Sunday 28 October 2012

Filled Under:

Keunikan Gurun Pinnacles


PENGALAMAN...pelancong menyelusuri lereng bukit pasir di gurun.
PENGALAMAN...pelancong menyelusuri lereng bukit pasir di gurun.
ANDAI ditanya destinasi menarik di luar negara yang ingin dikunjungi dan berada dalam senarai impian atau ‘wish list’ penulis, satu daripadanya pasti Perth, Australia.
Nama ibu kota Australia Barat ini mungkin tidak seberapa gah berbanding bandar raya terkenal di Eropah tapi bagi penulis, Perth sungguh istimewa, terutama bagi rakyat Malaysia.
  • FotoTERPANJANG DI AUSTRALIA...pemandangan jeti di Busselton sejauh 1.8 kilometer.
  • FotoCOMEL...bersama beruang koala di Caversham Wildlife Park.
  • FotoMODEN...pemandangan bangunan pencakar langit di depan Sungai Swan.
  • FotoMAHAL...jongkong emas yang dilebur di Perth Mint.
Masakan tidak, menurut Wikipedia, berdasarkan kajian pada 2006, rakyat Australia Barat kelahiran Malaysia adalah ketiga terbanyak dengan jumlah 18,939 orang selepas United Kingdom (168,483) dan New Zealand (33,751).

Selain itu, Perth terkenal sebagai bandar pendidikan di kalangan rakyat Malaysia dengan empat universiti awamnya University of Western Australia, Curtin University, Murdoch University dan Edith Cowan University menjadi pilihan sejak dulu lagi.


Itu maklumat asas yang penulis ketahui berdasarkan cerita rakan setugas dan mereka yang pernah berkunjung ke sana, selain carian di Internet.

Justeru, apabila penulis ditugaskan mengikuti undangan AirAsia X dengan kerjasama Pelancongan Australia ke bandar raya itu baru-baru ini, ia ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.

Sepanjang enam jam menaiki pesawat AirAsia X A330-300 kelas premium yang menjanjikan keselesaan, penulis teruja dan berasa tidak sabar-sabar mahu menjejakkan kaki di Perth.

Penulis mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth tepat jam 6 pagi dalam keadaan cuaca sejuk dan hujan. Bagaimanapun, kesejukan itu seolah-olah tidak dirasai apabila ketibaan kami disambut mesra oleh Denis, pemandu pelancong yang diatur oleh Pelancongan Australia.

Kami kemudian dibawa menaiki sebuah van eksklusif ke rumah bot berdepan Sungai Swan untuk sarapan pagi, dan di sini penulis bertemu wakil Pelancongan Australia, Ryan Mossney yang ditugaskan bersama penulis selama berada di Australia Barat.

Persinggahan pertama adalah di Perth Mint, iaitu tempat membuat jongkong emas terbesar dan barang perhiasan yang diperbuat daripada emas tulen.

Penulis diberi kesempatan melihat bagaimana jongkong emas diperbuat daripada emas cair dimasukkan ke dalam acuan yang akan membentuk jongkong emas mengikut saiz.

Destinasi seterusnya adalah Bunbury Dolphin Discovery Centre di Teluk Koombana untuk melihat tempat kajian ikan lumba-lumba yang dikelolakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Lebih 200 ikan lumba-lumba liar bertumpu ke teluk itu, sekali gus menjadikannya tempat pelancongan terkenal.

Dari Bunbury, penulis dibawa ke Busselton, di mana ada sebuah jeti diperbuat daripada kayu balak untuk urusan perdagangan bagi persinggahan lebih 5,000 kapal dagangan. Jeti ini dibina pada 1865 dan panjang jeti ketika itu 161 meter sebelum ditambah 131 meter lagi pada 1875.

Pada 1990, kerja-kerja penambahan dan penyambungan dilakukan lagi, sekali gus menjadikannya jeti terpanjang di Australia dengan jarak 1.8 kilometer (km) menuju ke laut.

Bagaimanapun, pada 1973 jeti ini ditutup akibat kekurangan dana kerajaan.
Kemudian sebuah jawatankuasa dinamakan Busselton Jetty Environment and Conservation Association (BJECA) ditubuhkan bagi mengutip dana untuk menjaga dan memulihara jeti bersejarah ini.

Kini jeti Busselton dijadikan antara tarikan pelancong dengan penyediaan kemudahan kereta api jeti untuk mengharungi jeti itu.

Tidak lengkap kunjungan ke Australia Barat jika tidak melawat Gurun Pinnacles dan Penjara Fremantle. Penjara bersejarah ini dibina pada 1850 dengan menempatkan banduan lelaki dan wanita yang melakukan jenayah berat sebelum ditutup pada 1991 selepas banduan dipindahkan di penjara lain. Pada 192, penjara Fremantle dijadikan tarikan pelancongan.

Pinnacles pula adalah gurun dipenuhi ribuan batu kapur yang timbul dari muka bumi dengan ukuran berbeza, daripada sebesar penumbuk hingga lebih tinggi daripada bangunan satu tingkat. Ada yang tajam, membulat dan bergeriji seumpama gergaji.

Jika dilihat dari jauh, ia seperti ribuan batu nisan di tanah perkuburan yang memenuhi gurun. Pinnacles boleh disusuri dengan kenderaan atau berjalan kaki, tapi pengalaman berjalan di gurun yang menguning lebih terasa dengan berjalan kaki dan bergambar di setiap ‘cerucuk’ seumpama ada yang menanamnya.

Penat berjalan di gurun, kami kemudian ke Yahava Koffeeworks di mana kopi bermutu dihasilkan. Lega rasanya apabila air kopi seenak itu membasahi tekak yang kekeringan dek berjemur di gurun.

Kami kemudian ke kilang coklat Gabriel’s dan Silk Road Silk Worm Farm, ladang penternakan ulat sutera dan tempat membuat sutera Australia lokasi yang pasti menarik minat pelancong wanita.

Berbicara mengenai Australia, pasti kangaru dan beruang koala tidak dapat dipisahkan. Justeru, peluang memberi makan kepada kedua-dua haiwan itu di Caversham Wildlife Park, Australia Barat adalah pengalaman yang tidak dapat dilupakan, begitu juga memberi makan kuda liar yang dipelihara di safari Neil Mc Leod.

Cuak juga apabila merapatkan tangan ke mulut kuda bagi memberinya makanan, apatah lagi ia dibiarkan bebas di ladang yang beratus-ratus hektar luasnya, seolah-olah berada dalam set penggambaran filem koboi.

Apapun, kuda berkenaan sebenarnya akan cuba mendekati sesiapa yang
datang ke ladang berkenaan dengan kehadiran tuannya, Mr Neil.

Itu serba sedikit pengalaman penulis di Australia Barat, terutama di Perth.
Masa berlalu pantas seakan-akan mencemburui ‘bulan madu’ penulis di situ.
Terima kasih AirAsia X.




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers