Saturday, 12 April 2014

Filled Under:

Keunikan Bandar Raya Bertemakan ALADDIN Bakal Dibina di Dubai.

PEMANDANGAN menara bandar raya Aladdin yang dilakar artis.

Dubai akan membina ‘Bandar raya Aladdin,’ projek yang diilhamkan daripada cerita Aladdin dan Sindbad.

Majlis Perbandaran Dubai dalam kenyataannya semalam berkata, projek itu mengandungi tiga menara, terdiri daripada ruang komersial dan hotel.

Jarak antara setiap menara ialah 450 meter dan ia akan dibina di Sungai Dubai.

Ia selaras dengan wawasan Naib Presiden dan Perdana Menteri Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang juga pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum.


Ketua Pengarah Majlis Perbandaran Dubai, Hussain Nasser Lootah, dalam kenyataan itu berkata: “Bandar Aladdin akan terletak di antara pelabuhan kapal komersial di Sungai Dubai di Al Regga hingga ke Dubai lama dan mengandungi tiga menara.


“Ia bertujuan membangunkan menara untuk dijadikan ikon legenda lampau dengan sentuhan bercirikan keindahan tarikan pelancong bandar itu. Ia tidak akan mengganggu kegiatan di pelabuhan berkenaan.”

Menurut Hussein, pembangunan projek seumpama itu akan memberi kesan kepada budaya dan sejarah global terhadap kawasan terbabit serta menjadi sumber kebanggaan generasi akan datang di samping menyumbang kemajuan kepada UAE.

Ia juga diramal akan membantu meningkatkan ekonomi Dubai dalam jangka panjang, khususnya menjelang Expo 2020.

Projek berkenaan akan mempunyai jambatan berhawa dingin dengan lantai bergerak bagi menghubungkan menara itu dengan jalan masuk serta keluar dan tempat letak kereta.

Menara itu pula akan menawarkan pemandangan ke arah sungai, bandar lama Dubai serta pembinaan moden, termasuk Burj Khalifa.

Bercakap mengenai reka bentuknya, Hussain berkata: “Seni bina serta kandungan projek berkenaan mengambil kira hubungan sejarah dan warisan kapal layar di sungai itu, menandakan perdagangan mengguna kapal sudah wujud sejak abad ke-11 yang belayar ke pantai Afrika Timur, India dan China. Ia juga akan mengandungi mitos mengenai pelayar terkenal, Sindbad dan Aladdin.”

“Kerana itu, kandungan simbolik reka bentuk projek bangunannya diilhamkan daripada cerita dan warisan lampau, termasuk cerita mengenai bangunan dan istana yang mempunyai kubah berbentuk agak ganjil, tergantung di udara.

Bentuk jambatan yang akan menghubungkan bangunan itu mewakili kehidupan marin eksotik, seperti naga dan ular.

Tiga menara itu akan mempunyai kawasan binaan seluas 110,000 meter persegi dengan menara paling tinggi mempunyai 34 tingkat.

Dua menara lain pula akan mempunyai 26 dan 25 tingkat sementara 900 ruang letak kereta akan disediakan.

LOKASI bandar raya Aladdin akan dibina (dalam bulatan merah).

PEMANDANGAN dari atas apabila projek itu siap kelak.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut mengenai kos projek berkenaan.

Bandar raya Aladdin itu adalah projek terbaru Dubai yang bertemakan pelancongan. Sebelum ini, majlis mengumumkan rancangan membina projek seumpama itu, termasuk Taman Safari Dubai, Taman Buaya dan Taman Al-Quran.

Projek yang dalam pembinaan sekarang termasuk, taman Bunga dan Miniatur, Perpustakaan Mohammad Bin Rashid Library di atas sungai dan Pusat Seni Al Quoz.h.metro




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers