Thursday 6 December 2012

Filled Under:

fuyo!!! BMW M6 Coupe tawar pemanduan dinamik




COUPE mewah BMW ini sememangnya menjadi idaman ramai.


BMW Malaysia Sdn. Bhd. (BMW Malaysia) baru-baru ini memperkenalkan generasi kedua coupe yang memiliki sentuhan reka bentuk dan kejuruteraan terbaik daripada BMW M GmbH iaitu M6 ke pasaran tempatan. Model M6 yang mula dipertontonkan di peringkat global pada Jun lalu dilengkapi bumbung ringan diperbuat daripada material plastik bertulang gentian karbon (CFRP).
Bumbung berkenaan membolehkan berat kenderaan dikurangkan, sekali gus merendahkan pusat graviti dan meningkatkan dinamik pemanduannya.
Jurutera BMW juga memadankan garis kontur pada bahagian tengah bumbung untuk membaiki aliran udara dan membuatkan M6 kelihatan unik. Elemen sport ditingkatkan dengan aplikasi beberapa komponen rekaan spesifik M seperti ruang kemasukan udara bersaiz besar untuk membantu proses penyejukan enjin.
Selain itu, kelebaran lingkungan roda ditingkatkan sebanyak 30 milimeter. Sil bahagian tepi aerodinamik, cermin luaran M, empat buah paip ekor, gril kidney dengan integrasi logo M6 dan lampu utama mudah suai jenis diod pemancar cahaya turut dipasang.
Bahagian dalam BMW M6 Coupe menyajikan gabungan kokpit sebuah kereta sport dengan kualiti ambien premium. Lampu merah dan pencahayaan putih diaplikasi pada butang kawalan dan meter instrumen. Stereng M6 pula dibalut kulit direka rasa lebih mewah.
Jentera itu dipacu oleh enjin V8 4.4 liter yang diberi padanan teknologi M TwinPower Turbo dengan dua unit pengecas lampau TwinScroll, Valvetronic dan Double-VANOS.
Sistem manifold tunggal menghubungkan semua silinder, manakala sistem suntikan terus jenis High Precision Injection berperanan menyalurkan bahan api. Kotak gear jenis klac berkembar M tujuh kelajuan menjadi pelengkap rangkaian kuasa kenderaan itu.
Hasilnya kuasa sebanyak 560hp dan tork setinggi 680Nm mampu dijana. Generasi M6 terkini menawarkan peningkatan kuasa kuda sebanyak 10 peratus dan 30 peratus tork berbanding model sebelumnya. Pecutan dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) mengambil masa 4.2 saat sahaja.
Kadar penggunaan bahan api purata pula sebanyak 9.9 liter bagi setiap 100km. Ini merupakan penjimatan sebanyak 30 peratus jika dibandingkan dengan generasi pertama.
"BMW M6 Coupe ialah jentera berprestasi tinggi yang menekankan kemuncak dinamik sport dan gaya. Ia dikhususkan kepada individu yang kini berada di kemuncak kehidupan mereka," kata Ketua Pegawai Eksekutif BMW Malaysia, Dr. Gerhard Pils.
Jentera itu turut dipasang Active M Differential yang mengawal pembeza gelincir terhad berbilang plat secara elektronik untuk agihan kuasa di antara kedua-dua roda belakang. Sistem itu membantu mengoptimumkan kuasa tarikan di atas apa jua jenis permukaan jalan.
Sistem suspensi dikawal oleh Dynamic Damper Control yang membolehkan pemandu memilih jenis tetapan penyerap hentak sama ada Comfort, Sport atau Sport +.
Tugas memberhentikan atau memperlahankan M6 diserahkan kepada sistem brek seramik dengan enam omboh. Cakera brek jenis seramik tahan panas itu lebih ringan dan memiliki jangka hayat lebih lama berbanding komponen standard.
M6 yang didatangkan dalam sembilan pilihan warna boleh didapati menerusi rangkaian pengedar BMW di seluruh negara pada harga runcit atas jalan tanpa insurans RM988,800 seunit.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_04.htm#ixzz2ECLNGQPh 
Hakcipta terpelihara 




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers