JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menegaskan, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) akan mengemukakan aduan terhadap pemain Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang didakwa bertindak ganas ke atas Mohd. Afiq Azmi selepas tamat perlawanan pusingan pertama Piala FA 2013 di Stadium Shah Alam, malam kelmarin, lapor AHMAD FAZLI MOHD. YADI.
Irfan memberitahu, beliau telah mengenal pasti pemain-pemain The Gladiators dalam insiden tersebut dan pihaknya akan mengemukakan aduan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan lanjut.
"Kita akan membuat laporan kerana sepatutnya perlawanan itu sudah habis, kalau tidak, tiada guna pemain-pemain saya pergi ke tempat duduk skuad ATM.
"Kita kita telah mengenal pasti siapa pemain yang menyerang Afiq," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan tersebut.
Difahamkan, Afiq, pemain tinggi lampai memulakan provokasi ke atas pemain ATM bagi meraikan kemenangan dan tindakan tersebut bertukar menjadi tegang.
Pemain ATM dikatakan membaling botol ke arah Afiq.
Sementara itu, kapten ATM, Hairuddin Omar menjelaskan bahawa dia kesal dengan tindakan Afiq yang memulakan provokasi ke atas skuad kendalian B. Sathianathan itu.
"Pada pandangan saya, Afiq tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Saya rasa Afiq yang memulakannya, jadi, mungkin akibat gagal mengawal emosi, tindakannya telah mencetuskan ketegangan.
"Bukan disebabkan kerana kami kalah, tetapi ia berpunca daripada sikap Afiq. Apa yang saya nampak, Afiq cuba meraikan kemenangan Selangor di depan tempat duduk ATM dan dia tidak sepatutnya berbuat sedemikian.
"Apa yang kecoh (insiden bertelagah) kita tidak boleh jadikan sebagai alasan," kata Hairuddin.
Pada perlawanan tersebut, Selangor meraih kemenangan 3-2 ke atas ATM menerusi penentuan sepakan penalti.
Selepas tamat masa perlawanan sebenar, kedua-dua pasukan terikat dengan kedudukan seri 2-2.
Penjaga gol tuan rumah, Norazlan Razali muncul wira selepas berjaya menyelamatkan sepakan pemain ATM, K. Reuben, Mohd. Affieze Faisal Mamat dan Bruno Martelotto.
Ketiga-tiga jaringan penalti Selangor disempurnakan oleh kapten, Asraruddin Putra Omar, Mahalli Jasuli dan S. Veenod sementara dua sepakan penalti ATM dijaringkan oleh Marlon Alex James dan A. Varanthan.
Irfan ternyata berpuas hati dengan kemenangan tersebut dan menyifatkannya sebagai imbuhan terhadap kerja keras semua pemain sepanjang perlawanan tersebut.
Mereka akan menentang Sabah pada perlawanan pusingan kedua 26 Februari depan.
"Saya memuji semua pemain kerana mampu bangkit selepas ketinggalan dua gol. Jadi, mereka tidak berputus asa untuk menyamakan kedudukan sehingga memenangi penentuan sepakan penalti," kata Irfan.sumber;-www.kosmo.com.my
Penjaga gol Selangor, Norazlan Razali dikerumuni rakan sepasukan selepas mengagalkan sepakan penalti Bruno Marteloto untuk memastikan Gergasi Merah mara ke pusingan seterusnya. |
0 comments:
Post a Comment