AINAN mengakui mempunyai kekasih yang sama-sama belajar dengannya di Universiti Malaysia Perlis |
SEORANG lagi penyanyi kelahiran YouTube, Ainan Tasneem Ridzuan, 20, nampaknya tidak habis-habis dengan tempias gosip.
Walaupun menganggap menyanyi adalah kerjaya sambilannya sahaja, tetapi sejak kemunculannya dalam industri ini setahun lalu, Ainan masih dihurung kontroversi.
Pada mulanya, Ainan dianggap sebagai klon penyanyi YouTube yang terlebih dulu dikenali khalayak iaitu Najwa Latif.
Dia menafikan hal tersebut, sebaliknya menyifatkan perbandingan tersebut wujud kerana mereka muncul di bawah medium sosial yang sama.
Terkini, isu dia dikatakan suka menayang kekasih hatinya di tempat pengajiannya serta didakwa mencuri lagu seorang penyanyi bebas, Fynn Jamal iaitu lagu 150 juta dan dianggap telah merosakkan lagu berkenaan hangat diperkatakan.
Berpeluang bertemu dengan penyanyi tersebut sewaktu dia menjalani penggambaran muzik video lagu terbaharunya, Kamu Saja di Management & Science University (MSU), Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Ainan menafikan dia telah mencuri lagu berkenaan.
Sebaliknya, Ainan yang juga merupakan pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjelaskan, lagu tersebut telah dijual oleh pemiliknya kepada syarikat rakaman tempatnya bernaung iaitu, Music Valley Malaysia (MVM) dan dia diberi kepercayaan untuk mendendangkan lagu itu semula.
"Saya tidak mencuri serta tidak merosakkan lagu berkenaan. Saya rasa saya hanya menyanyi ikut cara saya. Pada saya, kalau orang tidak suka cara nyanyian saya, mereka punya pilihan untuk tidak mendengarnya," ujar Ainan.
Tambah Ainan, pada awalnya dia menolak untuk menyanyikan lagu berkenaan, tetapi akur apabila Fynn telah memberi persetujuan dan menyerahkan 100 peratus lagu tersebut serta memberi lampu hijau supaya ia dinyanyikan dengan gayanya sendiri.
"Saya sedar ramai yang tidak suka dengan gaya saya, tetapi kalau di YouTube, ada juga komen positif yang menerima gaya saya. Mungkin hanya ramai pengikut Fynn yang masih tidak dapat menerima gaya saya menyanyikan lagu 150 juta itu," ujarnya yang menerima segala kritikan dengan hati terbuka.
Bagi Ainan lagi, apabila dia menyanyikan lagu berkenaan, secara tidak langsung ia telah membuatkan peminatnya kenal siapa Fynn yang berbakat besar.
"Fynn seorang yang berbakat, tetapi karyanya hanya boleh dilihat dalam YouTube, tidak dalam arus perdana, jadi saya rasa isu curi atau saya merosakkan lagu sesiapa tidak perlu timbul," jelasnya.
Tidak terhenti di situ sahaja, nama Ainan terus terpalit kontroversi apabila dikatakan memberikan lagu 150 juta nyanyiannya itu kepada sebuah stesen radio sahaja.
Tindakan tersebut dianggap seperti satu pilih kasih dan memilih stesen radio terkenal sahaja untuk mempromosikan lagu berkenaan.
Apabila diajukan persoalan itu, Ainan menepis kontroversi berkenaan dengan mengatakan perkara itu berlaku di luar pengetahuannya.
"Sebenarnya saya tidak mahu lagu itu disiarkan di mana-mana stesen radio. Perancangan asal saya, selepas semua lagu saya dipromosi barulah lagu itu boleh diputarkan di corong radio, tetapi secara tidak sengaja, lagu itu telah diberikan oleh MVM kepada satu stesen radio.
"Malangnya, apabila diminta untuk menarik balik pemutaran lagu tersebut daripada radio, ia sudah terlambat kerana lagu itu telah popular dan mendapat permintaan tinggi pendengar," jelasnya.
Kata Ainan, dia tidak akan menjadi pilih kasih atau memilih lagunya hanya disiarkan di sebuah stesen radio sahaja.
"Saya mahu lagu saya sendiri diputarkan, bukan lagu itu (150 juta), tetapi benda sudah jadi saya nak buat macam mana," tambahnya yang tetap tidak akan membenarkan stesen radio lain untuk menyiarkan lagu 150 juta selepas kontroversi itu berlaku.
Geram
Menjadi Ainan Tasneem nampaknya tidak semudah yang disangka walaupun baru setahun jagung dalam industri ini, kontroversi terbaharu yang membuatkan penyanyi ini geram dan marah apabila dikatakan sering berkepit dengan teman lelakinya di UniMAP.
Baru-baru ini sebuah akhbar dan portal hiburan telah melaporkan mengenai sikap Ainan yang sering berkepit dengan teman lelakinya di kafe universiti itu hingga awal pagi.
Mengakui teman lelakinya yang telah dikenali sejak tiga tahun lalu itu turut belajar di universiti yang sama, dia menyangkal sekeras-kerasnya sering kelihatan berkepit dengan kekasihnya setiap hari.
"Saya berjumpa dengan dia (kekasih) hanya seminggu sekali sahaja apabila dia ada latihan rugbi berdekatan kediaman saya dalam universiti. Itu pun kadangkala ada kawan-kawan lain yang temankan," ujarnya.
Jelasnya lagi, dia tidak pasti sama ada gosip itu timbul disebabkan ada pihak yang dengki atau menyampah dengan dirinya di universiti itu.
"Sebelum ini orang cakap saya sombong, tapi tak tahu pula kalau ada orang menyampah dengan saya. Ya, memang saya jumpa kekasih saya di kafe di situ, tetapi tempat itu ramai orang, bukan berdua-duaan di kawasan yang tidak elok," ujarnya.
Kerja sambilan
Bercerita mengenai kerjaya seni muziknya pula, pelajar tahun kedua jurusan Kejuruteraan Bioproses ini menganggap menyanyi hanya akan menjadi kerjaya sambilannya sahaja.
"Saya bercita-cita menjadi pensyarah. Menyanyi saya lakukan untuk mengisi masa lapang sahaja," ujarnya yang turut berharap dapat menyambung pengajian ke peringkat sarjana di United Kingdom, England selepas tamat belajar di UniMAP nanti.
Kata Ainan, dia memilih untuk menjadi pensyarah apabila tamat pengajian nanti disebabkan tidak mahu menghampakan harapan keluarga dan pensyarahnya.
"Mereka sudah benarkan saya menyanyi sekarang, jadi itu sudah cukup untuk buat saya gembira. Kini tiba giliran saya pula buat mereka gembira untuk berjaya dalam hidup dengan ada kerjaya tetap," ujar anak tunggal perempuan daripada empat beradik ini.
Mengakui telah banyak menolak tawaran mengadakan persembahan disebabkan kekangan belajar, Ainan tidak menyesal terpaksa berbuat demikian.
Katanya: "Saya hanya ada masa hujung minggu sahaja sebab tiada kelas, kalau ada tawaran menyanyi dekat-dekat saya terima, kalau jauh saya tengok dulu sama ada ia berbaloi atau tidak."sumber
0 comments:
Post a Comment