Friday 7 December 2012

Filled Under:

fuyo!! syamsul belum sedia kahwin


Mahu fokus karier



DIA dianggap sebagai antara pengarah muda yang berjaya serta berhasil mengikut jejak langkah bapanya, Datuk Yusof Haslam sebagai seorang pengarah filem yang berkaliber.
Mula duduk di kerusi pengarahan sejak tahun 2008 menerusi filem Evolusi KL Drift, namun kemuncak kepada kerjaya pengarahan dan lakonannya sudah tentu menerusi filem KL Gangster.
Filem itu berjaya mencipta rekod dengan kutipan tertinggi mencecah RM12 juta - jumlah yang masih belum mampu dipecahkan oleh mana-mana filem tempatan sehingga kini.
Sebagai seorang pengarah yang dilihat begitu kreatif dan pakar dalam filem-filem aksi, maka tidak menghairankan apabila dia dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dua tahun berturut-turut pada Festival Filem Malaysia 23 (Evolusi KL Drift 2) dan 24 (KL Gangster).
Kemudian pada tahun ini, Syamsul sekali lagi mencatat kejayaan cukup gemilang apabila meraih lima trofi semasa Anugerah Blockbuster 2012 yang dianjurkan pada bulan Oktober lalu.
Menerusi anugerah yang dipilih 100 peratus menerusi undian orang ramai, Syamsul berhasil membawa pulang trofi untuk kategori Anugerah Filem Terhebat, Anugerah Tuan Direktor dan Anugerah Filem Aksi Terhebat menerusi filem KL Gangster serta Anugerah Filem Takut Terhebat (Khurafat) dan Anugerah Khas PFM.
Namun begitu, di sebalik kejayaan yang telah diraihnya selaku seorang pengarah dan pelakon, ramai yang tertanya-tanya sama ada Syamsul sudah bersedia memikul satu lagi tanggungjawab besar iaitu sebagai seorang suami memandangkan usianya yang kini semakin meningkat.
Persoalan tersebut juga timbul selepas dua wanita yang pernah dikaitkan dalam hidupnya iaitu Diana Danielle dan Liyana Jasmay, masing-masing telah bertemu jodoh.
Diana baru bernikah dengan aktor dan pengarah Farid Kamil, sementara Liyana memilih Fathuddin Mazlan sebagai tunangnya.
Ketika ditemui baru-baru ini, Syamsul hanya tersenyum apabila diajukan persoalan mengenai perancangannya untuk menamatkan zaman bujang.
Sementelah, dia juga telah setahun menjalin cinta dengan seorang penuntut dalam bidang perubatan.
"Saya sudah dapat agak pastinya perkara ini akan ditanya, tetapi secara jujurnya saya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga buat masa sekarang walaupun sudah mempunyai kekasih.
"Lagipun apabila berkahwin sudah tentu tanggungjawab yang dipikul akan menjadi lebih besar, sedangkan komitmen saya terhadap kerja masih lagi banyak dan sebab itu soal perkahwinan saya tolak ke tepi dulu," ujarnya serius.
Menurut Syamsul, dia akui sudah beberapa kali didesak untuk mendirikan rumah tangga sehingga adakalanya berasa sedikit tertekan, namun dia tetap memahami hasrat keluarganya yang ingin melihat dia berkahwin.
SYAMSUL mengaku timbul rasa tertekan apabila sering diasak tentang persoalan menamatkan zaman bujang oleh ahli keluarganya.


