Monday, 7 January 2013

Filled Under:

"TOLONG TEGUR SAYA" Emma Maembong




Daripada dunia seni lukis, Emma Maembong, 21, beralih ke arena seni lakon. Percubaannya menjadi, bahkan dalam tempoh sesingkat enam bulan, dia berjaya menawan hati ramai.
Dia antara pendatang baru paling menonjol, bahkan ramai pemerhati berpendapat dia ada pesona untuk muncul sebagai heroin pelapis. Meskipun sedar dirinya jadi perhatian, si jelita ini tidak sedikitpun bermegah, sebaliknya selesa mengekalkan sikap merendah diri.
Ketika dimaklumkan dirinya terpilih sebagai pembuka tirai penghias kulit muka depan SELEBRITI 2013 berikutan populariti singkatnya, Emma dengan rendah hati menjelaskan, kembara hidupnya sejak enam bulan lalu langsung tidak terduga.

“Jujur, saya masih terkejut. Tak sangka secepat ini orang kenal saya. Kalau ikut perkiraan saya, mungkin dikenali tiga atau empat tahun lagi, tetapi sebaliknya pula yang berlaku.


Foto
Emma Maembong

“Syukur, mungkin ini yang dinamakan rezeki kerana baru menjayakan tiga drama. Tak sangka daripada suka-suka, saya jatuh cinta dengan kerjaya ini. Nampak gayanya saya sudah jumpa apa yang dicari selama ini,” katanya.

Emma juga menafikan kehadirannya untuk menggugat pelakon sedia ada kerana niatnya berkecimpung dalam bidang ini bukan untuk bersaing atau menandingi mana-mana teman artis yang terlebih dulu mencipta nama.

Sebagai pendatang baru, dia menghormati pelakon senior dan menganggap mereka sebagai mentor. Setakat ini dia tidak ada masalah menyesuaikan diri dengan mana-mana pelakon, bahkan sentiasa menjaga hubungan baik.

“Rasanya sepanjang enam bulan dalam bidang ini, saya tidak ada masalah dengan mana-mana artis. Saya jenis peramah dan mudah mesra. Di lokasi penggambaran, saya suka berborak dengan teman artis dan kru.

“Kalau jumpa artis veteran, saya lagi teruja. Macam-macam saya tanya dan mereka juga tak lokek berkongsi ilmu. Insya-Allah, saya akan cuba buat yang terbaik dan tidak menyakiti hati sesiapa.

“Kadangkala kita terlepas pandang, mungkin kata-kata atau tingkah laku kita melukakan hati orang lain. Andai itu berlaku, saya mohon maaf.

“Jika saya terlepas laku dan terkasar bahasa, tolong tegur saya. Saya tidak kisah ditegur dan akan betulkan kesilapan itu secepat mungkin,” katanya.

Nama Emma juga jadi sebutan kerana kontroversi. Akuinya, dia rasa sangat bersalah terhadap keluarga apabila kerjayanya terpalit dengan kisah kurang enak.

“Saya tidak sangka menjadi perhatian hingga ada pihak tergamak memuat naik gambar lama di Internet. Bagaimanapun, kejadian itu membuatkan saya lebih matang dan lebih berhati-hati pada masa depan.

“Saya minta maaf pada semua anggota keluarga. Dalam masa sama, saya rasa kecewa dengan diri sendiri. Biarpun keluarga marah, mereka bagi kata-kata semangat pada saya. Mereka tahu saya macam mana dan minta lebih berjaga-jaga selepas ini.

“Semua itu kesilapan lalu dan saya tak nak kenang lagi. Saya sudah jelaskan di laman sosial dan peminat faham keadaan saya. Insya-Allah, pada usia sekarang saya boleh berfikir dan tahu nilai mana baik mana buruk,” katanya.

Mengenai teman lelaki, Emma akui lebih selesa bersikap jujur. Daripada awal, dia tidak pernah merahsiakan hatinya dimiliki. Baginya, lebih baik berterus-terang bagi mengelakkan timbulnya kontroversi kemudian hari.

