DUA wajah popular ini tidak pernah digandingkan dalam fotografi, drama atau filem sebelum ini. Awalnya, hero popular, Aaron Aziz dan pelakon seksi, Rozita Che Wan malu-malu, maklumlah kali pertama bertentang mata. Tapi, lama kelamaan mereka nampak serasi dan selesa bekerjasama. Seorang berstatus suami orang, seorang lagi berstatus ibu tunggal. Siapa kata, status suami atau ibu tunggal, tidak mampu pergi jauh dalam dunia persada seni tanah air? Nyata, Aaron dan Rozita dapat membuktikan, status bukan halangan untuk popular. Aaron, finalis Pelakon Lelaki TV Popular dan Pelakon Lelaki Filem Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, manakala Rozita dipilih kelompok lima popular dalam kategori Pelakon Wanita TV Popular.
Aaron juga antara artis yang diramal bakal diangkat sebagai Bintang Paling Popular, ABPBH 2011. Bagaimanapun, bukan mudah untuk mengecapi apa yang dimiliki hari ini. Mereka menyusuri perjalanan yang penuh berliku, sebelum mendapat tempat di hati peminat sebagai artis popular. Secara jujurnya, Aaron berkata, dia terlalu tertekan apabila ada yang meramalkannya bakal diangkat sebagai Bintang Paling Popular tahun ini. Terlalu besar harapan yang diberikan sehingga sukar untuk memikulnya. “Saya tidak meletakkan harapan tinggi, biarpun ramai yang meramalkan saya beroleh kemenangan besar tahun ini. Saya bimbang, saya tidak mampu memenuhi impian peminat.
Saya lebih selesa berada di kelompok lima popular setiap tahun, menang atau kalah, saya tidak memikirkannya. “Saya sedar impak filem Ombak Rindu terlalu kuat mencengkam, tetapi bebanannya juga terlalu besar. Ketakutan saya hari ini jika saya tidak mampu mempertahankan apa yang saya peroleh. Apapun, saya bersyukur jika saya menang, jika kecundang, saya tidak kecewa. Cuma mungkin, saya rasa terkilan kerana tidak dapat memenuhi impian peminat. Jadi, saya berharap peminat tidak terlalu mengharapkan kemenangan saya.” Anak kelahiran Singapura itu mengakui apa yang dimiliki hari ini adalah atas pengorbanannya.
Sebelum bergelar pelakon, dirinya pernah bekerja sebagai pengurus restoran yang menyediakan pelbagai perkhidmatan. Bagaimanapun, gaji hanya cukup-cukup makan. “Di awal kemunculan sebagai pelakon di Singapura, saya masih belum mampu menarik nafas lega. Jika produksi Malaysia menyediakan makan untuk artis dan kru, berbeza pula dengan produksi Singapura ketika itu, makan tidak disediakan. Apabila tiba waktu makan, produksi akan berhenti dan pandai-pandailah mencari makan. Ada masa saya terpaksa ikat perut sebab tidak berduit. “Ketika saya mencari rezeki di Malaysia, isteri, Diyanah Halik dan anak sulung, Danish Anaqi terpaksa ditinggalkan di Singapura. Orang tidak tahu ada masanya saya menumpang tidur di rumah kawan, ada ketika saya tidur dalam kereta. Saya selalu menumpang mandi di stesen minyak dan hanya bersiap dalam kereta. “Duit belanja untuk isteri dan anak tidak seberapa ditinggalkan. Isteri kena berjimat cermat ketika itu.
Lagipun bayaran diterima dalam Ringgit Malaysia, apabila ditukar kepada dollar Singapura, jadi sedikit. “Bagaimanapun, berkat kesabaran saya dan isteri, akhirnya kehadiran saya mula diterima. Saya masih ingat drama Emil Emelda menaikkan nama saya sehingga diterima hari ini. Saya terhutang budi pada produser, Datuk Yusof Haslam dan Erma Fatima, mereka adalah insan yang memberi ruang mengembangkan bakat saya di Malaysia. Inilah dinamakan bersusah-susah dulu, bersenang kemudian,” katanya yang baru saja menandatangani kontrak sebagai artis naungan Astro selama dua tahun dengan dengan pilihan menyambung setahun lagi.
Turut bersama dipelawa menjadi artis kontrak Astro ialah Zizan Razak dan Johan, pada awal Mac lalu. Aaron yang terlebih dulu mencipta nama dan pernah memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Pesta Perdana Singapura dan Personaliti Paling Popular Singapura pada 2003, 2004 dan 2005, bagaimanapun terkejut dengan berita mengenai dirinya semakin demand. Dia menafikan dirinya meletakkan harga tidak masuk akal selepas dua filemnya, KL Gangster dan Ombak Rindu mendapat kutipan box-office. “Saya terkejut apabila tersebar cerita kononnya saya letak harga RM10,000 untuk satu episod drama. Tidak logik saya meminta harga setinggi itu.
Saya tidak pernah demand, bayaran untuk saya masih sama. Saya kena fikir, saya mahu bekerjasama dengan produser untuk jangka masa panjang. Kalau hari ini, saya letak harga setinggi itu, sudah tentu produser serik nak ambil saya berlakon lagi. Lambat laun, saya rugi, saya tidak mendapat karya yang bagus,” kata bapa kepada tiga cahaya mata yang mengimpikan membuka yayasan untuk membela nasib insan tidak bernasib baik. Bukan mudah jaga anak remaja' BAGI Rozita Che Wan atau lebih mesra dengan panggilan Che Ta pula terpukul dengan kisah anaknya, Aniq Ezzra, 14, yang merajuk dan melarikan diri dari rumah. Malu pun ada mengenangkan kejadian berkenaan, tapi anaknya, Aniq hanya merajuk seketika. Menghilangkan diri pun hanya beberapa jam saja.
Apabila ditanya adakah anaknya merajuk dek khabar angin mengatakan dia bakal berkahwin dengan ahli perniagaan ternama bergelar Datuk Sri? Che Ta hanya tersenyum, lantas menjawab: “Saya tak kenal pun ahli perniagaan itu, saya tidak pernah berjumpa, jauh sekali bertentang mata dengannya. Saya tidak kecil hati, saya sudah biasa kena gosip dengan Datuk itu, Tan Sri ini, sedangkan hakikatnya, saya tak kenal pun siapa mereka. “Sebab itulah, saya jarang bergandingan dengan artis lelaki apabila sesi fotografi. Saya takut kena gosip bukan-bukan. Dengan Aaron pun, saya takut, tapi saya lega apabila isterinya ada bersama ketika fotografi. Saya sudah muak dengan cakap-cakap orang, cukup-cukuplah dengan gosip yang lalu. “Anak saya merajuk dan melarikan diri, hanya kerana kes kecil.
Tidak dinafikan, saya ada meninggi suara menyuruhnya pergi menggunting rambut berdekatan rumah. Saya malas mahu menemaninya. Secara kebetulan, malam itu saya sudah berjanji membawa Aniq dan abangnya, Ammar Effendy, 16, keluar makan bersama Zain Saidin. Abangnya duduk di asrama dan keesokannya akan dihantar pulang, jadi saya ingat mahu meluangkan masa dengan mereka. “Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila Aniq tidak pulang hingga malam.
Apabila menjenguk ke salun berhampiran, Aniq tiada. Saya mula gusar, saya bersama Zain mencarinya merata-rata. Kami menghubungi kawan-kawannya, tapi mereka juga tidak bertemu Aniq. Apabila sudah tidak tentu arah, saya buat laporan polis. “Tidak lama kemudian, kawan-kawannya memberitahu ternampak Aniq di rumah seorang kawan mereka. Saya terus pergi dan polis juga sampai sejurus kemudian. Saya mula sedar bukan mudah nak jaga anak remaja. Sebagai ibu, saya mahu menjadi kawan mereka. Kita tidak boleh berkasar atau memarahi mereka sebarangan lagi. Kalau mahu memarahi mereka, ada caranya,” katanya. Bercerita mengenai buah hati terbarunya, Zain Saidin, Che Ta berkata, dia sayangkan Zain sebagai kawan. Bagaimanapun, belum terbit perasaan cinta padanya, biarpun hubungan mereka rapat. “Saya tengok Zain lurus dan baik orangnya.
Dia juga sangat rapat dengan anak-anak saya sehingga adik beradik saya menggelarnya `kawan anak saya’. Zain pandai mengambil hati anak-anak saya sehinggakan banyak aktiviti dilakukan bersama. Zain lagi rapat dengan anak-anak berbanding saya. “Hubungan kami akrab sebagai kawan. Bagi saya, dia terlalu muda buat saya yang berusia 39 tahun ini. Jadi, ada baiknya saya berkawan baik dengannya tanpa membabitkan perasaan cinta. Jarak usia saya dengan Zain jauh iaitu 12 tahun. Zain kini berusia 27 tahun. Saya lihat Zain masih ada sifat kebudak-budakan, apatah lagi ketika bersama anak-anak saya. “Tidak dinafikan, saya mencari seorang lelaki yang menyayangi saya dan anak-anak.
Diakui ada lelaki yang hanya mahukan saya, tetapi anak-anak saya ditolak ketepi. Mana mungkin saya hidup tanpa anak-anak? Walaupun Zain ada ciri-ciri lelaki pilihan, tapi saya tidak fikir dia sesuai untuk saya. Usia kami jauh, saya fikir bila usia mencecah 50 tahun, saya kelihatan tua sedangkan Zain masih muda. Saya tidak berani ambil risiko, kalau boleh saya mahu sehidup semati dengan bakal suami. Saya tidak mahu lagi melalui kehancuran dalam berumah tangga. “Bagaimanapun, kita juga kena percaya pada jodoh. Jika ditakdirkan Zain jodoh saya, kenalah terima, tetapi saya kena banyak mengalah. Apapun, saya selesa dengan Zain,” katanya jujur.
Che Ta juga mengakui Zain, antara teman rapatnya yang istimewa. Dia sering melakukan kejutan. Terbaru, pada hari jadinya ke-39, Zain melakukan `surprise party’ di restoran makanan segera pada 9 Mac lalu. “Saya sebenarnya tidak suka meraikan hari jadi. Saya tidak sanggup melihat angka yang ditulis di atas kek. Angka makin meningkat. Pada malam itu, Zain beriya-iya mengajak saya keluar, saya bagi seribu satu alasan, tetapi dia tetap mengajaknya. Secara kebetulan, pada malam itu, drama terbaru, Bunga Bunga Syurga baru nak disiarkan episod pertama. “Zain sanggup menunggu sehingga jam 10 malam untuk membawa saya keluar. Apabila tiba di restoran berkenaan, saya dikejutkan dengan kek hari jadi bersama kenalan rapat. Saya terharu kerana jarang meraikan hari jadi,” katanya. .sumber
0 comments:
Post a Comment