"Kalau diikutkan bukan ibu dan bapa saya sahaja yang mendesak, malah saudara-mara saya yang lain juga sudah ramai yang bertanya mengenai hal tersebut.
"Bukan saya tidak mahu berkahwin, tetapi saya akan menunggu sehingga saya betul-betul bersedia," jelasnya.
Ketika ditanya sasaran untuk mendirikan rumah tangga, Syamsul memberitahu, dia sendiri tidak berani menyasarkan tantang perkara tersebut, biarpun pernah menyatakan akan berkahwin pada usia 30 tahun.
"Ketika ini saya lebih mengharapkan doa daripada peminat supaya saya lebih terus sukses dengan kerjaya sekarang. Sekiranya semua berjalan lancar, barulah saya akan fikirkan tentang perkahwinan pula," ujarnya.
Berkenaan hubungan dengan kekasihnya yang sudah terjalin sejak setahun lalu, Syamsul berkata, setakat ini percintaan mereka tetap berjalan seperti biasa, meskipun mereka agak jarang berjumpa.
Menurut Syamsul, dia juga sangat beruntung kerana mendapat seorang kekasih yang begitu memahami kerjaya dan komitmen yang dipikulnya sekarang.
"Setakat ini kami masih belum berbincang secara serius tentang mendirikan rumah tangga, malah dia pun faham dengan situasi saya sekarang. Bagi saya, semuanya terserah pada jodoh," ujarnya yang masih enggan mendedahkan identiti gadis yang kini sedang bertakhta di hatinya itu.
Harapan tinggi
Pada tahun lalu filem KL Gangster lakonan Aaron Aziz dan Adi Putra telah mencipta kejayaan tersendiri apabila berhasil memperoleh kutipan pecah panggung, sekali gus menjadi filem Melayu paling berjaya dari segi kutipan tiket setakat ini.
Rentetan daripada kejayaan tersebut, Syamsul selaku pengarah membuat keputusan untuk menghasilkan sambungannya iaitu KL Gangster 2 dengan mengekalkan sebahagian besar pelakon asal filem tersebut.
Namun begitu, hasrat peminat untuk menonton sambungan filem berkenaan masih belum tercapai kerana ia belum lagi ditayangkan di pawagam, meskipun penggambaran sudah berakhir pada awal tahun lalu.
Jelas Syamsul, filem berkenaan kini sudah memasuki proses akhir untuk disiapkan dan dia menjangka penonton dapat menyaksikan buah tangan terbaharunya itu pada pertengahan tahun hadapan.
SYAMSUL enggan memikirkan soal kahwin buat masa terdekat kerana mahu memberi fokus terhadap kariernya.


"Filem ini agak lambat untuk disiapkan kerana saya mempunyai komitmen lain yang harus diselesaikan terlebih dulu, tetapi saya yakin filem ini akan menjadi lebih menarik dan memberikan kepuasan kepada penonton.
"Secara terus terang, saya memang meletakkan harapan yang sangat tinggi agar filem ini dapat mencatat kejayaan lebih memberangsangkan termasuk daripada segi kutipan berbanding filem pertama," jelasnya.
Bagaimanapun, pengarah muda itu sedar dengan keadaan lambakan filem yang berlaku sekarang, ternyata memberikan cabaran yang besar kepada dirinya untuk mencatatkan kejayaan seperti yang pernah diraih sebelum ini.
Kualiti
Bercerita lebih lanjut mengenai isu lambakan filem yang berlaku dalam industri perfileman sekarang, Syamsul mengakui ia banyak memberi impak terutama kepada pembikin filem.
Ujarnya, sudah tiba masanya para penerbit menghasilkan filem-filem yang lebih berkualiti dan tidak terlalu mengejar kuantiti semata-mata kerana penonton sekarang sudah semakin bijak memilih.
"Selepas kejayaan filem KL Gangster pada tahun lalu, ayah pernah memberi saranan kepada saya supaya menghasilkan lebih banyak filem, namun saya agak kurang bersetuju.
"Bagi saya lebih baik menghasilkan dua atau tiga filem sahaja setahun, asalkan filem yang dihasilkan itu memang betul-betul berkualiti dan dapat memenuhi kehendak para penonton," tegasnya.
Jelasnya lagi, jika keadaan sebegini masih lagi berlaku pada masa akan datang, dia risau kepercayaan penonton untuk menonton filem-filem Melayu semakin hilang apabila dihidangkan dengan filem-filem yang tidak berkualiti.
"Tidak mustahil para penonton akan memberikan persepsi yang kurang baik kepada filem-filem Melayu dan ia sekali gus memberi kesan kepada filem-filem berkualiti yang dihasilkan," ujarnya mengakhiri bicara.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1206&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm#ixzz2EHjxgLau 
Hakcipta terpelihara 




0 comments:

Post a Comment

Nuffnang Ads

Followers