja keras dan menganggap semua perlawanan sama penting. Itu yang saya lakukan selama ini," katanya.
Ketika ini, Sharapova berada di Milan, Itali untuk beraksi dalam satu perlawanan pertunjukkan bersama-sama bekas pemain No. 1 dunia, Ana Ivanovic.
Mereka akan berdepan dua pemain Itali, Sara Errani iaitu pemain yang tewas kepada Sharapova pada final Terbuka Perancis dan Roberta Vinci.
Errani turut menampilkan kebangkitan untuk menghadapi perlawanan tersebut.
Dia yang menduduki ranking ke-45 dunia pada awal tahun ini melonjak di tempat keenam selepas mara ke final di Ronaldo Garros, Perancis melangkah ke separuh akhir pada Terbuka Amerika Syarikat dan memenangi dua gelaran iaitu kedua-duanya di Vinci.
"Saya tidak pernah terfikir mengenai kejayaan itu. Ia adalah satu tahun yang menakjubkan," kata Errani. - Agensi
0 comments:
Post a Comment