Saturday 13 August 2016

Filled Under:

Gergasi Merah mengamuk Baham Kelantan




Kota Bharu: Percaturan Kelantan yang menurunkan pasukan kedua membawa padah apabila diaibkan Selangor 1-4 pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Tiga gol awal dalam tempoh lima minit babak pertama yang dihasilkan Selangor cukup membuatkan barisan pemain Kelantan serba tidak menjadi.
Ternyata, percubaan ketua jurulatih Kelantan Velizar Popov gagal apabila anak buahnya hanya mampu menyengat pada 10 minit awal permainan sebelum dikuasai pelawat.

Agak janggal namun percaturan Popov menurunkan majoriti pemain simpanan dan Piala Presiden dilihat satu tindakan cukup berani dalam perlawanan berprofil tinggi itu.

Gol pertama Selangor terhasil apabila penyerang berbisanya, Patrick Ronaldinho dikasari penjaga gol Kelantan Mohd Shahrizan Ismail hingga memaksa pengadil menghadiahkan penalti yang disempurnakan Abd Hadi Yahya pada minit ke-22.

Selang seminit kemudian, kubu tuan rumah terus dirobek apabila pemain sayap Selangor R Gopinathan berjaya mengelirukan barisan pertahanan Kelantan sebelum menjaringkan gol kedua pasukannya.

Tertekan dengan jaringan itu, tuan rumah cuba mengatur serangan bagi merapatkan defisit namun gerakan mereka mudah dipatahkan pelawat.

Kelantan tetap berpeluang untuk menjaringkan gol namun disebabkan barisan pertahanan Selangor terlalu kental, jentera serangan diketuai Mohd Khairul Izuan dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria gagal menembusinya.

Belumpun hilang penat, kelemahan benteng pertahanan Kelantan terus dihukum Ronaldinho yang mudah menjaringkan gol ketiga pada minit ke-27.

Berbaki 10 minit terakhir separuh masa pertama, Kelantan memperoleh gol pertama yang juga gol semangat apabila kapten Indra Putra Mahayuddin dijatuhkan dalam kotak penalti sebelum Wan Zaharulnizam menyempurnakannya pada minit ke-34.

Bersambung babak kedua, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila pertahanan Mohd Buniyamin Umar diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua kerana mengasari pemain Kelantan Mohd Noor Hazrul pada minit ke-47.

Namun, Kelantan gagal memanfaatkan peluang itu apabila skuad kendalian K Gunalan terus melebarkan jumlah gol menerusi jaringan R Gopinathan pada minit ke-57.

Kemasukan penyerang berpengalaman Kelantan Mohd Norfarhan Mohamad dan Abd Manaf Mamat juga ternyata gagal memberikan kesan.

Akhirnya, strategi diatur Popov ketika bertemu lawan yang baru kehilangan jurulatih Zainal Abidin Hassan, menjerat diri sendiri dan mengecewakan kira-kira 5,000 penyokong setianya dengan kekalahan itu.sumber




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers