LYDIAWATI mengakui hidungnya sering menarik fokus ramai. |
PELAKON Lydiawati atau nama sebenarnya Salina Zaimon, cukup popular sekitar tahun 1990-an. Kini, pada usia 46 tahun, figura yang pernah membintangi filem Suami, Isteri dan ... itu masih kekal cantik meskipun memiliki jadual kerja yang padat.
Mungkin kerana kecantikan aslinya, ibu tunggal kepada dua orang anak itu telah dilantik menjadi duta produk Zmasha selama setahun.
Kata Lydiawati yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini, meskipun sudah berusia, kecantikan amat penting baginya.
Tambahan, kerjayanya sebagai pelakon menuntut dirinya untuk kelihatan cantik sepanjang masa.
Bagaimanapun, tegas Lydiawati dia rimas apabila ada pihak mendakwa dia melakukan pembedahan hidung dan melakukan suntikan untuk kekal cantik.
Ikuti temu bual Kosmo! bersama Lidiawati bagi mengupas persoalan tersebut.
Kosmo!: Apakah rahsia kecantikan Lydiawati sehingga hari ini?
LYDIAWATI: Saya mengamalkan pemakanan yang sihat dan mengambil multivitamin untuk mengekalkan tahap kesihatan. Begitu juga dengan kecantikan, saya percaya kecantikan bermula daripada dalam sebab itu saya suka mengambil ulam-ulaman dan jamu.
Tidak pernah mencuba sebarang alternatif lain seperti suntikan kecantikan?
Mungkin orang tidak percaya, tetapi saya tidak pernah langsung suntik wajah saya dengan botox atau sebarang vitamin kecantikan. Kalau suntik botox, kesannya memang cepat secara luaran tetapi tidak elok untuk kesihatan dalaman. Rasanya suntik botox bukannya lagi cantik.
Maknanya anda menolak seratus peratus secara cepat untuk cantik?
Ya. Bagi saya untuk kekal cantik tidak ada jalan yang singkat sebaliknya mengambil masa yang lama. Saya lebih percaya kepada penggunaan produk tradisional seperti jamu dan vitamin yang boleh dimakan. Dahulu, saya sendiri pernah mengambil berpuluh-puluh pil kesihatan sehari tetapi sekarang jumlah itu sudah berkurangan.
Bahagian mana pada wajah anda selalu menarik perhatian orang?
Rasanya hidung saya. Sebab ramai yang menyangka saya melakukan pembedahan untuk memancungkan hidung. Ada yang bertanya, di mana saya membuat pembedahan hidung? Sebenarnya, ini hidung saya yang asli. Mungkin kerana bentuk tulangnya yang sedikit tinggi sekali tengok seperti hidung yang dibuat, tetapi apabila mereka sentuh, memang mereka akui hidung saya asli.
Bagaimanakah perasaan anda apabila dikatakan melakukan pembedahan hidung?
Kelakar pun ada sebab saya memang takut nak suntik wajah, inikan pula bedah hidung. Saya bersyukur dengan wajah yang dikurniakan Allah dan menjaganya sebaik mungkin. Tidak perlu untuk saya ubahnya menjadi lebih cantik.
Selepas tiga tahun bergelar janda dan dua kali gagal dalam perkahwinan, adakah anda ingin berkahwin lagi?
Siapa yang tidak mahu kahwin. Saya tidak serik untuk berkahwin. Ada juga lelaki yang ingin rapat, tetapi saya memilih untuk menjalani kehidupan dengan dua orang anak saya. Lebih selesa apabila saya tidak terikat dengan sesiapa. Jadual harian saya sangat sibuk, jika berkahwin saya bimbang tidak boleh memberi komitmen kepada rumah tangga.
Sejak kebelakangan ini begitu ramai pelakon baharu yang muncul, adakah kemunculan mereka menjejaskan tawaran lakonan anda?
Tidak sama sekali. Alhamdulillah, jadual kerja saya sudah penuh sampai bulan April tahun hadapan dengan penggambaran drama. Pelakon yang boleh membawa watak ibu dan wanita pertengahan usia tidak ramai di Malaysia, jadi saya tidak terjejas. Ada kalanya saya terpaksa menolak tawaran kerana saya hanya berlakon satu drama dalam satu masa supaya tidak menyusahkan orang lain dan diri saya sendiri. Terbaharu, saya bakal memasuki set penggambaran drama bersiri Rindu Bertamu di Abu Dhabi untuk TV3.sumber
0 comments:
Post a Comment