Kelmarin, Nusantara Seni Karya Sdn Bhd (NSK) menjelaskan kedatangan Julia Perez ke Pulau Pinang hanya untuk berbincang tentang karakternya bukan berlakon tetapi sebaliknya penggambaran dijalankan tanpa pengetahuan pengurusan NSK.
“Bila mereka dah jelaskan macam itu, yang salah tetap salah. Kalau sudah minta maaf, salahlah maksudnya.
“Jadi, kalau dah salah, mesti kena hukuman. Apa guna penguatkuasaan undang-undang?” kata Zed Zaidi kepada Sinar Harian Online.
Zed Zaidi juga menjelaskan bahawa pihak penerbit sudah membelakangkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Persatuan Seniman.
“NSK membelakangkan Finas dan persatuan. Mereka memohon kelulusan permit dari Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) terlebih dahulu.
“Sepatutnya, mereka perlu mendapatkan kelulusan Finas terlebih dahulu dan mendaftar artis mereka di bawah Seniman, kemudian baru dapatkan kelulusan Puspal,” katanya yang bertegas Julia Perez masih belum berdaftar dengan Seniman sehingga hari ini.
Tambahnya, “baru mohon, belum lulus tetapi sudah menjalankan penggambaran,dalam hal ini, jelaslah Julia Perez menyalah gunakan pas lawatan sosialnya.”
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pihak bertanggungjawab agar tidak menutup mata terhadap perkara-perkara seperti ini.
“Pihak bertanggungjawab, silalah ambil tindakan. Jangan kerana dia artis, tak boleh kena hukum. Artis manusia juga,” katanya yang tidak teragak-agak ‘membuat bising’ jika perkara sama berulang lagi.
“Jika sabit kesalahan, pihak terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih daripada enam bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali, di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1993.
“Finas juga boleh merampas semua peralatan penggambaran,” jelasnya.sumber
0 comments:
Post a Comment