Zarina merasa masuk penjara
BUKAN kali pertama Zarina Anjoulie Lavocah dikaitkan dengan dadah. Pada tahun 2010 dia pernah ditahan dalam satu operasi oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Sepang, bagaimanapun ujian air kencingnya menunjukkan dia negatif daripada pengaruh dadah.
Sepi seketika kemudian muncul pula dengan kontroversi dibayar untuk beraksi separuh panas dalam sebuah majalah di Indonesia, sepanjang minggu pelakon itu muncul semula dengan kes dadah terbaharunya.
Sudahlah ditangkap bersama temannya Mohamad Fakhruzaim atas dakwaan memiliki dua biji pil Eramin 5 pada 30 Disember lalu, Zarina yang mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Rabu lalu tidak dijamin oleh mana-mana ahli keluarganya sehingga pukul 4 petang. Hasil kegagalan itu, dia terpaksa diheret ke Kompleks Penjara Kajang, Selangor.
Nasib teman lelakinya tidaklah semalang Zarina kerana dijamin oleh abangnya. Sebelum itu pelakon yang masih bergelar pelajar sebuah kolej swasta itu telah direman selama tiga hari di lokap polis.
Sempat merasa masuk penjara yang sebenar, Jumaat lalu pelakon yang pernah membintangi drama Anak Pontianak itu bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin oleh adik perempuan tirinya sebanyak RM2,000. Zarina, 27, yang berbaju kelabu dan berseluar merah jambu, dijamin kira-kira pukul 10 pagi (Jumaat) di bilik jamin Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.
Kes itu akan disebut semula 8 Februari nanti. Dakwaan ke atas Zarina dan rakannya dikemukakan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Zarina yang dihubungi Sensasi Bintang bagaimanapun tidak sempat untuk berbual panjang kerana keletihan dan kehabisan bateri telefon.
"Betul saya ditahan, kena dua malam dalam penjara dan lega sekarang dibebaskan. Maaf saya tak dapat berbual panjang, telefon saya kehabisan bateri," katanya dalam nada biasa.
Sementara itu, Presiden Persatuan Seniman, Zed Zaidi telah mengeluarkan kenyataan bahawa artis wanita tersebut berkemungkinan dipecat sebagai ahli Seniman sekiranya dia didapati bersalah dalam hal ini.
"Kita tidak mahu artis yang terlibat dalam kontroversi menjejaskan nama baik artis lain. Dalam kes Zarina, buat sementara ini kita akan gantung keahliannya kerana mahkamah belum lagi membuat keputusan."
"Sekiranya mahkamah mendapati dia bersalah, Seniman akan memecatnya daripada menjadi ahli," ujar Zed Zaidi.
Mengulas lebih lanjut mengenai isu ini, Zed Zaidi turut memaklumkan bahwa mana-mana artis yang telah dipecat sebagai ahli Seniman, secara automatik akan turut dibuang daripada senarai Finas.
"Ini adalah syarat yang tertakluk dalam Padu Citra yang mewajibkan pelakon menyertai persatuan yang diiktiraf Finas."
"Jika masih ada produksi yang mengambilnya berlakon, kita boleh ambil tindakan," tegas Zed Zaidi.
Artikel Penuh:
Hakcipta terpelihara
0 comments:
Post a Comment