Thursday 6 December 2012

Filled Under:

fuyo!!! Model ikonik Mercedes-Benz





TAHUKAH anda, terdapat kira-kira 900 juta kereta dan ribuan model kenderaan keluaran pelbagai syarikat automotif di seluruh dunia?
Jika diambil kira model ikon kepada sesebuah syarikat pengeluar kenderaan, sudah pasti ia merangkumi peratusan yang amat kecil daripada jumlah statistik kenderaan di dunia.
Bagi jenama Mercedes-Benz, ikonnya sudah pasti model SL. Jentera itu dipilih kerana ia merangkumkan satu pakej yang boleh dikatakan sebagai komprehensif. SL ada kelas, gaya, sangat selesa dan terserlah kemewahannya.
Sememangnya itu sahaja tidak mencukupi bagi menjadikannya pendahulu dalam rangkaian produk Mercedes-Benz. Justeru, sentuhan sporty dan dinamik disuntik ke dalam DNA model SL agar lebih relevan sebagai jentera ikonik.

WAJAH hadapan SL ini kelihatan kemas dan ringkas dengan sedikit sentuhan gaya klasik.


Kenyataan tersebut dilihat senada dengan ucapan Pengerusi Lembaga Pengurusan Daimler AG dan Ketua Mercedes-Benz Cars, Dr. Dieter Zetsche dalam satu temu ramah bersama media asing di Amerika Syarikat (AS).
“Inilah ikon Mercedes-Benz. Kami yakin model generasi keenam SL dapat memenuhi apa yang dimahukan oleh pelanggan,” katanya selepas melancarkan SL terbaharu di North American International Auto Show 2012 pada Januari lalu di Detroit, Michigan, AS.
SL bermakna Sport Leicht dalam bahasa Jerman. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, ia membawa maksud Sport Light (atau Sport Lightweight).
Sudah 60 tahun berlalu sejak model pertama SL diperkenalkan kepada umum. Percaya atau tidak, dalam tempoh itu, hanya enam generasi SL dihasilkan oleh Mercedes-Benz.
Kerangka ringan
Bak kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., Kai Schlickum, satu generasi untuk setiap sepuluh tahun.
Generasi SL keenam membawa satu mesej jelas kepada pemain-pemain dalam industri automotif antarabangsa.
SL dilihat sudah bersedia untuk mendahului pasaran dengan pembangunan kerangka kenderaan ringan tanpa mengabaikan aspek keselamatan kenderaan.
Model yang menjayakan objektif tersebut ialah SL350 BlueEFFICIENCY. Buat julung-julung kalinya, SL baharu itu dicipta dengan menggunakan material aluminium pada kebanyakan struktur badannya.

SKEMA warna merah hitam dalam kawasan kabin menyerlahkan lagi sifat agresifnya.


“Jurutera kami berdepan dengan cabaran untuk mencipta generasi keenam SL. Perkara penting yang berjaya dizahirkan adalah pengurangan berat kereta secara signifikan iaitu sebanyak 140 kilogram.
“Ini membantu meningkatkan keefisienan penggunaan bahan api pada model SL. Pada masa sama mengukuhkan ketegaran badannya,” jelas Zetsche.
Selain pengurangan berat yang signifikan berbanding model sebelumnya, kerangka itu juga menjadi asas kepada pembentukan karakter pengendalian lincah, sporty dan keselesaan ke tahap lebih tinggi.
Dinamik pemanduan terhasil daripada enjin baharu BlueDIRECT. Biarpun hanya memiliki enam silinder, ia menawarkan ledakan penuh kuasa. Pada masa yang sama membantu penjimatan petrol sebanyak 29 peratus berbanding model terdahulu.
Hasilnya, setiap 100 kilometer (km), kereta dengan kapasiti dua tempat duduk itu hanya memerlukan 6.8 liter petrol.
Pencapaian itu turut dibantu menerusi aplikasi transmisi automatik tujuh kelajuan 7G-TRONIC PLUS.
Roadster itu boleh bertukar menjadi sebuah coupe dalam tempoh 20 saat sahaja. Anda hanya perlu menekan butang dan bumbung keras itu akan disimpan di dalam but menerusi mekanisme elektrohidraulik.
Tiga versi bumbung ditawarkan bagi SL350 BlueEFFICIENCY iaitu bercat, berkaca atau jenis panoramik vario dengan Magic Sky Control.
Bumbung vario Magic Sky Control boleh bertukar warna cerah atau gelap dengan hanya sentuhan satu butang. Ia membolehkan anda mengawal pencahayaan ruang kabin tanpa perlu membuka bumbung.

RIM berukuran 19 inci bercorak lima batang ternyata membuatkan roadster Mercedes-Benz kelihatan mantap di atas jalan raya.


Ketiga-ketiga jenis bumbung itu menggunakan kerangka jenis magnesium yang membantu mengurangkan berat sebanyak enam kilogram berbanding model sebelumnya.
Dua inovasi baharu dalam SL350 BlueEFFICIENCY ialah Frontbass dan Magic Vision Control. Kedua-dua komponen tersebut meletakkan model berkenaan mendahului pesaing sekelasnya.
Magic Vision Control ialah sistem pengelap tingkap pintar. Air akan mengalir menerusi saluran di hadapan bilah penggilap cermin mengikut arah pergerakannya.
Ia bertujuan mengurangkan gangguan pandangan yang dialami pemandu apabila ada air pada cermin hadapan. Bukan itu sahaja, ciri tersebut juga mampu membersihkan cermin dengan lebih efisien.
Sistem Frontbass pula menggunakan ruang kosong pada struktur aluminium di hadapan untuk pembesar suara bass.
Langkah itu membolehkan penghasilan alunan bunyi bass yang lebih jelas, ibarat berada dalam dewan konsert meskipun ketika bumbung dibuka. Pastinya ia satu keseronokan bagi penggemar muzik.
Untuk pasaran Malaysia, SL350 BlueEFFICIENCY ditawarkan pada tag harga RM898,888 seunit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_01.htm#ixzz2ECLjSF7l 
Hakcipta terpelihara 




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers