Friday, 8 March 2013
Filled Under:
tak masuk akal
PELIK!! KELAS YOGA KHAS UNTUK ANJING SAJA !
Posted By:
zamri spoon
on 09:00
Di daerah Sheung Wan, setiap pagi Sabtu, pemilik anjing akan mengurut anjing mereka terlebih dulu sebelum ‘melenturkan’ badan haiwan peliharaan kepada postur seperti ular tedung dengan kaki belakang diluruskan ke depan sambil diperdengarkan alunan muzik yang lembut.
“Jika anda mahu menenangkan anjing anda, usap badannya iaitu di tepi tulang belakang sama ada di sebelah kiri atau kanan, kemudian di tulang rusuk dan perut,” kata Suzette, guru yoga dan tarian Afrika Selatan yang memulakan sesi yoga setahun lalu.
Anjingnya, Snowball yang berusia tujuh tahun menemani Suzette sepanjang kelas.
Menurutnya, anjingnya itulah yang menjadi sumber inspirasinya. Melalui kelas yoga, anjingnya yang buta sebelah mata dan berbulu putih kini dianggap ‘selebriti tempatan’ dan dikenali ramai selepas kerap muncul di kaca televisyen.
“Snowball macam Buddha Zen. Dia boleh buat macam-macam gaya, dia tidak kisah dan inilah yang diperlukan dalam yoga, tiada ego dan tidak menunjuk-nunjuk.
“Apabila saya berlatih yoga di rumah, dia akan duduk di sebelah dan cuba ikut gerak saya. Anda boleh baringkan dia untuk postur shavasna (gaya baring mayat) dan dia akan diam dalam posisi begitu,” katanya.
Walaupun Suzette dan Snowball sudah bertahun-tahun berlatih yoga bersama-sama di rumah tetapi ilham mengadakan kelas yoga untuk anjing atau ‘doga’ dicetuskan pelatih anjing dari Jepun yang mengajar di Pawatte iaitu ‘butik mewah, salun dan spa anjing’ yang turut menganjurkan kelas bersamanya.
Kelas doga sudah lama bertapak di Jepun dan Amerika Syarikat yang guru yoga seperti Suzi Teitelman dan Amy Stevens mengeluarkan cakera video digital (DVD) doga. Bagaimanapun, Suzette mempunyai caranya sendiri untuk disampaikan dalam kelas.
“Saya berfikir sebagai pemilik anjing dan untuk datang ke kelas yoga seperti ini, mereka mestilah betul-betul sayangkan anjing. Ini kerana mereka perlu mengeluarkan wang untuk membentuk ikatan dengan haiwan peliharaan mereka,” katanya.
Tidak mudah sebenarnya untuk mengendalikan kelas doga. Sesi yoga sering tergang–gu apabila anjing berkelahi, menyalak dengan kuat atau berlari ke sudut kelas. Salah seekor anjing yang kerap menimbulkan kekecohan ialah Kopi, anjing kacukan Yorkshire terrier/Pomeranian yang lebih suka berlari dalam kelas seolah-olah berada di padang daripada berlatih yoga.
Namun anjing lain menunjukkan kecenderungan untuk belajar dan mengambil bahagian, berbaring dengan tenang sambil tangan dan kaki digerakkan ke pelbagai arah oleh pemilik masing-masing yang duduk dalam posisi yoga. Malah tuan dan anjing boleh baring bersama-sama untuk posisi meregangkan tulang belakang.
Bagi postur berdiri seperti pahlawan, pemilik akan memegang anjing dengan satu tangan. Lebih kecil saiz anjing, lebih mudah, kata Suzette yang menyasarkan kelasnya untuk anjing kecil yang banyak dan popular di Hong Kong seperti poodles, corgis, Yorkshire terriers, chihuahuas dan dachshunds.
Untuk gaya lain, anjing akan ‘didudukkan’ di atas badan tuannya. Contohnya gaya ‘kucing-lembu’ iaitu tuan akan berada dalam kedudukan seperti kucing (belakang badan mengadap ke atas) kemudian meregangkan tulang belakang (dengan menolak belakang badan ke atas) dan membengkokkan tulang belakang ke bawah.
Ketika melakukan pergerakan ini, anjing akan duduk di atas belakang badan tuannya, itu pun jika ia mahu duduk diam.
“Letakkan perut anjing di belakang badan, ia akan jadi urutan perut dua dalam satu. Tarik nafas, hembus. Tarik, hembus,” Suzette memberi arahan kepada pelajarnya iaitu manusia dan anjing.
Sesetengah ‘pelajarnya’ me–nyalak patuh apabila Suzette menamatkan kelas dengan berkata: “Mari kita sama-sama sebut Namaste.” Malah pemilik Kopi, pekerja syarikat kimia dari Malaysia, Pauline Kang berkata, anjingnya itu kelihatan lebih tenang berbanding ketika mula menghadiri kelas.
“Dulu ia memang tidak boleh duduk diam, berlari dan melompat ke sana sini.
Tetapi kini ada banyak perubahan,” katanya.
Menurut Suzette, selain boleh menenangkan, doga juga bermanfaat untuk anjing yang ada masalah pinggul dan lutut. Malah ia boleh membantu mengatasi masalah asma - salah seekor anjing datang ke kelas bersama alat inhaler sendiri.
“Anjing berbadan panjang lebih mudah berlatih yoga kerana ia boleh meregangkan badannya. Bagaimanapun, bukan semua gaya boleh dilakukan, jadi saya hanya ajar yang asas saja,” katanya yang mendapatkan khidmat nasihat pakar akupuntur anjing dan mengambil kelas mengurut anjing sebelum memulakan kelas berkenaan.
Atas nasihat abangnya, seorang penulis, Suzette kini menulis buku mengenai Snowball dan doga - buku cerita kanak-kanak dengan ilustrasi postur asas doga yang boleh dijadikan panduan untuk dilakukan di rumah.
Walaupun sambutan kelas doga agak menggalakkan tetapi dia masih tiada rancangan untuk membuka kelasnya kepada haiwan lain tetapi memberi pertimbangan kepada kucing.
“Memang ada yang tidak percaya saya adakan kelas yoga untuk anjing. Sebenarnya tuan anjing yang lebih banyak melakukan yoga tetapi mereka diajar untuk mengurut dan meregangkan otot haiwan peliharaan yang saya fikir boleh menenangkan anjing.
“Bunyinya agak kelakar tetapi yang nyata, kelas yoga ini memang menyeronokkan!” katanya.sumber
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Ok, I pun tak penah nak buat yoga ni anjing pun ade center die sendiri. Anyw, dalam banyak2 gambar, gambar last tu je baru nampak anjing tu macam beryoga. Yang lain semua tuan die je. Hikhik!
ReplyDelete