|
SYDNEY - Sebuah stesen radio Australia berjanji menyalurkan sekurang-kurangnya AS$523,600 (RM1.6 juta) semalam untuk membantu keluarga seorang jururawat yang menjadi mangsa panggilan telefon palsu susulan kontroversi berhubung penipuan tersebut.
Pada Jumaat lalu, jururawat berkenaan, Jacintha Saldanha ditemui mati di apartmen yang menempatkan kakitangan Hospital King Edward VII di London kerana membunuh diri.
Kematian tragis ibu dua anak yang berasal dari India itu berlaku selepas dia menyambungkan panggilan palsu oleh dua penyampai stesen radio 2Day FM dari sini ke hospital berkenaan.
Saldanha menyambungkan panggilan itu kepada seorang rakan sekerjanya yang mendedahkan bahawa isteri Putera William, Kate Middleton semakin sembuh selepas dimasukkan ke hospital berkenaan ekoran mengalami alahan mengandung yang teruk.
Stesen radio itu pada awalnya membekukan semua bentuk pengiklanan ekoran kematian tragis Saldanha tetapi kemudian menyatakan, siaran iklannya akan disambung semula esok.
Bagaimanapun, semua keuntungan siaran iklan stesen radio itu sehingga penghujung tahun ini akan disalurkan kepada sebuah dana bagi membantu keluarga Saldanha.
Dana itu berjumlah sekurang-kurangnya AS$523,600.
"Kami meminta maaf di atas apa yang berlaku," kata ketua eksekutif syarikat induk 2Day FM, Rhys Holleran dalam satu kenyataan.
"Kami berharap sumbangan kepada dana memorial tersebut dapat membantu keluarga Saldanha mengharungi detik-detik yang amat sukar ini," tambahnya.
Dalam satu wawancara penuh emosi kelmarin, penyampai radio 2Day FM, Mel Greig dan Michael Christian berkata, walaupun mereka yang membuat panggilan dengan menyamar sebagai Ratu Elizabeth II dan anakanda baginda, Putera Charles ke Hospital King Edward VII, keputusan untuk menyiarkan segmen itu dibuat oleh orang lain tanpa pembabitan mereka.
William ialah cucunda ratu tersebut dan anakanda kepada Charles.
"Bukan kami yang membuat keputusan menyiarkan jenaka panggilan palsu itu. Kami cuma merakamnya dan ia diserahkan ke beberapa jabatan lain untuk diputuskan," kata Greig dalam temu bual bersama saluran televisyen Australia, Nine Network.
Holleran sebelum ini menyatakan, stesen radio tersebut telah lima kali menelefon Hospital King Edward VII untuk berbincang tentang rakaman itu sebelum ia disiarkan.
Di bawah undang-undang Australia, kebenaran pihak yang menjadi mangsa jenaka radio perlu dipohon sebelum segmen itu disiarkan.
Namun, pihak pengurusan hospital yang terletak di London itu menafikan mereka dihubungi berhubung perkara tersebut.
Suami jururawat itu ialah Benedict Barboza yang bertukas sebagai akauntan dan salah seorang anaknya ialah Lisha yang berusia 14 tahun.
Kelmarin, Greig dan Christian menyatakan kekesalan mereka dalam dua program televisyen di Australia kerana melakukan penyamaran itu. - Agensi
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2EmukV1xt
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment