
DIAME (kiri) meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua West Ham ketika menewaskan Chelsea 3-1 malam tadi.
LONDON - Chelsea masih tercari-cari kemenangan pertama di bawah bimbingan pengurus sementara, Rafael Benitez.
Skuad The Blues mensia-siakan peluang terbaik untuk melakukannya selepas tewas 1-3 kepada West Ham United pada aksi Liga Perdana England di Upton Park malam tadi.
Selepas seri tanpa jaringan dalam dua perlawanan pertama sejak Benitez mengambil-alih tugas Roberto Di Matteo minggu lalu, Chelsea berjaya memperoleh gol menerusi jaringan pemain tengah Sepanyol, Juan Mata pada minit ke-13.
Begitupun, skuad The Hammers menampilkan aksi lebih baik pada babak kedua selepas pengendali, Sam Allardyce memasukkan Mohamed Diame and Matt Taylor.
Carlton Cole menjaringkan gol penyamaan ketika menentang bekas kelabnya itu pada minit ke-62 sebelum pemain gantian, Diame meletakkan West Ham di depan pada minit ke-86.
Ketika para peminat Chelsea menyanyikan lagu sebagai tanda sokongan kepada Di Matteo, West Ham melengkapkan hari malang buat Benitez setelah seorang lagi pemain gantian, Modibo Maiga menjaringkan gol ketiga pasukan itu pada masa kecederaan.
Meskipun tewas, Chelsea kekal di tangga ketiga selepas mengumpul 26 mata manakala West Ham melonjak di tangga ketujuh dengan 22 mata.
Kekalahan itu pasti memberi tekanan kepada Benitez yang dilihat gagal mendapat sokongan para peminat Chelsea selepas apa yang dilakukannya ketika membimbing Liverpool sebelum ini.
Kekalahan ini melebarkan rekod tanpa menang Chelsea sebanyak tujuh perlawanan iaitu yang terburuk sejak Februari 1995.
Sementara itu, Allardyce mengesahkan bahawa penyerang England, Andy Carroll bakal direhatkan selama lapan minggu selepas mengalami kecederaan lutut.
Carroll yang dipinjamkan dari Liverpool mengalami kecederaan itu ketika tewas 0-1 kepada Manchester United, Rabu lalu. - Agensi
0 comments:
Post a Comment