Saturday, 6 April 2013

Filled Under:

Transaksi tangan ghaib

gambar hiasan
Klang: Seorang kerani pelik apabila wang simpanannya lesap walaupun budak penghantar surat pejabatnya yang diarahkan untuk mengeluarkan duit dalam akaun ditahan polis di Meru pada 29 Mac lalu kerana dipercayai terbabit kes penyalahgunaan dadah dan kini masih direman untuk siasatan.
Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Zakiah, 34, berkata, pada hari kejadian dia memberi kad bank kepada penghantar surat itu untuk mengeluarkan wang gajinya RM1,500 jam 11 pagi, tetapi tidak menerima sebarang berita dan tidak mengesyaki lelaki berusia 21 tahun itu mengambil wangnya.

Menurutnya, remaja itu sudah dua tahun bekerja sebagai penghantar surat di sebuah syarikat perkapalan di Pelabuhan Klang dan sudah mendapat kepercayaannya sehingga dia berani memberikan kad banknya tanpa syak.
“Saya menghubungi lelaki itu untuk bertanyakan status wang yang dikeluarkan, tetapi panggilan itu tidak dijawab. Dua hari selepas itu, saya cuba menghubungi bapanya dan diberitahu dia ditahan pada 29 Mac jam 1.30 petang.

“Saya menghubungi bank untuk mengetahui status wang dan dimaklumkan berlaku dua transaksi pada 29 Mac jam 10.11 malam dan 30 Mac jam 6.23 petang sebanyak RM2,070 tanpa pengetahuan saya,” katanya.

Beliau berkata, apabila membuat semakan bank mendapati baki wang simpanannya tinggal RM10.
Foto
ZAKIAH menunjukkan laporan polis dibuatnya.
Zakiah berkata, dia pelik kerana dimaklumkan lelaki terbabit ditahan polis pada tengah hari, tetapi transaksi wangnya berlaku pada malam hari sama dan dia cuba mendapatkan pengesahan daripada bapa lelaki terbabit mengenai kejadian itu.

“Saya difahamkan, ketika ditahan lelaki itu berada dalam rumah rakan dan beg galasnya ada dalam rumah itu serta semua barang miliknya dibawa anggota polis ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara untuk siasatan.
“Bapanya meminta bantuan saya membuat laporan polis dengan menyatakan anaknya tidak terbabit dalam transaksi itu kerana ketika transaksi, anaknya berada dalam tahanan polis yang tidak memungkinkan dia membuat pengeluaran di bank,” katanya.

Zakiah membuat laporan di Balai Polis Pandamaran pada Rabu lalu untuk mengetahui bagaimana transaksi itu berlaku dan terus mendapatkan kerjasama pihak bank untuk mengetahui individu yang melakukan transaksi itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Mohammad Mat Yusof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan siasatan dilakukan.





0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers