
SAFEE (kanan) menganggap skuad Indoneisa kali ini tidak sehebat dua tahun lalu.
PENYERANG Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali mendedahkan skuad Indonesia pada kempen Piala Suzuki AFF 2010 adalah jauh lebih kuat berbanding kali ini.
Safee berkata demikian selepas membantu skuad negara menewaskan pasukan bimbingan Nil Maizar 2-0 pada aksi terakhir peringkat Kumpulan B di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam kelmarin.
Penyerang kelab Arema Jaya itu menyifatkan, kemelut dalaman yang melanda Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) telah memberikan kesan kepada Garuda yang mempertaruhkan muka baharu dalam skuad mereka pada kempen kali ini.
Jelasnya, ketiadaan pemain-pemain daripada Liga Super Indonesia (ISL) disebabkan PSSI mengantung pasukan dari 25 kelab yang beraksi dalam ISL, jelas memberikan kesan kepada skuad kebangsaan mereka.
“Bagi saya, pasukan Indonesia 2010 adalah lebih bagus dan berpengalaman berbanding skuad kali ini.
“Jadi, saya berpendapat konflik yang melanda PSSI harus diselesaikan dengan segera untuk memajukan bola sepak Indonesia.
“Saya fikir sekiranya ada pemain daripada ISL beraksi untuk skuad Indonesia, mereka pasti akan memberikan tentangan lebih sengit kepada Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan malam kelmarin.
Indonesia tidak dapat menyenaraikan pemain-pemain utama yang beraksi di ISL ekoran penggantungan.
Isu tersebut timbul selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan PSSI menyelesaikan kemelut berikutan terdapat dua liga utama di Indonesia iaitu ISL dan Liga Premier Indonesia (IPL).
Konflik yang melibatkan status kedua-dua liga tersebut dijangka selesai pada awal bulan ini.
Sementara itu, bekas penyerang Selangor itu menegaskan, perjalanan skuad negara masih jauh dan Harimau Malaya perlu berwaspada dengan ancaman Thailand pada peringat separuh akhir kelak.
“Pertemuan dengan Thailand adalah perlawanan yang berbeza biarpun kita pernah tewas kepada mereka (0-2) dalam satu aksi persahabatan (7 November lalu).
“Jadi, kami perlu memperbaiki segala kelemahan, kerana tahap permainan pada peringkat separuh akhir kelak akan berlainan.
“Jentera serangan Thailand sangat bagus manakala benteng pertahanan mereka juga kental,” katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1203&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz2E0cTjzp6
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment