Thursday, 13 December 2012

Filled Under:

Tahun cemerlang Shila




LEMBARAN 2012 membawa kenangan manis dan cukup berharga bagi Shila Amzah apabila satu demi satu kejayaan serta pengiktirafan diraihnya dalam bidang nyanyian sepanjang 12 tahun menjadi anak seni.
Malah, paling bermakna buat anak sulung kepada penyanyi ND Lala ini tentunya tatkala dia dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa dan berprestij, Asian Wave di Shanghai, China pada 20 September lalu.

Bukan saja berjaya meraih kemenangan besar di luar negara tetapi Shila atau nama sebenarnya, Nur Shahila Amir Amzah turut berpeluang melebarkan karier nyanyiannya di negara Tembok Besar itu. Karier Shila di sana kini di bawah pengurusan Shanghai Media Group (SMG).

Apapun, kerjaya nyanyian Shila di persada seni tempatan tak kurang hebatnya dan turut cemerlang. Pelantun dan pencipta lagu Patah Seribu itu turut meraih dua anugerah utama iaitu Lagu Terbaik dan Lagu Pop Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-19 (AIM19), baru-baru ini.


Bahkan, menerusi lagu sama juga (Patah Seribu), kekasih hati kepada pelakon Sharnaaz Ahmad itu turut berjaya melayakkan diri ke final Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27) yang dijangka berlangsung pada Januari 2013 nanti.


Bagaimanapun, lebih membanggakan lagi dalam kariernya apabila Shila baru-baru ini dimaklumkan turut mendapat pencalonan di arena muzik antarabangsa iaitu World Music Awards 2012 yang akan berlangsung di Miami, Amerika Syarikat pada 20 Disember ini.

Menerima pencalonan dalam kategori World Best Female Artist, Shila tersenarai bersaing dengan 40 calon hebat ternama dunia termasuk Adele, Taylor Swift, Selena Gomez, Pink, Kelly Clarkson, Madonna dan Beyonce. Shila cukup bersyukur dengan perkemba–ngan itu.

“Saya tidak sangka selepas penat lelah selama berbelas tahun berusaha membina nama dalam industri muzik tempatan, akhir berjaya juga meraih pelbagai anugerah. Saya menganggap segala kejayaan dimiliki ini adalah rezeki yang dianugerahkan Tuhan.

“Selepas puas berusaha, berdoa serta reda pada ketentuan-Nya selama ini, ia nampaknya sudah berbaloi. Malah, saya juga sebenarnya tidak menyangka nama akan dicalonkan berentap dengan artis ternama dari luar negara di World Music Awards 2012 ini.

“Selain bersyukur, saya sangat gembira dengan pencapaian ini apatah lagi menjadi artis pertama negara yang mendapat peluang bersaing di majlis anugerah berprestij itu. Apapun, lebih manis lagi buat saya apabila turut diundang membuat persembahan di hadapan tetamu dalam majlis itu nanti,” katanya tenang.

Apapun, yang menjadi masalah kepada Shila kini ialah mendapatkan visa daripada Kedutaan Amerika Syarikat. Ketika dihubungi baru-baru ini sebelum berangkat ke Indonesia pada Ahad lalu bagi menjayakan konsert di sana, dia memaklumkan kini segala usaha memperoleh visa itu gigih dilakukan bapanya.

“Ini peluang saya untuk sekali lagi beraksi di pentas antarabangsa yang lebih besar. Oleh itu, saya amat menghargainya dan berbesar hati untuk membuat persembahan di World Music Awards 2012 itu nanti berikutan ia bukanlah peluang yang selalu datang dan mudah diperoleh.

“Atas sebab itu, saya amat berharap ada pihak sedia membantu bagi mempermudahkan proses mendapatkan visa berkenaan. Kelewatan membuat visa ini berlaku kerana saya mengetahui mengenai pencalonan dan undangan persembahan di majlis itu agak lambat.

“Ia kerana, penganjur di Amerika menghantarkan kedua-dua undangan itu kepada syarikat SMG yang menguruskan segala jadual karier saya di China. Selepas puas mengurus sendiri perjalanan karier saya sebelum ini, bersama SMG semuanya diurus secara sistematik dan begitu selektif. Malah, mereka sentiasa memilih hanya yang terbaik untuk saya.

“Apapun, tak dinafikan, kini jadual undangan persembahan saya sangat padat.
Memang tak menang tangan dibuatnya. Apatah lagi, selepas konsert di Indonesia, saya terus terbang ke Singapura untuk hadir di majlis Anugerah Planet Muzik 2012 (APM2012), hujung minggu ini dan selepas itu ke Shanghai untuk menjayakan persembahan sempena tahun baru. Jadi, masa saya di tanah air cukup terhad hingga persediaan untuk AJL27 pun belum sempat dilakukan,” katanya.

Menurut Shila, dia berharap dapat melalui jalan mudah untuk membuat visa ke Amerika Syarikat. Namun, dia sebenarnya tidak terlalu mengharapkan kemenangan berpihak padanya memandangkan saingan calon yang hadapi cukup sengit. Baginya, kunjungan ke Amerika itu lebih kepada mahu memenuhi undangan pentas diterima demi mengharumkan nama segera.

“Menang atau kalah adat bertanding. Apapun, melihatkan senarai saingan yang sengit itu saya tidak meletakkan sebarang harapan. Namun, sekiranya menang di sana, saya anggap ia sekadar bonus dan rezeki daripada Allah,” katanya.

Bagaimanapun Shila berkata, kejayaannya di Asian Wave lalu memberi impak yang cukup besar apabila satu demi satu kejayaan menjadi miliknya. Bahkan, katanya, kejayaan itu turut membuatkan dia lebih berhati-hati dan tidak lalai dengan nikmat Tuhan yang dipinjamkan
.sumber




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers