Wednesday, 6 January 2016

Filled Under:

Cerita Seram Tentang Dendam Mayat Hangus.



Bekerja sebagai seorang pemandu teksi memang banyak risikonya. Terutama jika terpaksa mengambil penumpang pada waktu malam. Akhir-akhir ini, banyak kes-kes jenayah yang melibatkan pemandu teksi. Samada sebagai mangsa atau pemangsa. Begitulah yang terjadi kepada seorang kawan aku bernama Sadiq. Dia baru sebulan jadi pemandu teksi. Tapi pengalaman yang dilaluinya bukan saja tragis, malah diselubungi misteri. Manakan tidak, teksi yang dipandunya tiba-tiba terbakar sebelum terjunam beberapa belas meter ke dalam gaung di kawasan Bukit Langat. 

Hari ini Sadiq terlantar di Hospital Ampang Puteri dengan kecederaan parah di seluruh badan. Sebahagian tubuhnya melecur teruk akibat terbakar. Kecut perut aku melihat keadaan fizikal Sadiq yang sebegitu rupa. Sadiq sudah sedar sewaktu aku menziarahinya di wad. Matanya terkelip-kelip memandang aku seakan ingin mengatakan sesuatu. Namun alat bantuan pernafasan yang menyerkup mulutnya menghalang komunikasi antara kami. Bahasa tubuhnya tak dapat aku fahami. Di satu sudut, ibu Sadiq sedang teresak-esak menangis sambil cuba ditenteramkan oleh ayahnya. Manakala Khalil, adik lelaki Sadiq yang berumur 19 tahun kelihatan murung merenung jauh ke luar tingkap. Aku difahamkan, adiknya ada bersama sewaktu kemalangan yang hampir meragut nyawa mereka tu. Hairannya, dia langsung tidak mengalami sebarang kecederaan serius. 

Aku mendekati Khalil untuk mendapatkan maklumat lebih jelas berkenaan kejadian yang berlaku. Khalilpun mula bercerita;

Malam tu abang Sadiq jemput saya pulang dari kolej macam biasa. Sewaktu dalam perjalanan balik ke Lembah Jaya Selatan, ada seorang perempuan muda menahan teksi abang Sadiq di sekitar Ampang City. Kulitnya agak gelap kehitaman. Pakaiannya nampak kotor. Wajahnya terselindung di sebalik tudung lusuh. Dia minta dihantar ke atas Bukit Langat sebab keretanya kehabisan minyak di sana. Tanpa berfikir panjang, abang Sadiq pun tumpangkan dia. Masa dia masuk dalam teksi, saya dah terasa macam ada yang tak kena dengan perempuan tu. Bau badan dia meloyakan tekak. Macam bau benda hangus pun ada. Tapi saya diamkan aje. 

Hujan lebat yang turun sejak petang menjadikan pergerakan kenderaan kurang lancar disamping jalan yang licin dan bengkang-bengkok. Mujur kenderaan tak berapa banyak waktu itu. Satu ketika, saya mula tercium bau minyak petrol. Saya memandang abang Sadiq. Kemudian menoleh ke arah perempuan itu melalui cermin pandang belakang. Hanya sorot matanya sahaja yang kelihatan. Hati saya dah mula rasa tak sedap.

“Petrol ni untuk isi dalam kereta… habis minyak kat atas bukit nu.” Kata perempuan tu tanpa ditanya.


“Masuk ni dah dua kali dah kereta Ina kehabisan minyak. Tempat yang sama pulak tu. Kali pertama tu Ina tahan teksi jugak untuk beli petrol. Masa hantar Ina balik ke kereta, pemandu teksi tu cuba buat benda tak elok pada Ina. Bila Ina melawan, dia mula berkasar. Dia lempang Ina dua kali. Rasa macam nak pengsan. Tak pernah Ina kena lempang sampai macam tu seumur hidup Ina. Lepas tu…” Kata-kata perempuan yang bahasakan dirinya Ina tu terhenti. Dia mula menangis teresak-esak.