“Saya tak suka berahsia sebab esok lusa orang akan tahu juga. Daripada timbul isu, baik saya berterus-terang. Kekasih saya bernama Adly Azeem dan dia tua setahun daripada saya. Sudah dua tahun kami bercinta dan buat masa ini kami belum ada apa-apa perancangan.

“Hubungan kami direstui keluarga dan kami percaya andai ada jodoh, tak ke mana. Saya tak nak naik kerana kontroversi dan sebab itu selagi boleh elak, saya elak. Saya tak nak ada masalah. Saya mahu harungi kerjaya dengan tenang,” ka­ta­nya.


Tidak mahu terburu-buru berlakon filem

Untuk 2013, Emma tidak mahu terburu-buru mengejar tawaran, sebaliknya lebih selesa mengambil pendekatan berhati-hati. Sedar dirinya masih hijau, banyak perkara perlu dipelajari jika mahu dikenali sebagai pelakon bertahan lama.

Bakal menyambut ulang tahun ke-21 pada 27 Mac depan, Emma mengakui masih dalam proses menyesuaikan diri dan berusaha keras memperbaiki apa yang patut, terutama aspek ketepatan masa serta disiplin.

“Ketepatan masa dan disiplin sangat penting. Saya memang susah sikit bangun awal pagi tetapi sejak berlakon, kena belajar ubah tabiat itu. Kehadiran pengurus, Marina Juki banyak membantu.

“Sebelum ini saya biasa lihat cara kerja abang dan kakak. Sedikit sebanyak saya faham apa perlu dilakukan tetapi bila urus diri sendiri, kelam kabut jadinya.

“Dengan adanya pengurus, jadual saya lebih terancang dan sistematik. Tidaklah pening kepala nak susun sana sini.

“Saya tidak mahu naik mendadak. Saya juga tidak mahu terlalu kerap muncul di kaca TV, nanti orang bosan. Biar kerjaya saya bergerak secara sederhana, namun ada peningkatan dari semasa ke semasa. Itu lebih selamat. 

“Tawaran filem memang ada, tetapi belum ada hitam putih. Sebelum bagi kata putus, saya perlu pertimbangkan betul-betul kerana saya hanya akan muncul di layar perak jika rasa diri benar-benar bersedia.

“Saya tidak mahu tangkap muat atau jadi pelengkap cerita semata-mata. Kalau boleh, biar persembahan saya meninggalkan kesan dan diingati penonton,” katanya yang kini terikat dengan penggambaran drama 13 episod, Tiga Minit Tiga Dara untuk RTM.

Mengenai minatnya terhadap seni lukis, Emma berkata, dia masih setia dengan aktiviti itu dan tidak mungkin meninggalkannya kerana ia sebati dengan dirinya sejak kecil.

Meskipun sibuk dengan rutin sebagai pelakon, andai ada masa lapang di lokasi penggambaran, dia akan melukis. Tambahan pula pada 30 Januari hingga 3 Februari depan, bapanya akan mengadakan pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan dia mahu turut serta mempamerkan karya seninya.

“Saya dan Yaya mewarisi bakat ayah. Saya melukis sejak di sekolah rendah, malah koleksi lukisan saya dan Yaya dipamerkan bersama koleksi ayah. Saya harap dapat siapkan beberapa lukisan sebelum pameran ayah berlangsung.

“Ayah kata, kalau tak sempat jangan paksa diri, tapi saya tetap cari ruang untuk pastikan ada beberapa koleksi dalam pameran itu nanti. Sedihlah kalau tak dapat turut serta,” katanya.


Trivia:
  • Nama sebenar: Fatimah Rohani Ismail
  • Dilahirkan di Kuala Lumpur pada 27 Mac 1992 
  • Anak kesembilan daripada 11 beradik
  • Berdarah kacukan Melayu-Scotland 
  • Anak pelukis tersohor negara, Ismail Embong
  • Abangnya Bakri jadi pemuzik, kakak, Yaya serta adik, Chacha berlakon
  • Drama: Facebook Ustazah Shamsiah, Kau Yang Terindah, Cinta Itu Milikku.
  • SUMBER




  • 0 comments:

    Post a Comment

    Nuffnang Ads

    Followers