Kota Bharu: “Sepatutnya destinasi berbulan madu menjadi keutamaan, namun kami terpaksa korbankan bulan madu demi kejayaan sukan bola sepak Kelantan dan Malaysia,” kata Nur Eilunie Natasha Jaafar, 21, isteri penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.
Nur Eilunie Natasha atau Leuniey, akur dengan keadaan itu, perlu banyak berkorban demi kerjaya suaminya, yang lebih dikenali dengan nama Apek.
Katanya, buat masa sekarang soal berbulan madu perlu diletakkan ke tepi kerana suaminya terpaksa melalui musim baru Liga Malaysia yang dilihat lebih mencabar.
“Saya tidak kisah, berbulan madu ke apa, semuanya akan diletakkan di belakang dulu, yang penting saya perlu fokus kepada kerjaya Apek kerana masuk tahun baru...bermakna saya kena banyak ‘berpisah’ dengannya, selain bermulanya tugas berat kepada suami.
Fokus pada perlawanan
“Banyak perlawanan terpaksa ditempuhi Apek sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan dan peranan saya sebagai isteri, menjadi penyokong setia bagi memastikan beliau berjaya.
“Kejayaan Khairul Fahmi bukan untuk saya seorang malah untuk negeri dan negara,” katanya pada majlis resepsi perkahwinan mereka di sebuah hotel, malam kelmarin.
Lebih 1,000 tetamu hadir termasuk Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman; Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapa dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Zainuddin Ibrahim.
Leuniey selamat diijabkabulkan dengan Apek, Jumaat lalu di kediamannya di Pasir Pekan, selepas bercinta sejak 10 bulan lalu.
Sementara itu, Apek menjelaskan dia belum berbincang mengenai destinasi bulan madu kerana terpaksa memberi komitmen tinggi terhadap musim baru bola sepak.
“Kita belum membuat sebarang perbincangan mengenai tempat untuk berbulan madu kerana terpaksa memberi fokus kepada bola sepak,” katanya.
0 comments:
Post a Comment