Sunday 2 October 2016

Filled Under:

Tunggu Isteri Bersalin Tapi Suami Kena Bedah Pula.


Shenyang (China): Seorang lelaki yang menunggu isterinya melahirkan anak di sebuah hospital di sini secara tidak sengaja dibawa ke dewan bedah dan menjalani satu pembedahan membuang buasir.

Lelaki yang dikenali sebagai Wang, 29, itu dilaporkan sedang menunggu isterinya yang melahirkan anak secara pembedahan di sebuah hospital di sini pada Isnin lalu.

Beberapa doktor kemudiannya menemui Wang dan mengarahkan lelaki itu mengikutnya ke dewan bedah.

Wang menyangka dia dibawa ke dewan bedah untuk melihat isterinya dan terus mengikut doktor berkenaan tanpa sebarang persoalan.

Kata Wang, apabila masuk ke dewan bedah dia melihat isterinya tiada di situ, tetapi dia diarahkan membuka seluar dan baring di atas katil pembedahan.


“Saya berasa pelik dan bertanya kepada doktor mengapa saya perlu membuka seluar dan berbaring di atas katil pembedahan.

“Namun, seorang doktor berkata, ”Ikut sahaja apa yang kami arahkan.”

Katanya, tidak lama selepas itu doktor memasukkan ubat bius menyebabkan dia tidak sedarkan diri.

“Apabila saya bangun, doktor memberitahu saya baru sahaja menjalani pembedahan membuang buasir.

“Saya sangat terkejut kerana saya tiada buasir,” jelasnya.

Selepas menyedari kesilapan itu, pihak hospital meminta maaf dan memberitahu kesalahan itu berlaku apabila doktor terkeliru dengan seorang pesakit yang menunggu untuk menjalani pembedahan membuang buasir.

Hospital itu juga dilaporkan menawarkan wang tunai 5,000 yuan (RM3,028) kepada Wang sebagai pampasan. - Agensi





0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers