LONDON - Hampir 40 tahun selepas angkasawan Amerika Syarikat (AS), Neil Armstrong menjejakkan kaki ke bulan, kesangsian berhubung peristiwa bersejarah itu semakin hangat diperkatakan, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Sebahagian besar orang percaya bahawa pendaratan di bulan merupakan satu penipuan terbesar dalam sejarah manusia.
Siaran televisyen yang menunjukkan Armstrong turun dari tangga kapal angkasa Apollo 11 dan menjejakkan kakinya ke permukaan bulan kelihatan kabur dan kelabu.
Sehingga kini terdapat golongan yang percaya angkasawan AS menjejakkan kaki ke bulan pada 20 Julai 1969 sebenarnya diadakan dalam studio atau di sebuah gurun.
Menurut pihak pereka teori konspirasi, roket yang membawa Armstrong dan dua rakannya, Buzz Aldrin dan Michael Collins sebenarnya hanya mengelilingi orbit sebelum ia kembali ke bumi.
Pada 1979, ketika kali pertama teori konspirasi ke bulan muncul, tinjauan pendapat mendapati enam peratus rakyat AS percaya pendaratan di bulan adalah satu penipuan.
Dua puluh tahun kemudian, jumlah itu meningkat kepada 11 peratus.
Manusia sejagat, kata mereka tertipu dan terdapat bukti-bukti kukuh yang menyokong dakwaan itu.
Sejak Presiden AS, John F. Kennedy berikrar manusia akan sampai ke bulan dalam tempoh sedekad pada 1960-an, AS terdesak untuk mengatasi Rusia dalam perlumbaan ke angkasa lepas.
Pada musim panas 1969, Moscow mengumumkan akan melancarkan misi ke bulan dalam tempoh sebulan.
Namun, tekonologi pada masa itu masih lagi primitif.
|
Sistem komputer yang dihasilkan bagi program Apollo milik AS jauh ketinggalan berbanding teknologi komputer peribadi (PC) pada masa kini.
Sistem navigasi Satnav diguna pakai oleh kereta sekarang juga jauh lebih canggih berbanding komputer Apollo yang ditugaskan memandu arah bagi misi ke bulan yang jauhnya 400,000 kilometer dari bumi.
Pada tahun lalu, ketika George W. Bush menjadi Presiden, beliau mengumumkan cita-cita AS untuk kembali ke bulan.
Namun, beliau diberitahu bahawa aspek kejuruteraan bagi tujuan itu memerlukan persiapan sekurang-kurangnya 11 tahun.
Kini, ketika ulang tahun empat dekad misi bersejarah itu semakin hampir, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) milik AS mendapat malu apabila menyedari semakin banyak pihak sangsi dengan kejayaan menjejaki ke bulan.
Di ibu pejabat NASA di Washington, kumpulan yang tidak mempercayai misi ke bulan itu digelar Penganut Penafian (HB).
Menurut HB, Amstrong sebenarnya menjejakkan kakinya di Area 51, sebuah pangkalan tentera di Nevada yang dirahsiakan daripada orang ramai oleh kerajaan AS.
Kawasan itu cukup besar untuk NASA menghasilkan latar belakang permukaan bulan.
Agensi persekutuan itu juga mendapat dana AS$40 bilion (RM144 bilion) bagi misi itu, cukup untuk membayar mereka yang terlibat dengannya supaya menutup mulut.
Menurut mereka, bagaimanakah seorang angkasawan dapat berjalan dengan matahari di belakang tetapi bahagian hadapannya diterangi cahaya sehingga jelas nampak sut angkasa lepasnya termasuk bendera AS di belakangnya.
Pencahayaan gambar itu begitu sempurna seperti dilakukan di dalam studio tetapi menurut NASA keadaan itu berlaku kerana pantulan cahaya bulan.
Menurut kumpulan HB itu, tiada satu bintang pun kelihatan pada setiap gambar manakala ruang angkasa lepas didapati hitam tanpa sebarang sebarang sinaran bintang.
Jelas HB, permukaan bulan berdebu menyebabkan tapak kaki angkasawan-angkasawan itu jelas kelihatan dan memang terdapat kesan tapak kaki pada gambar itu.
Namun, kenderaan bulan di belakang mereka yang memiliki berat 10 tan tidak meninggalkan sebarang kesan tayar.
Selain itu, bagaimana pula kapal angkasa seperti labah-labah yang mengeluarkan api dari beberapa roket pada strukturnya ketika hendak mendarat langsung tidak mendatangkan sebarang kesan terhadap permukaan di bawahnya.
Namun, kenapakah terdapat tapak kaki angkasawan manakala tiada kesan pendaratan kapal angkasa sedangkan graviti tidak ada di bulan.
Bendera yang dicacak oleh Armstrong dan Aldrin tidak menunjukkan bayang sedangkan bayang kedua-dua angkasawan itu, kenderaan bulan dan pelbagai jenis batu di permukaan di situ semua menunjuk pada arah yang sama.
Namun, NASA memberi alasan kejadian bayang arah yang berbeza itu adalah kerana gangguan perspektif bulan.
Gangguan itu berlaku apabila imej tiga dimensi dipaparkan pada gambar dua dimensi, kata NASA.
Beberapa bayang kata NASA, hilang kerana permukaan bulan memiliki sifat pelik di mana cahaya akan dipantulkan dari arah ia terpancar.
Namun, dakwaan bahawa misi ke bulan itu tidak berlaku terus diperkukuhkan oleh kenyataan seorang jurutera yang pernah ditugaskan untuk mereka bentuk roket Apollo, Bill Kaysing.
"Apabila saya menonton televisyen, saya dapat rasakan semua adegan tersebut adalah satu penipuan tak ubah seperti roket yang diturunkan dengan menggunakan wayar di dalam studio," kata Bill.
Pada zaman itu, katanya, manusia belum memiliki teknologi untuk misi pergi ke bulan dan kebarangkalian misi itu untuk menjadi kenyataan adalah 0.0017 peratus atau dengan kata lain, mustahil.
Seorang angkasawan pada tahun 1960-an, Brian O'Leary berkata: "Saya tidak yakin 100 peratus bahawa terdapat lelaki yang berjalan di bulan."
Pandangan Brian yang merupakan penasihat program Apollo selain pernah menjadi angkasawan memberikan satu tamparan hebat.
Selain bukti saintifik, terdapat bukti mudah untuk mempertikaikan kesahihan peristiwa bersejarah itu, jelas HB.
Aldrin yang kini berumur 78 tahun dan pernah menjejaki ke bulan pernah berbalah dengan seorang wartawan televisyen yang menuntut dia bersumpah dengan kitab Injil bahawa pendaratan di bulan itu bukannya satu penipuan.
Respons yang diberikan oleh Aldrin adalah dia menumbuk wartawan itu di bahagian hidung. - Agensi
0 comments:
Post a Comment