Hikmah selepas kemelut
|
SEBELUM melayari bahtera perkahwinannya pelakon dan penyanyi berdarah kacukan Melayu-Arab, Betty Banafe pernah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umum.
Dia antara lain meluahkan hasrat untuk membatalkan pernikahannya dengan jejaka Inggeris-Lebanon, Bruce Darghous yang ketika itu hanya tinggal kurang sebulan daripada tarikh perkahwinannya itu.
Puncanya cuma satu iaitu perbezaan budaya antara mereka berdua.
Namun begitu menurut wanita bermata galak itu, sebelum mengikat tali pertunangan, hari-hari yang dilalui mereka cukup sempurna. Bagaimanapun selepas itu, ada sahaja yang tidak kena.
"Ya, kami berdua amat tertekan ketika itu kerana masing-masing berselisih faham mengenai majlis pernikahan kami. Namun, itu cerita dahulu, tetapi Alhamdullillah, pada hari yang perkahwinan saya ini, hati kami bersatu menjadi satu.
"Saya percaya segala yang berlaku ada hikmah dan kemelut itu saya sifatkan sebagai satu momen untuk kami saling kenal-mengenali dengan lebih rapat lagi," luahnya.
Pada Sabtu 6 Disember lalu, Betty atau nama sebenarnya Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe, 33, mengikat tali perkahwinannya dengan Darghous, 31, di rumah keluarganya di Kempas Baru, Johor.
Dengan mas kahwin berupa sebentuk cincin dan gelang emas, pasangan secocok itu selamat diijabkabulkan oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Johor, Ahmad Faisal Mohamed tepat pukul 2.30 petang.
Hanya dengan sekali lafaz, perunding teknologi di salah sebuah syarikat komunikasi maklumat di ibu kota Kuala Lumpur itu sah bergelar suami kepada pelakon filem Buai Laju-Laju dan Haru-Biru itu.
Selain ahli keluarga dan sanak saudara Betty, hadir sama menyaksikan penyatuan dua jiwa itu ialah keluarga mempelai lelaki yang terdiri daripada ibu bapanya, Nabil Darghous dan Linda Darghous serta adik perempuannya.
Pada majlis yang bertemakan konsep Arab sepenuhnya itu, mempelai bertukar-tukar hantaran iaitu tujuh dulang daripada Darghous yang merangkumi sehelai telekung, set wangian Nina Richi dan Ralph Lauren, Apple TV, telefon pintar Samsung S111, komputer riba Apple serta sirih junjung.
Sementara Betty membalas lapan dulang hantaran iaitu set wangian Dolce & Gabbana, set mandian, al-Quran digital, sejadah, buah-buahan, kek dan sirih junjung.
Bagaimanapun ketika ditanya jumlah wang hantaran perkahwinan, Betty dan keluarga lebih senang untuk merahsiakannya.
Cinta unik
Ternyata kisah percintaan antara Betty dan Darghous cukup menarik untuk disingkap.
Cerita Betty yang anggun mengenakan busana rekaan pereka dari Singapura dan menerima sentuhan mekap daripada Rina Delina, pada malam pertama mereka dipertemukan, hatinya sudah terdetik bahawa lelaki berbadan tegap dan berkepala botak itu ialah 'Mr. Rightnya'.
"Saya masih teringat lagi bibit-bibit pertemuan kami berdua. Ketika itu iaitu pada 5 November tahun lalu, sejurus selepas tamat Anugerah Industri Muzik (AIM), kami diperkenalkan oleh rakan masing-masing.
"Pertuturan antara kami bersahaja tetapi setelah beberapa jam bersembang, saya melihat arwah bapa saya, ada dalam diri dia. Darghous seorang yang berterus terang juga kelakar dan ciri-ciri itulah yang ada pada bapa saya," imbasnya yang mengaku dirinya sangat rapat dengan arwah bapanya, Abu Bakar Banafe.
Kasih antara mereka semakin bertaut apabila karakter Bruce yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu kelihatan nyata tegas, cukup berdisiplin, berterus terang dan menepati masa.
"Selain itu, kepakaran Bruce dalam menggunakan teknologi juga begitu mengagumkan saya dan lebih menjadikan hubungan kami tambah istimewa kerana kami meminati muzik yang sama iaitu irama Arab," katanya tertawa manja.
Tambah Betty: "Ya, sememangnya jodoh itu merupakan kuasa Allah Yang Maha Esa dan tiada manusia dapat menyangkalnya."
Ujar Betty, meskipun mengakui dirinya sukar untuk kembali bercinta dan terlalu berhati-hati dalam soal jodoh, akhirnya, pintu hatinya berjaya diketuk oleh si jejaka bernama Bruce Darghous ini.
"Bruce memberitahu saya secara romantis betapa dirinya mencintai saya dan merasa serasi untuk mengharungi onak dan duri bersama-sama.
"Waktu itu, saya masih berfikir lagi tetapi keyakinan saya terhadapnya semakin bercambah apabila dia sanggup melamar saya di depan ahli keluarga saya pada 14 Jun lalu iaitu semasa hari jadi ahli keluarga saya," luahnya.
0 comments:
Post a Comment