Kata Zaiton, dia mendapat tahu mengenai kemalangan tersebut daripada rakan Dato` Khalid sendiri.
"Dia beritahu bahawa Khalid telah cedera teruk selepas ditimpa kemalangan dan telah pun dimasukkan ke hospital," katanya kepada murai.com.my.
Menurut Zaiton lagi, dia kemudian berusaha untuk menghubungi pihak hospital terbabit untuk mengetahui keadaan adiknya itu dengan lebih lanjut.
"Kata salah seorang kakitangan hospital tersebut, Khalid berada di dalam keadaan stabil. Namun, mereka terpaksa merawatnya dengan lebih lanjut kerana ada beberapa bahagian di badannya itu patah termasuk di bahu dan mereka bimbang kalau-kalau ada berlakunya kecederaan dalaman.
"Buat masa ini, itu sajalah yang mampu Kak Tun beritahu. Sebab, Khalid masih belum boleh bercakap lagi. Mungkin kesan daripada ubat yang diberikan.
"Hendak cakap lebih-lebih pun susah, sebab Kak Tun tak tengok lagi keadaan diri dia. Apatah lagi bercakap. Tuhan sajalah yang tahu macamana perasaan Kak Tun pada waktu ni. Ibu Kak Tun pula dari tadi asyik break down saja. Kalau boleh, hari ni jugak Kak Tun hendak terbang ke Queenstown melawat dia di sana. Malangnya, semua flight telah pun habis ditempah. Maklumlah cuti sekolah," katanya.
Pun begitu, Zaiton berkata, dia berhasil mendapatkan tiket ke Queenstown pada 12 tengahari esok.
"Kak Tun akan ke sana bersama Siti dan seorang ahli keluarga angkat iaitu Datuk Yahya. Dialah yang uruskan tempahan tiket kami semua," katanya.
Jelas Zaiton lagi, sebaik saja mengetahui tentang berita kemalangan Khalid itu, dia cepat-cepat cuba untuk menghubungi adik iparnya, Siti.
"Tapi mungkin waktu itu dia sedang dalam penerbangan dari Jakarta ke Banjarmasin, jadi Kak Tun tidak dapat berhubung dengannya dan kebetulan pula telefon bimbitnya rosak.
"Tapi, akhirnya Kak Tun dapat juga cakap dengan dia. Dia juga terkejut dengar berita itu dan cepat-cepat membatalkan konsertnya di Banjarmasin. Yalah, macam mana dia nak buat persembahan sedangkan suaminya kemalangan.
"Dia kemudian beritahu kak Tun supaya menempah tiket cepat-cepat untuk ke Queenstwon. Kini dia dalam perjalanan pulang ke Malaysia bersama pengurusnya Rozi Abdul Razak. Mereka dijangka tiba di tanah air kira-kira jam 6 petang hari ini.
"Kak Tun pun tak tahu berapa lama Kak Tuan akan berada di sana (Queenstown) nanti. Semuanya bergantung kepada keadaan diri Khalid. Apapun, Kak Tun harap ramai yang akan doakan yang terbaik untuk adik Kak Tun itu," katanya.
Sementara itu, Zaiton turut memberitahu bahawa ramai peminat di Banjarmasin yang kecewa apabila mendapat tahu bahawa Siti terpaksa membatalkan konsertnya di wilayah itu.
Konsert di Banjarmasin adalah konsert Ekspresi Karya Gemilang untuk siri yang ketiga. Ia turut dijayakan artis-artis Malaysia dan Indonesia yang lain seperti Rossa, Amy Search, Shila Amzah, Ungu, Armada, Inka Christie dan Titi DJ.sumber
0 comments:
Post a Comment