|
DAMSYIK - Beberapa butir bom yang digugurkan di Ain Terma, timur Damsyik dalam peperangan saudara di Syria didapati tidak meletup pada 19 Disember lalu.
Bom-bom tersebut jatuh di beberapa batang jalan raya tetapi ia tidak meletup sekali gus menjadi tontonan penduduk dan para penentang Presiden Bashar Al-Assad.
Kawasan di Ain Terma itu merupakan lokasi serangan tentera Syria terhadap askar-askar Tentera Pembebasan Syria yang menentang rejim Bashar.
Pertempuran itu meletus sejak Mac tahun lalu dan lebih 43,000 orang dilaporkan telah terkorban.
Para penentang itu terdiri daripada penduduk tempatan yang mahu menggulingkan rejim Bashar.
Bashar dianggap gagal membawa pembaharuan dalam bidang pentadbiran dan kebebasan hak asasi manusia.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menyatakan pihaknya akan menyediakan bekalan makanan kepada lebih 100,000 orang yang melarikan diri dari kem pelarian Palestin di Syria.
Kem itu terletak di Yarmuk, lapan kilometer dari Damsyik.
Ia turut menempatkan penduduk Syria yang menjadi mangsa peperangan tersebut.
Para pelarian itu melarikan diri ekoran serangan pesawat tentera Syria di kawasan berdekatan kem itu.
Kelmarin, konflik di Syria telah menjadi pertempuran antara fahaman Syiah dengan Sunni.
Ia diumumkan oleh agensi penyiasat PBB, Suruhanjaya Siasatan Syria selepas melakukan lawatan ke negara ini.
Bashar merupakan penganut Islam fahaman Syiah Alawi manakala ramai penduduk di negara ini berfahaman Sunni. - Agensi
0 comments:
Post a Comment