shila amzah |
LAGU Patah Seribu nyanyian Shila Amzah malam tadi dinobatkan sebagai Lagu Terbaik edisi ke-19 Anugerah Industri Muzik (AIM).
Mengulas mengenai kejayaan itu, Shila, nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah, 22, berkongsi bahawa dia tidak pernah berputus asa dalam memperjuangkan dunia muzik meskipun terpaksa menunggu hampir 12 tahun sebelum bergelar juara.
"Jadi, saya sangat bersyukur kerana pengiktirafan malam ini merupakan satu bonus, syukur alhamdulillah,” jelasnya.
Shila juga tidak menafikan keluarganya adalah tulang belakang kepada kejayaannya yang sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk terus berjaya dalam dunia seni seperti bapanya, umpama pepatah Melayu “ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi."
“Saya berterima kasih kepada pihak RIM dan AIM kerana memberi peluang kepada saya kerana untuk menjadi sebahagian daripada keluarga AIM merupakan satu perkara yang besar ibarat artis barat memenangi Grammy Awards, jadi AIM ini ibarat Grammy kita, kalau bukan kita yang beri sokongan kepada AIM, siapa lagikan?” tambah Shila.
“Kekuatan lagu Patah Seribu sebenarnya saya meletakkan sepenuh jiwa raga saya ketika saya menulis lagu itu selama 20 minit di atas lantai dalam bilik saya, yang pada masa itu perasaan saya dalam patah seribu, cuma saya tidaklah menulis tentang kisah saya sendiri, tapi Patah Seribu itu diillustrasikan daripada pemikiran saya bagaimana hancurnya hati seseorang itu.
“Mungkin juga lagu itu atas kekecewaan saya sendiri, sebab saya menulis lagu itu dengan sepenuh cinta hati saya terhadap bidang musik,” jelasnya lagi.
Anak kepada penyanyi tersohor negara, N.D. Lala itu menyifatkan kejayaannya itu sebagai detik bersejarah dalam hidupnya kerana belenggu yang ditanggung selama ini sejak bergelar penyanyi kecil seawal 10 tahun usianya kini tiada lagi malah tidak usahanya selama ini tidak sia-sia.
“Mungkin dulu tidak bersedia lagi tidak seperti hari ini, tak pernah sedih pun tak menang sebelum ini.
"Bagi saya bukannya mengubati kekecewaan lepas... ini adalah asam garam seorang anak seni yang penting bersabar, berdoa dan terus berusaha untuk berjaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian Online di akhir AIM19 di Stadium Malawati, Shah Alam, malam tadi.
Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan kejayaannya dalam AIM19, beliau berkata, "sudah tentu belum berpuas hati."
"... sebab apabila sampai peringkat ini, sudah tentu mahu mencari banyak lagi kemenangan, anugerah lagu baik peringkat tempatan mahupun antarabangsa," katanya.
Sambil berkata tiada rahsia di sebalik kemenangan kali ini, Shila menambah, berkat usaha yang berterusan dengan memantapkan vokal dan mendengar lagu artis lain seperti Nora, Jaclyn Victor, Misha Omar dan Datuk Siti Nurhaliza, akhirnya membuahkan hasil.
“Lagu-lagu mereka memang susah untuk dinyanyikan, masa saya kecil lagu-lagu merekalah menjadi makanan untuk mengasah vokal saya, mempelajari banyak lenggok-lenggok dan sebagainya kerana mereka jugalah saya di sini sebenarnya.
“(Selama) 12 tahun penantian... sebab saya mula menyanyi sejak umur saya 10 tahun, dan pada usia itu, saya dah ada album sendiri dan saya tak pernah dapat apa-apa pengiktirafan tapi saya tak pernah berputus asa dengan apa yang lakukan sebab saya meletakkan seluruh kecintaan seni saya terhadap karya-karya saya," kata beliau.
Anugerah Industri Muzik ke-19 yang dianjurkan oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan rakan penyiaran Astro Ria malam tadi mempertandingkan 16 kategori.
Antaranya anugerah Lagu Hip Hop Terbaik dimenangi oleh Jamal Abdillah & Malique/ Malique/ Tripdizs (Aku Maafkan Kamu), Lagu Inggeris Tempatan Terbaik - Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito/ Lin Li Zhen (Counting Days), Artis Baru Terbaik - Mojo (Andai Kau Bercinta Lagi), Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Dalam Lagu - Forteen (Seperti Dulu), Video Muzik Terbaik - Yuna/ Quek Shio Chuan (Sparkle), Lagu Pop Terbaik - Shila Amzah (Patah Seribu), Lagu Rock Terbaik - Azlan & The Typewriter/ Audi Mock/ Dark (Idola), Lagu Bahasa Melayu Terbaik yang Dipersembahkan oleh Artis Luar Negara - Nirwana Band (Sudah Cukup Sudah), Kulit Album Terbaik - Mizz Nina/ Even Odds Sdn Bhd (Take Over), Rakaman Album Terbaik - Nora/ Rahman Ayob (Hikmah), Susunan Muzik Terbaik di dalam Lagu - Jaclyn Victor/ Aubrey Suwito (Counting Days), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Lelaki) - Jamal Abdillah (Bahagia Sementara), Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Wanita) - Jaclyn Victor (Counting Days), Album Terbaik - Salam Musik/ Salam (Salam Musik), Lagu Pop Etnik Terbaik – Noraniza Idris/ Edrie Hashim/ Ahmad Fedtri Yahya (Kuasa Cinta) dan Lagu Nasyid Terbaik – Nora/ Gjie 6ixth Sense/ Lukhman S (Doa).
Selain itu, dua anugerah khas turut diberikan kepada artis tempatan di atas pencapaian luar biasa mereka dalam dunia seni suara iaitu Anugerah Kembara dinobatkan kepada artis Mizz Nina menerusi albumnya Take Over dan Anugerah Sri Wirama diberikan kepada Kumpulan Alleycats yang memperjuangkan lagu pop... sumber
0 comments:
Post a Comment