Sazali fokus bina badan
isteri, Hashrine yang menjadi pendorong kejayaan
Sazali fokus bina badan
Bersama pengunjung Gimnasium Rakyat Kampung Pandan yang merupakan salah satu tempat latihan kegemaran Sazali.
Sazali fokus bina badan
Antara rutin latihan Sazali di gimnasium.
Sazali fokus bina badan
BUKTI KEGIGIHAN.. Sazali mencatat menu makanannya sejak 2005.
Dalam kalangan peminat sukan bina badan, dia adalah legenda hidup yang cukup disegani. Kejayaannya bukan calang-calang dan pasti sukar diulangi.

Menggenggam gelaran Mr Asia sebanyak lapan kali termasuk di Kejohanan Bina Badan Asia 2012 di Guangzhou, China, September lalu, Sazali Samad, 45, jarang menghampakan peminat sukan ini.

Ketika ditemui di Gimnasium Rakyat Kampung Pandan, Sazali sedang menghitung hari untuk ke Bangkok bagi memburu trofi kelapan kejohanan dunia, Mr Universe yang berlangsung di Bangkok pada 5 Disember 2012 hingga  hari ini (10 Disember 2012).

Mengimbau detik menyertai sukan bina badan, segala-galanya bermula dengan satu artikel dalam akhbar yang dibaca selepas Sazali tamat sekolah pada 1985.

 Artikel yang memaparkan gambar jaguh bina badan negara, Datuk Malek Noor itu kemudiannya dipotong dengan cermat dan disimpannya.

“Sebab itu saya amat menyanjung tinggi Malek Noor. Beliau merupakan orang pertama mempopularkan bidang ini,” ujar Sazali.

Antara pengalaman tidak mungkin dilupakan Sazali ketika mula jatuh cinta pada bina badan adalah, kegigihannya mencari besi buruk sebelum dihantar ke bengkel untuk dipaterikan menyerupai dumb bell. Maklumlah pada waktu itu sukan ini masih asing justeru tidak mudah menemui gimnasium.

Justeru sebaik bekerja di Kementerian Dalam Negeri pada 1987 di Kuala Lumpur, Sazali tidak melepaskan peluang mendaftar di Pusat Latihan Bina Badan Bukit Aman. Siapa sangka, itulah detik awal beliau bakal melakar kejayaan.

Dalam hal ini Sazali amat terhutang budi pada Allahyarham Deputi Superintendan Roslan Ahmad, pengelola bina badan PDRM pada waktu itu yang membakar semangatnya apabila berkata, “Lihat pada susuk tubuh, Zali ada potensi besar untuk jadi jaguh bina badan satu hari nanti!”

Telahan Roslan ternyata benar apabila tanpa mengambil masa lama untuk menonjolkan potensi diri, Sazali menyertai dan memenangi Mr Kuala Lumpur dua tahun kemudian bagi kategori Bantamweight (65kg).

Seterusnya, Sazali memenangi Mr Malaysia pada 1991 yang melayakkannya mewakili negara ke Pertandingan Bina Badan Amatur Asia di Korea Selatan.

“Mulanya arwah ibu kurang setuju saya sertai sukan ini. Tapi pendiriannya berubah malah berbangga bila saya dapat ke Korea Selatan mewakili negara,” imbau anak keempat daripada 11 beradik ini.

Jaga pemakanan

BAGI Sazali, rahsia utama kejayaannya adalah rutin latihan dan penjagaan pemakanan yang konsisten.

Walaupun pada hari biasa, beliau tidak gemar menjamah makanan berlemak dan tidak akan menyentuh langsung makanan demikian tiga hingga empat bulan sebelum menyertai pertandingan.

Antara makanan yang wajib diambilnya setiap hari adalah 16 biji putih telur selain sumber vitamin dan protein lain seperti ayam, ikan, daging dan buah-buahan. Ini tak termasuk aneka pil dan kapsul multivitamin dan makanan tambahan lain yang boleh mencecah 40 butir sehari!

“Pada pengamatan saya, setiap badan mempunyai pecahan lemak tersendiri jadi corak latihan dan pemakanan mungkin tak sama,” ujar Sazali. yang mula melakukan catatan menu pemakanan setiap hari sejak 2005 selepas disarankan pegawai pemantau pemakanan atlet MSN, Ahmad Zawawi.

Selama 25 tahun mengunjungi gimnasium tanpa culas, dia menyatakan  perasaan bosan atau jemu tidak pernah timbul malah menyukai segala-galanya tentang bina badan.

Sebahagian besar dunia Sazali boleh dikatakan hanya berkisar di tempat kerja selaku Sub Inspektor PDRM, seterusnya menjalani latihan di gimnasium. Justeru, dia tidak menafikan kejayaannya turut didorong oleh isteri dan anak-anak yang cukup memahami.

Hashrine Hashim, 42, dikahwini Sazali setelah memenangi Mr Asia buat kali pertama di New Delhi pada 1996 sebagaimana janjinya pada wanita berkenaan sebelum bertolak ke sana.

Sampai ke hari ini, mereka kekal bahagia di samping lima cahaya mata iaitu Muhammad Syahmi, 14, Muhd Hazim, 12, Muhd Hisyamuddin, 8, Nur Sabrina Hani, 6, dan Nur Aleesya Hana, 1.

“Bagi saya sukan ini unik kerana tiada had umur bersara. Lagipun nak mengukir otot bukan mudah, ia perlukan disiplin dan latihan keras,” ujar Sazali.

Beliau mempunyai  perancangan membuka gimnasium serta mengadakan seminar dan klinik bina badan sendiri satu hari nanti.

Satu perkara yang mungkin tak semua orang tahu, peserta pertandingan bina badan biasanya akan berjemur sebelum pertandingan untuk mendapatkan warna kulit yang tanned agar ton otot kelihatan lebih ‘garang’ dan menarik.

Sazali sendiri masih gemar melakukannya walaupun sejak tahun 2000, turut menggunakan krim khas yang diimport dari luar negara.
sumber