Menurut Lee Twe, 62, anaknya, You Cheah Siang, 34, beberapa hari sebelum itu memang tidak sihat kerana diserang demam panas.
“Namun, saya dan suami ingat dia dah sihat kerana selepas itu pada hari Ahad Cheah Siang kelihatan sangat gembira sambil bermain gitar memainkan lagu ciptaannya. Dia juga berkeras tidak mahu dibawa ke hospital,” katanya ketika ditemui di pekarangan Bilik Mayat Hospital Tampin (HT), di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang kelmarin, Lee Twe yang baru sahaja pulang dari kerja memanggil Cheah Siang untuk menjamah mi setelah suaminya mengadu anak mereka tidak keluar dari bilik.
Menurutnya, sebaik sahaja memasuki bilik berkenaan, dia melihat anaknya terlentang di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri dan sebaik sahaja mendekati anaknya itu dipercayai sudah meninggal dunia.
Lee Twe berkata, disebabkan anaknya memiliki berat badan mencecah 256 kilogram, mereka harus menunggu terlebih dahulu keranda yang ditempah khas di Sungai Petani, Kedah, sebelum menyempurnakan upacara kematian.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden MizanMd Dom mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
Sementara itu, dalam kes berlainan, seorang lelaki Indonesia, Supatno, 40, ditemui mati dalam bilik di sebuah kediaman di Felda Bukit Jalor, Gemencheh, pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, isteri mangsa menyedari suaminya meninggal dunia apabila mangsa tidak bangun seperti biasa pada waktu pagi.
Polis menerima maklumat berhubung insiden berkenaan sekitar jam 8 pagi dan mayat di hantar ke HT untuk bedah siasat.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut.
“Mangsa sememangnya sudah menderita kanser usus sebelum ini,” katanya.sumber
0 comments:
Post a Comment