“Lepas kena lempang, Ina terlalu lemah dan lemas untuk mempertahankan diri. Ina langsung tak berdaya. Sesak nafas dan rasa macam nak mati. Lepas tu Ina diseret…” Sekali lagi Ina diam. Saya makin rasa tak selesa. Macam ada sesuatu yang tak kena dengan Ina. Saya cuit peha abang Sadiq. Cuba menyatakan rasa kurang selesa saya dengan cerita Ina. Abang Sadiq rapatkan jari telunjuk ke mulut menyuruh saya diam. Kemudian mulut abang Sadiq nampak kumat-kamit macam baca sesuatu. Saya pandang cermin pandang belakang sekali lagi. Ina nampak gelisah. Matanya liar memerhati keluar. Saya turut memerhati keluar. Cuaca gelap dan hujan terus mencurah lebat. Selain kami, tak ada sesiapa yang melalui jalan itu. Saya tanya Ina samada dia ada buat laporan polis atau tidak. Dia geleng. Tak sempat katanya. Tapi dia cam pemandu teksi itu. Kata Ina, orangnya kurus tinggi dan berkulit hitam manis. Bermisai dan berambut keriting macam abang Sadiq.

“Nak tau apa berlaku lepas tu?” Tanya Ina satu ketika. Saya dan abang Sadiq saling berpandangan. Ina dah berhenti menangis. Saya menoleh seimbas dan nampak sorot mata ina yang tajam sambil tersenyum sinis. Berderau darah saya masa tu.

“Tak apalah Ina, kami bersimpati dengan apa yang terjadi pada Ina. Anggaplah semua tu ujian Tuhan. Lambat laun, pasti lelaki itu akan ditangkap. Kat mana kereta Ina?” Tanya saya sekadar nak menghilangkan debar di dada.

“Kat sinilah!” Jawab Ina serta-merta. Abang Sadiq memperlahankan teksi. Namun kami tidak nampak kereta Ina di mana-mana. 

“Kat sinilah! Pemandu teksi tu curah petrol pada Ina. Lepas tu dia nyalakan lighter macam ni!” Sambung Ina. Kami terkejut besar bila menyedari api marak membakar tempat duduk belakang teksi. Saya cepat-cepat melompat keluar. Tapi abang Sadiq gagal mengawal kereta sehingga terhumban ke dalam gaung. Api terus marak. Jeritan Ina bergema berselang-seli dengan kilat dan petir. Saya pengsan!

Sedar-sedar kami dah terlantar kat hospital. Peliknya, hanya kami berdua sahaja yang orang jumpa. Jasad Ina ghaib macam tu aje. Saya dah buat laporan polis semalam. Diorang dah pergi siasat kat tempat kejadian.

Dan pagi tadi kami dikejutkan dengan berita penemuan mayat rentung tak jauh dari tempat kemalangan dan dipercayai milik seorang perempuan. Hairannya, mayat tu mungkin dah seminggu ada kat situ. Mustahil Ina yang dimaksudkan. Tapi kalau bukan Ina, ke mana Ina hilang? Itulah yang saya menungkan sejak tadi. Cuba nak cari jawapan atas apa yang dah berlaku! 
Dengar cerita Khalil buat aku terdiam sejenak. Memang menakutkan jika aku berada di tempat mereka pada ketika tu. Boleh jadi, ada perkaitannya kewujudan Ina dengan penemuan mayat tu. Mungkin Ina cuba menyampaikan sesuatu maklumat kepada mereka. Ataupun rohnya tak tenteram sehingga dia mengganggu pengguna jalan raya yang melalui jalan tersebut.

Perhatian aku beralih kepada Sadiq apabila terdengar dia mengerang sakit. Aku menghampirinya. Sadiq merenung aku dengan mata berair. Mulutnya bergerak-gerak. Aku kira, Sadiq ingin katakan sesuatu kepada aku. Aku buka penutup plastik yang menyerkup mulut Sadiq. Kemudian aku rapatkan telinga ke mulutnya. Dia menarik nafas berat. 

“Arghh… aku dah insaff… arghh.. panggil polis datang… aku nak serah diri… a aku taknak dia apa-apakan kaum keluarga akuu… arghh….” Sadiq mengerang perlahan di telinga aku. Kemudian dia terus meracau tanpa aku fahami biji butirnya. Aku beristighfar. Terkejut dan kesal. Tapi aku tak sampai hati untuk memanggil polis datang. Biarlah Sadiq pulih dahulu. Kemudian terpulanglah kepadanya samada ingin menyerah diri atau menunggu undang-undang membongkar segalanya.
sumber




0 comments:

Post a Comment

Followers

networkblogs