Thursday 6 December 2012

Filled Under:

fuyo!! Pesaing baharu kereta bandar!



Setakat ini, Adam hanya khusus untuk pasaran Eropah terutama UK.


BARU-BARU ini, seorang sepupu perempuan bertanya mengenai sebuah kereta. Dia menuntut di sebuah universiti dan sekarang sedang menjalani latihan amali di Klang, Selangor.
Kalau tidak silap saya, sudah hampir setahun atau lebih dia ada meminta komen mengenai kereta yang telah disenarai pendek. Namun, sehingga kini masih gagal untuk membuat pilihan. Dalam erti kata lain, masih tidak ada kereta yang benar-benar memikat hatinya.
Apa yang nyata, senarai pilihannya ialah kereta kompak atau bahasa komersialnya, kereta bandar. Ciri-ciri seperti penggunaan minyak yang efisien, saiz kompak dan harga berpatutan adalah penarik utama kereta sebegitu.
Jadi, tidak hairanlah kenapa Perodua Myvi dan Viva begitu laris di pasaran tempatan. Malah kebanyakan pengeluar dunia dari jenama rakyat seperti Volkswagen (VW) hinggalah jenama mewah, misalnya Aston Martin mempunyai kereta bandar.
Dalam artikel terdahulu, saya ada menulis mengenai Skoda, sebuah syarikat dari Republik Czech yang dimiliki oleh kumpulan VW. Kali ini, mengenai Vauxhall pula, sebuah syarikat British yang beribu pejabat di Luton, United Kingdom (UK).
Vauxhall mempunyai sejarah yang cukup panjang. Usianya sudah jauh melepasi satu abad. Ia bermula pada tahun 1857 sebagai syarikat pengeluar enjin dan pam. Bercakap mengenai globalisasi, syarikat British itu sebenarnya merupakan subsidiari kepada General Motors (GM) dari Amerika Syarikat sejak tahun 1925 lagi. Vauxhall juga pernah terlibat dalam industri perang dengan mengeluarkan kereta kebal.
Hasil daripada perkongsian kejuruteraan dengan jenama-jenama lain di bawah GM, Vauxhall mempunyai sejumlah model untuk pelbagai segmen pasaran. Antaranya ialah Corsa, Insignia, kereta elektrik Ampera dan terkini hangat dipasarkan ialah kereta bandar Adam.
Memetik laporan agensi berita Newspress, model itu merupakan percubaan pertama Vauxhall dalam segmen pasaran yang telah meningkat sebanyak 30 peratus sejak tahun 2000. Adam tiga pintu dengan saiz 3.7 meter panjang dan 1.72 meter lebar dikatakan selesa untuk dinaiki oleh empat orang.
Model itu mempunyai ciri-ciri urban canggih termasuklah kemudahan penyambungan telefon pintar ke sistem multimedia kereta, Park Assist yang berupaya untuk memarkir kereta secara automatik, Side Blind Spot Alert dan sistem stereng kuasa light touch city mode.
“Dipakejkan dengan rekaan yang menyerlah dan teknologi terkini, Adam bakal menarik minat orang muda dan mereka yang berjiwa muda daripada kedua-dua gender. Golongan ini mempunyai sikap tersendiri dan mahukan kenderaan yang melambangkan personaliti mereka,” kata Pengarah Pemasaran Vauxhall, Peter Hope.
Pengendalian
Adam bukan sahaja disasarkan untuk menarik pelanggan setia Vauxhall malah turut diluaskan kepada mereka yang tidak pernah menimbang jenama itu. Separuh daripada jualan Adam dijangka datang daripada pelanggan baharu.
Tidak seperti pesaing lain dalam segmen kereta bandar, Adam membelakangkan trend dengan tidak mengambil reka bentuk retro. Sebaliknya menggunakan rekaan segar dengan fokus kepada inovasi, personifikasi dan kualiti.
Selain daripada rekabentuk yang menarik, Adam turut dibina untuk dinamik pemanduan, sesuai dengan citarasa pemandu Eropah.
Berbeza dengan pembeli tempatan yang membeli kereta dengan pengendalian dan pemanduan asal boleh, pemandu Eropah lebih cenderung untuk memandu kereta yang stabil pada kelajuan tinggi. Selain tidak terumbang-ambing sewaktu mengambil selekoh.
Talaan suspensi hadapan menggunakan topang MacPherson, manakala suspensi roda belakang mengaplikasikan sistem suspensi compound crank untuk pemanduan di bandar atau jalan berliku. Menariknya, opsyen rim yang ditawarkan terdiri daripada saiz 16, 17 dan 18 inci.
Adam dijana oleh tiga enjin petrol yang efisien iaitu 1.2 liter berkuasa 70PS, 1.4 liter (87PS) dan 1.4 liter (100PS). Semua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan.
Vauxhall juga menawarkan opsyen pek teknologi ecoFLEX dengan lebih penjimatan bahan api. Pakej tersebut merangkumi teknologi Start/Stop dengan bateri berkuasa tinggi, penghidup tahan lasak, optimised generator dengan suis eco untuk pemandu membuat pilihan mode pemanduan.
Turut berada dalam pakej itu ialah Eco Drive Assistant yang mengawasi penggunaan tenaga dan indikator untuk penukaran gear.
Vauxhall buat masa ini sedang membangunkan enjin kecil untuk diperkenalkan pada model Adam pada masa depan. Enjin yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai sistem pancitan terus, pengecas turbo dan teknologi Start/Stop. Enjin tersebut bakal dipadankan dengan transmisi enam kelajuan serba baharu.
Kita di sini mungkin mustahil untuk memandu Vauxhall, memandangkan jenama itu khusus untuk pasaran UK. Namun kuasa globalisasi dan skala ekonomi membolehkan kita merasa serba sedikit produk global.
Jika strategi GM untuk menguasai pasaran Eropah adalah melalui jenama Vauxhall atau Opel, strategi untuk pasaran Asia pula ialah melalui Chevrolet.
Tahukah anda, platform Adam sebenarnya berkongsi dengan Chevrolet Sonic yang bakal dipasarkan tidak lama lagi? Satu lagi pilihan untuk sepupu saya atau mereka yang mahukan kereta bandar, selain daripada keluaran Perodua.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1124&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_03.htm#ixzz2ECL6MwuP 
Hakcipta terpelihara 




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers