Wednesday 5 December 2012

Filled Under:

fuyo!! Resort di kaki gunung




MERASAI kesegaran air terjun menjadi pelengkap dalam jadual kunjungan.


KEMERDUAN kicauan burung seakan-akan satu upacara ringkas menyambut ketibaan tetamu di D’Pinggiran Gunung Tebu Resort, Lata Belatan, Besut, Terengganu.
Terletak di Hutan Simpan Gunung Tebu, suasana resort itu sungguh mendamaikan. Kepenatan menempuh perjalanan yang panjang bagaikan hilang serta-merta sebaik sahaja menjejakkan kaki ke resort tersebut.
Dikelilingi persekitaran pokok yang besar dan rendang, pengunjung masih dapat melihat kesungguhan pemiliknya menjalankan kerja-kerja landskap yang menarik.
Ia terbukti dengan kewujudan taman-taman mini dengan pokok-pokok hutan dirias dengan menarik. Tidak cukup dengan itu, ruang sekitar kolam mini bersama jambatan boleh dijadikan tempat untuk bersantai. Turut diletakkan adalah beberapa kerusi dan bangku batu untuk para tetamu melepaskan lelah.
Hati bagaikan tidak sabar untuk mendaftar masuk ke bilik yang berharga antara RM60 hingga RM70 semalam. Tilam empuk sedia menyambut keinginan tetamu yang mahu melabuhkan badan.
Di dalam bilik penginapan, tetamu dapat merasakan suasana yang sunyi, tidak seperti di bandar-bandar besar yang bingit dengan pelbagai bunyi jentera dan kenderaan.

AKTIVITI treking merentas hutan sememangnya menjadi agenda popular dalam kalangan pengunjung.


Dormitori
Walaupun, suasana di sekitar resort terasa dingin, pemiliknya tetap menyediakan kemudahan pendingin hawa atau kipas di 14 buah caletnya. Bagi yang datang dalam kumpulan besar. terdapat domitori yang mampu memuatkan 130 orang serentak.
Bagi individu atau kumpulan yang mencari tapak perkhemahan, di kawasan resort tersebut juga sesuai untuk aktiviti itu. Tapak perkhemahan berkenaan mampu memuatkan sehingga 100 orang bagi sesebuah sesi perkhemahan.
Setelah berehat seketika di dalam bilik, hati meronta-ronta pula untuk keluar menikmati alam semula jadi. Tarikan sungai dan jeram di Lata Belatan tentu menjadi pilihan pertama. Jarak air terjun itu kira-kira 200 meter sahaja dari kawasan penginapan. Hanya dengan berjalan kaki, kesejukan air yang segar itu dapat dinikmati sepuas-puasnya.
Aliran air sungai tenang dan jernih memberikan satu panorama yang seolah-olah terapi menenangkan jiwa. Anak-anak pula boleh bermain gelongsor yang dibina di sepanjang aliran sungai di resort tersebut.
Menjamu selera
Untuk menjamu selera, pihak resort tidak menyediakan kantin atau kafe, namun ia bukanlah satu masalah kerana terdapat beberapa gerai berhampiran resort berkenaan yang menjual pelbagai menu tempatan seperti sate, nasi goreng dan mi goreng.

SUASANA menghijau di sekeliling calet yang berhias tumbuh-tumbuhan tropika.


Jika tiba musim buah-buahan, para tetamu berpeluang menikmati durian, duku atau dokong di kebun di kawasan resort yang diberikan secara percuma.
Bagi peminat aktiviti mendaki gunung, resort itu menjadi check point untuk menuju ke puncak Gunung Tebu. Di puncak gunung setinggi 7,088 meter itu, anda dapat melihat keajaiban suasana matahari terbenam, landskap pokok bonsai dan air terjun yang mempesonakan.
Bagi yang tidak biasa dengan kawasan gunung itu, perkhidmatan jurupandu turut disediakan.
Pada sebelah malam pula, masa yang terluang boleh diisi dengan melakukan aktiviti barbeku. Kemudahan tersebut ada disediakan pihak resort tanpa sebarang bayaran.
Untuk maklumat lanjut, hubungi Abdul Aziz Jusoh di talian 012-957 8075 atau 09-697 6110.




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers