Pada mulanya, dia berhasrat menawarkan watak ‘playboy’ kepada aktor popular itu. Namun, melihat kejayaan filem KL Gangster yang mengutip RM11 juta, Julian percaya peranan sebagai gangster bernama Iskandar mampu menarik penonton ke pawagam.
“Saya senang bekerja bersama Aaron dan Jehan. Mereka pelakon profesional, fleksibel dan sentiasa bersedia di lokasi. Pada masa sama, mereka menghayati watak diberi dengan baik.
“Saya tidak menghadapi kesukaran bekerja dengan mereka. Kami tidak perlu berlatih lama-lama. Berlatih di set saja sudah memadai. Malah saya sangat berpuas hati melihat hasil kerja Aaron dan Jehan selepas menonton produk akhir. Apa yang boleh saya katakan, penampilan mereka jauh lebih baik dari yang saya jangkakan,” katanya.
Bakal ditayangkan di Kanada, United Kingdom dan Eropah
Julian juga sanggup berbelanja besar apabila turut mengundang pelakon Hollywood, Michael Madsen serta model dari Amerika Syarikat (AS), Tara Wallace membintangi filem terbitannya.
Julian berkata, dia akan memastikan setiap filem terbitannya menampilkan pelakon antarabangsa. Biarpun mengakui terpaksa berbelanja besar, namun ia adalah strategi untuk menembusi pasaran filem luar negara.
Malah Prince of the City sudah menandatangani kontrak selama tujuh tahun dengan pengedar dari AS, Acort International LLC untuk dipasarkan ke Kanada, United Kingdom (UK), Eropah dan Timur Tengah. sumber
“Bagi saya, apabila filem tempatan menampilkan bintang popular dari Hollywood, masyarakat lebih yakin dengan filem itu. Setidak-tidaknya, mereka melihat kesungguhan kami untuk memajukan filem tempatan,” katanya.
Julian berkata, dia yakin penampilan Madsen mampu menarik penonton ke pawagam.
“Lazimnya, apabila sesebuah filem mula ditayangkan, penonton tidak akan bertanya jalan ceritanya. Tetapi mereka ingin tahu siapa yang berlakon dalam filem itu. Jadi saya yakin penampilan Madsen akan menarik penonton ke pawagam,” katanya.
Berlakon bersama Madsen sudah lama diimpikan Julian. Dia mengakui meminati aktor itu terutama apabila melihat penampilannya dalam filem Species. Baginya, tiada pelakon yang sesuai membawakan watak aksi selain Madsen. Malah, ketika pengarah filem itu, Roslan Husin mencadangkan dia mengundang Kiefer Sutherland, Julian keberatan kerana lebih menggemari lakonan Madsen.
Prince Of The City mengisahkan Putera Amara (Julian Cheah) yang berketurunan Portugis dibesarkan oleh seorang jutawan Sarawak. Dia diperangkap anak kandung jutawan itu sendiri, Putera Sibuyan (Jehan Miskin) atas tuduhan membunuh ayahnya dan seorang wanita Amerika Syarikat yang jelita bernama Adele (Tara Wallace).
Putera Amara kemudian terpaksa melarikan diri ke luar negara dan bertemu dengan gangster dari New York, Ben Carlton (lakonan Madsen). Ben menawar diri kepada Amara untuk membalas dendam dan merampas kuasa dari Sibuyan.
0 comments:
Post a Comment