Sinar Harian difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 9.10 malam di sebuah taman perumahan di sekitar Bandar Port Dickson.
Mangsa, R Gunasegaran, 57, yang cedera di kepala, bahu dan tangan dikejarkan ke Hospital Port Dickson oleh jirannya untuk mendapatkan rawatan kecemasan.
Gunasegaran menerima 20 jahitan pada bahunya dan 12 jahitan ditangannya.
Menceritakan detik mencemaskan itu, Gunasegaran berkata, dia bersama isterinya memang gemar bersiar-siar di kawasan taman perumahannya.
“Namun, tidak menyangka menjadi mangsa samun kerana kejadian seperti ini tidak pernah berlaku di kawasan perumahan ini dan saya juga tidak pernah mendengar kes seumpama ini,” katanya.
Gunasegaran berkata, semasa kejadian dia baru sahaja beberapa minit keluar bersiar-siar.
“Masa tu memang saya ada nampak sebuah kereta Perodua MyVi warna kuning berlegar-legar di kawasan lorong rumah kami.
“Tidak lama lepas tu, kereta itu berhenti berhampiran kami dan salah seorang mereka bertanya rumah seorang penduduk sebelum keempat-empat mereka turun dan merompak kami.
“Dua lelaki mendekati isteri dan dua lagi mendekati saya. Saya yang cuba melawan mereka kemudiannya dicederakan dengan sebilah parang. Sementara isteri saya, R Selvarani, 51, dipukul menggunakan besi sebelum ditolak hingga jatuh.
“Saya hanya mampu menjerit meminta tolong dan kesemua lelaki itu yang berada dalam lingkungan usia 20 hingga 30 tahun bergegas melarikan diri,” katanya.
Gunasegaran berkata, dalam kejadian itu, rantai perkahwinan yang dipakai isterinya dilarikan lelaki terbabit.
“Kejadian berlaku dengan pantas. Saya juga tidak ingat wajah keempat-empat lelaki itu,” katanya.sumber
0 comments:
Post a Comment