JOHANNESBURG - Kematian bekas pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela telah menyatukan para pemimpin dunia yang menyampaikan ucapan takziah dan memperingatinya sebagai pemimpin hebat yang menentang dasar mementingkan penduduk kulit putih di negaranya.
Para pemimpin dunia termasuk dari Israel, Palestin, China, Amerika Syarikat Iran, United Kingdom dan Rusia menyampaikan ucapan takziah selepas Mandela yang dianggap sebagai pemimpin legenda yang menentang dasar aparteid meninggal dunia malam kelmarin.
Pemerintah Britain, Ratu Elizabeth II dan dua anakandanya, Putera Charles serta Puteri Anne turut mengucapkan takziah selepas Mandela meninggal dunia di rumahnya di sini.
Presiden Afrika, Jacob Zuma mengumumkan kematian Mandela menerusi televisyen.
Menurut Zuma, beberapa anggota keluarga bekas Presiden Afrika Selatan itu berada di sampingnya semasa beliau meninggal dunia.
"Negara kita telah kehilangan seorang anak watan yang paling hebat," kata Zuma.
Mandela meninggal dunia pada usianya 95 tahun selepas beliau sakit kerana jangkitan paru-paru selama lima bulan.
Zuma berkata, jenazah Mandela akan dikebumikan pada 15 Disember depan di Qunu yang merupakan bandar kelahirannya.
Majlis bagi menghormati kematiannya akan diadakan di sebuah stadium di sini pada 10 Disember ini.
SEORANG wanita berdoa di depan jambangan bunga yang diletakkan bagi memperingati kematian Mandela di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Afrika Selatan di Trafalgar Square, tengah London semalam. |
Beberapa jam selepas kematiannya diumumkan, sebuah kenderaan berwarna hitam yang membawa keranda yang mengandungi mayat Mandela ditutup dengan bendera Afrika Selatan meninggalkan rumahnya pada waktu tengah malam dengan diiringi anggota-anggota tentera bermotosikal.
Jenazahnya itu dihantar ke sebuah rumah mayat tentera di Pretoria.
Mandela dipenjarakan selama 27 tahun kerana perjuangannya menentang dasar aparteid di negaranya sendiri.
Dia dipenjarakan oleh regim kulit putih yang memerintah negara tersebut.
Beliau dibebaskan dari penjara pada 11 Februari 1990 oleh Presiden Afrika Selatan ketika itu, Frederik Willem de Klerk selepas menerima tekanan kuat daripada masyarakat antarabangsa berhubung dasar kerajaannya yang mementingkan penduduk kulit putih berbanding penduduk kulit hitam.
Mandela kemudian menjadi Presiden Afrika Selatan kulit hitam yang pertama pada tahun 1994 hingga 1999.
Di bandar kelahiran Mandela di Qunu, sejumlah saudaranya saling menenangkan diri masing-masing selepas mereka berasa sedih ekoran kematian Mandela.
Mandela pernah berkahwin sebanyak tiga kali dan mempunyai enam orang anak. Tiga daripada enam orang anaknya itu masih hidup.
Presiden Rusia, Vladimir Putin memuji Mandela sebagai seorang ahli politik yang terhebat dalam zaman moden.
Menurutnya, Mandela berjuang dengan penuh komited untuk menamatkan dasar aparteid.
Presiden AS, Barack Obama memuji Mandela sebagai pemimpin yang meninggalkan legasi keamanan untuk negaranya.
Obama sebak ketika beliau berucap semasa memberikan kenyataan berhubung kematian Mandela.
Pemimpin Palestin yang dipenjarakan di Israel, Marwan Barghuti berkata, perjuangan Mandela membebaskan negaranya daripada cengkaman dasar aparteid telah memberikan ilham kepada penduduk Palestin untuk berjuang membebaskan negara mereka daripada pendudukan regim Zionis.
Presiden Israel, Shimon Peres dan Perdana Menterim Benjamin Netanyahu turut menghargai sumbangan Mandela dengan menyatakan beliau sebagai seorang yang menjuarai perjuangan keamanan walaupun bekas pemimpin Afrika Selatan tersebut turut memperjuangkan isu Palestin.
Perdana Menteri Britain, David Cameron menyifatkan Mandela sebagai satu cahaya yang hebat telah padam.
Sejumlah orang turut meletakkan bunga di patung Mandela di luar bangunan Parlimen di London.
"Ia sesuatu yang amat mengagumkan apabila seorang individu (Mandela) telah melakukan banyak perubahan," kata seorang penduduk di London, Joan Foster. - Agensi
0 comments:
Post a Comment