Sunday 28 October 2012

Filled Under:

Pelombong berani mati


DEMI KEHIDUPAN... pekerja hanya dibayar RM15 sehari walaupun bekerja dalam keadaan berbahaya.
DEMI KEHIDUPAN... pekerja hanya dibayar RM15 sehari walaupun bekerja dalam keadaan berbahaya.
INILAH sekumpulan lelaki berani yang menggadai nyawa dengan melombong sulfur toksik di dalam gunung berapi yang masih hidup. Pendapatan mereka hanya RM15 sehari.
Mereka masih muda, tidak sampai 30 tahun, menghabiskan masa 12 jam sehari dengan dikelilingi asap, hanya beberapa meter daripada sebuah tasik berasid.

Kira-kira 200 lelaki muda yang berani ini bekerja keras di dasar kawah Gunung Berapi Ijen di Indonesia.

  • FotoMENCABAR... pekerja membawa bakul berisi ketulan sulfur seberat 70 hingga 90 gram, mendaki laluan berbatu dari lantai kawah, kira-kira 10 kali sehari.
  • FotoNEKAD... pekerja daki 2,000 meter setiap hari sebelum menuruni kawah gunung berapi yang masih hidup.
  • FotoALAMI SENDIRI... Taylor (kanan) ingin mengetahui lebih mendalam mengenai kehidupan pelombong.
Mereka mendaki 2,000 meter setiap pagi, merentasi laluan berbahaya untuk menjejaki kawah itu sebelum pulang 12 jam kemudian untuk tidur.

Jurugambar Briton, Mark Taylor, 48, mengekori mereka baru-baru ini untuk melihat keadaan melampau yang dihadapi pelombong itu.

Mereka berulang-alik membawa bakul mengandungi ketulan sulfur seberat 70 hingga 90 kilogram, mendaki jalan berbatu dari dasar kawah, kira-kira 10 kali sehari.


Udara toksik dan asap boleh membawa maut jika dihidu terlalu lama. Namun, kerja perlu diteruskan bagi memenuhi permintaan syarikat minyak dan sabun.

Taylor, anak perempuannya berusia 10 tahun, Siena, dan temannya, Miriam Da Costa Machado mengunjungi Indonesia bulan lalu untuk merakam aktiviti berkenaan.

Jurugambar berusia 48 tahun itu berkata, ketika mendaki lereng gunung berapi itu untuk tiba di kawah berkenaan, bau kuat sulfur dapat dirasakan.

“Jika mendongak ke atas, anda boleh melihat gas itu. Pada peringkat tertentu, ia sungguh tebal hingga menyekat sinaran matahari. Ketika berada di puncak dan menuruni gunung itu, anda boleh melihat lelaki itu tidak mengenakan kelengkapan keselamatan secukupnya.

“Ada yang memakai topeng lusuh manakala yang lain hanya menutup muka dengan skaf atau baju. Ada satu ketika angin berubah hala dan kami dikelilingi asap hingga mencetuskan kebimbangan.

“Apabila terhidu asap itu, tekak kami seolah-oleh rasa terbakar. Kami hampir pengsan, tetapi mujur terdengar jeritan seorang pelombong,” katanya.

Taylor yang berasal dari Guildford, Surrey, berkata, dia dan temannya berada di lombong itu cuma sejam berbanding lelaki berkenaan bekerja di situ setiap hari.

“Mereka kerja sepanjang hari dan menjual sulfur itu dengan harga yang sangat murah. Kami di Britain tidak mungkin sanggup bangkit dari katil hanya untuk mendapatkan bayaran sebanyak itu,” katanya.

Siena hanya berdiri di puncak kawah kerana terlalu bahaya untuk turun ke dalamnya.

Sisa sulfur yang tidak dijual kepada syarikat akan dijadikan bentuk rekaan untuk dijual kepada pelancong.

Kecederaan serius, khususnya pada dada dan mata, adalah perkara biasa, namun pendapatan pelombong itu adalah dua kali ganda berbanding bekerja di ladang kopi tempatan.

Kerja melombong itu dilakukan tidak jauh daripada tasik asid sulfurik terbesar di dunia. Tahap pH air tasik itu ialah 0.5 - hampir sama dengan asid bateri kereta.

Tasik seluas satu kilometer itu terletak di barat Gunung Berapi Merapi, puncak tertinggi kompleks Gunung Berapi Ijen.

Sulfur ialah sumber asli asid sulfurik yang digunakan syarikat penapis minyak, pengeluar sabun dan baja.




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers